Skip to main content

Singapura

Peluang sumbang kembali kepada masyarakat perkukuh azam penghuni Rumah Peralihan Jamiyah buka lembaran baharu

Anggaran Waktu Membaca:
Peluang sumbang kembali kepada masyarakat perkukuh azam penghuni Rumah Peralihan Jamiyah buka lembaran baharu

Encik Khamsani Jamat (paling kanan).

Diterbitkan : 01 Jul 2026 07:40PM
SINGAPURA: Bukan sekadar menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan, program agihan daging korban anjuran Jamiyah turut membuka ruang kepada penghuni Rumah Peralihan Jamiyah untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

Seramai 10 keluarga yang memerlukan menerima manfaat daripada agihan daging korban itu.

Antara penghuni yang terlibat ialah Khamsani Jamat, yang menyumbang tenaga untuk membungkus daging korban, sebelum turun padang untuk mengagihkannya.

Inisiatif itu merupakan antara usaha Jamiyah membantu para penghuninya dalam proses pemulihan mereka dan berintegrasi kembali ke dalam masyarakat.
Related article image
Bagi Encik Khamsani, 65 tahun, peluang untuk menyertai program tersebut menyuntik semangat bagi dirinya untuk terus berubah.

"Saya terpilih dan saya rasa gembira, dipanggil ke sini untuk mengagihkan daging korban kepada orang yang memerlukan. Selama ini saya juga tidak pernah lakukannya," kongsinya.

Galakan daripada kakitangan Jamiyah mendorongnya untuk menyahut peluang itu.

Sepanjang menjalani pemulihan di Rumah Peralihan Jamiyah, Encik Khamsani bukan sahaja mengikuti sesi kaunseling dan bimbingan agama, malah diberi peluang menyumbang melalui kerja-kerja penyelenggaraan serta program kemasyarakatan.

"Saya harap yang saya akan menerima ganjarannya untuk diri saya. Apabila saya bebas nanti, saya ingin berubah," jelasnya.
Related article image
Hasrat untuk berubah itu didorong oleh pengorbanan insan yang tidak pernah berhenti menyokongnya - keluarganya.

"Pengorbanan saya, pertama adalah untuk diri saya. Kedua adalah keluarga saya. Sewaktu saya di penjara, keluarga saya tidak putus mengunjungi saya, mereka masih tetap sokong saya walaupun saya melakukan kesilapan, mereka tidak buang saya,"kongsi Encik Khamsani.

Memandangkan usianya yang semakin meningkat, Encik Khamsani berkata beliau tidak lagi mahu mengulangi kitaran keluar masuk penjara yang pernah dilaluinya.

"Selama ini saya keluar masuk penjara, saya rasa tiada kesudahannya. Tetapi apabila saya datang ke Jamiyah, dan di penjara, saya terfikir tiada masa lagi untuk saya, memandangkan usia saya," katanya.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita