Skip to main content

Singapura

Peluasan kompleks lontar jamrah, kemudahan tersedia licinkan terus ibadah Haji

Para jemaah Singapura mula melakukan lontaran ketiga-tiga jamrah di Mina selepas Zohor waktu Saudi.

Anggaran Waktu Membaca:
MINA: Para jemaah Singapura mula melakukan lontaran ketiga-tiga jamrah di Mina selepas Zohor waktu Saudi.

Perjalanan untuk menyempurnakan rukun-rukun haji itu kini dipermudahkan dengan perluasan kompleks melontar jamrah sejak 2010.

Tahun ini, ibadah haji juga semakin licin dan lancar dengan adanya kerusi roda bermotor serta tersedianya batu-batu untuk ibadah melontar.

Kerusi roda bermotor boleh bergerak sejauh 20 kilometer tanpa perlu dicas semula. Ini akan memudahkan perjalanan para jemaah dari Shisha ke Mina dan juga membuat lontaran ketiga-tiga jamrah di hari-hari Tasyriq.

15 jemaah haji TM Fouzy Travel menjadi yang pertama dari Singapura untuk berpeluang menggunakan kerusi roda bermotor itu.

"Alhamdulilah ada sebuah syarikat di sini yang sudah membuatkan satu perkara yang baik, inovasi yang terbaik iaitu mengadakan kerusi roda bateri. Kerusi roda bateri boleh digunakan dan dibawa untuk Tawaf, untuk Sai dan untuk dari Muaissem pergi ke Mina," kata Ustaz Tengku Mohd Fouzy dari TM Fouzy Travel.

Perjalanan dari tempat penginapan para jemaah haji Singapura ke kompleks melontar jamrah adalah sekitar 2 kilometer.

Dari terowong Muaissem ke kompleks itu pula adalah lagi hampir 4 kilometer.

Maka itu, peluang untuk menggunakan kerusi roda bermotor tersebut amat dialu-alukan.

"Mula-mula agak kekok juga tetapi bila kita sudah pandai mengemudikannya, boleh perlahan-lahan. Bila sudah lama-lama pandailah. Cuma perlu sesuaikan cepat dengan lambat," kata Hazilah Mahmud, seorang jemaah haji dari Singapura.

Satu lagi khidmat baru yang diperkenalkan tahun ini adalah penyediaan batu-batu kerikil untuk lontaran jamrah.

Sebelum ini, para jemaah haji perlu mengutip sendiri batu-batu itu di Muzdalifah.

"Kalau orang yang bermasalah kaki, tidak boleh hendak jalan. Kalau hendak kutip, payah. Kalau disediakan, Alhamdulillah. Kita cuma tinggal melontar saja," kata Cik Hazilah.

Matlamatnya adalah untuk memudahkan perlaksaan ibadah haji, dari tahun demi tahun.
Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita