Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Peluang sekali seumur hidup': Sheila Hassan rakyat SG bertuah dipilih jadi relawan Sukan Paralimpik Paris 2024

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bayangkan anda berpeluang menyaksikan atlet terbaik dunia beraksi di hadapan mata anda sendiri, sedang ramai yang lain sekadar menyaksikannya melalui kaca televisyen?

Maka tidak hairanlah, Sheila Hassan menganggap dirinya bertuah dapat merebut "peluang sekali seumur hidup" ini.

Beliau ketika ini, berada di Paris untuk menjalankan tugasnya selaku sukarelawan Sukan Paralimpik Paris 2024.

Rakyat Singapura berusia 54 tahun ini, merupakan antara 45,000 relawan yang terpilih dalam kalangan 300,000 individu dari merata dunia yang membuat permohonan kepada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) untuk menjayakan temasya sukan terunggul dunia itu sebagai sukarelawan.

Sukan Paralimpik Paris 2024 sedang giat dipertandingkan sejak 28 Ogos, dan dijadual berlangsung sehingga 8 September 2024.

Ini bagaimanapun bukan pertama kali Cik Sheila menjadi antara yang bertuah dipilih menjadi sukarelawan di pentas sukan berprestij itu.

Beliau pernah menjadi sukarelawan Sukan Olimpik Rio pada tahun 2016, di mana beliau menyumbang tenaga bagi memastikan kejohanan tenis bagi temasya sukan itu berjalann lancar.

s
Gambar: Sheila Hassan
s
Gambar: Sheila Hassan

"Saya memutuskan untuk menggabungkan minat saya terhadap sukan dan melancong dengan memohon untuk Sukan Olimpik Rio 2016 dan Sukan Paralimpik Paris 2024," kongsi Cik Sheila, yang bertugas sebagai pengawal kolam renang di Kompleks Renang ActiveSG Heartbeat @ Bedok.

Sejak Sukan Paralimpik Paris 2024 membuka tirainya Rabu lalu, Cik Sheila giat menggalas tanggungjawab sebagai sukarelawan bagi sukan olahraga, yang sebahagian besar acaranya diadakan di Stad De France.

Antara tugasnya termasuk membantu para pegawai rasmi mencatat masa prestasi atlet, penskoran serta
mengawal kesesakan orang ramai di kawasan-kawasan pertandingan sukan.

SANGGUP HARUNGI PROSES PERMOHONAN YANG RUMIT UNTUK JADI SUKARELAWAN

Proses memohon untuk menjadi sukarelawan di gelanggang Sukan Olimpik dan Paralimpik bukan mudah.

Biasanya, orang ramai, tidak kira sama ada penduduk negara tuan rumah ataupun mereka dari negara lain, boleh membuat permohonan, dua tahun sebelum berlangsung temasya tersebut.

Menurut tinjauan BERITA Mediacorp, seseorang individu layak memohon untuk menjadi sukarelawan Sukan Paralimpik Paris 2024 selagi pemohon memenuhi tiga syarat berikut:

  • Mestilah berusia 18 tahun ke atas pada 1 Januari 2024.
  • Boleh bertutur sekurang-kurangnya dalam bahasa Perancis atau Inggeris
  • Dapat berkhidmat selama sekurang-kurangnya 10 hari semasa Sukan Olimpik dan/atau Sukan Paralimpik

Sebelum seseorang berjaya dipilih menjadi sukarelawan bagi temasya sukan itu, dia perlu melalui beberapa siri ujian, yang antara lain merangkumi ujian bahasa, temu duga secara individu dan berkumpulan dan ujian aptitud.

Cik Sheila malah, mengatakan bahawa beliau tidak perlu menanggung sebarang kos apa pun semasa menjalani proses permohonannya itu.

Berdasarkan pengalamannya, Cik Sheila menarik perhatian bahawa proses pemilihan sukarelawan tersebut berbeza dari satu edisi temasya itu ke edisi yang lain, tertakluk kepada setiap jawatankuasa penganjur.

Ditanya sama ada pihak penganjur menampung keseluruhan perbelanjaannya ketika beliau berada di Paris, Cik Sheila mendedahkan bahawa kos tersebut dibiayai oleh pihak penganjur kecuali kos penginapan dan tiket penerbangannya.

Hakikatnya, tidak dinafikan bahawa proses permohonan untuk menjadi sukarelawan temasya sukan tersebut amat rumit dan memakan masa.

Cik Sheila akur bahawa kemahiran yang diraih daripada pengalamannya menjadi sukarelawan Team Nila sejak 2015, sedikit sebanyak membantu dalam usahanya memohon menjadi sukarelawan Sukan Olimpik dan Paralimpik.

Cik Sheila telah menjadi sukarelawan Team Nila sejak 2015. (Gambar: Sheila Hassan)
Sebagai salah seorang anggota perintis Team Nila, Cik Sheila ditawarkan pelbagai peluang untuk terlibat sama dalam acara-acara sukan yang diadakan secara besar-besaran di sini.

Team Nila adalah gerakan yang diterajui oleh SportSG.

Antara pelibatan pertamanya sebagai relawan Team Nila adalah di Sukan Para ASEAN ke-8 pada Disember 2015.

Di samping itu, beliau turut gigih mengambil kursus untuk menimba kemahiran menjadi pegawai teknikal bagi sukan renang dan olahraga, masing-masing di bawah Singapore Aquatics dan Singapore Athletics.

BENAR-BENAR HARGAI "PELUANG SEKALI SEUMUR HIDUP" INI

Berkongsi pengalamannya setakat ini menjalankan tugas sebagai sukarelawan di Sukan Paralimpik Paris 2024, Cik Sheila berkata: "Pengalaman sangat manis, saya dapat rakan sepasukan yang hebat, semua berkongsi pengalaman mereka, saya dapat mengetahui latar belakang budaya mereka kerana mereka daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Cik Sheila Hassan berswafoto dengan mereka yang turun padang untuk menyokong atlet negara Sukan Paralimpik Paris 2024, termasuk Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong (tiga dari kanan). (Gambar: Sheila Hassan)
"Saya juga dapat bertemu para atlet, dapat tingkatkan bahasa Perancis saya, itu antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan," luah Cik Sheila kepada BERITA Mediacorp.
Gambar: Sheila Hassan
Lebih manis lagi, Cik Sheila menganggap kehadirannya di Paris sebagai peluang untuk bertemu semula dengan kenalan-kenalan lamanya, memandangkan beliau pernah menetap di Paris seketika dahulu selama enam bulan untuk mendalami bahasa Perancis.

Yang pasti, semangat Cik Sheila untuk merebut peluang sedemikian terus membara, sekalipun beliau sedar beliau perlu melalui proses permohonan sama yang mengambil masa begitu lama serta membuat pelbagai aturan yang diperlukan.

Cik Sheila bahkan, meluahkan hasratnya untuk membuat permohonan menjadi sukarelawan Sukan Olimpik Musim Sejuk akan datang, selepas selesai menjalankan tugasnya di Sukan Olimpik Paris 2024.

Sukan Olimpik Musim Sejuk 2026 dijadual berlangsung dari 6 hingga 22 Februari di Itali.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan