Skip to main content

Singapura

‘Peluang pekerjaan akan datang’: Pemimpin mesti persiap pekerja bagi ekonomi bijak, kata Jokowi

Mantan Presiden Indonesia, Joko “Jokowi” Widodo, menggesa pemerintah dan institusi global untuk mentakrif semula sistem politik dan kewangan mereka bagi “ekonomi bijak”.
Anggaran Waktu Membaca:
‘Peluang pekerjaan akan datang’: Pemimpin mesti persiap pekerja bagi ekonomi bijak, kata Jokowi
Mantan Presiden Indonesia, Joko “Jokowi” Widodo, menyampaikan ucapan penutup di Forum Ekonomi Baharu Bloomberg di Singapura. (Gambar: CNA)
SINGAPURA: Mantan Presiden Indonesia, Joko “Jokowi” Widodo, menggesa pemerintah dan institusi global untuk mentakrif semula sistem politik dan kewangan mereka bagi “ekonomi bijak”.

Dalam ucapan penutupnya di Forum Ekonomi Baharu Bloomberg di Singapura pada Jumaat (21 Nov), Encik Widodo menegaskan bahawa prasarana yang kukuh merupakan tunjang ekonomi bijak kerana ia membolehkan ketersambungan, aliran data dan integrasi teknologi.

Berkongsi mengenai peralihan Indonesia sepanjang sedekad lalu, pemimpin berusia 64 tahun itu menekankan bagaimana pelaburan prasarana menjadi asas strategi ekonomi negaranya.

“Kami membina jalan raya, pelabuhan, lapangan terbang, loji janakuasa. Kerana tanpa prasarana yang kukuh, ekonomi tidak dapat berkembang,” kata Encik Widodo, yang menjadi presiden dari 2014 hingga 2024.

“Indonesia juga mencapai kemajuan besar dalam prasarana digital – membina pusat data, melancarkan satelit baharu, memperluas rangkaian digital dan meningkatkan ketersambungan di seluruh negara.”

BINA ASAS UNTUK MASA DEPAN DIGITAL

Encik Widodo berkata Indonesia kini “bersedia untuk tahap seterusnya” – era ekonomi bijak, yang memanfaatkan teknologi maju, kecerdasan buatan (AI), data dan maklumat.

“Data bukan sekadar kuasa, ia adalah modal. Ia menentukan daya saing dan kekuatan nasional,” kata beliau, sambil menekankan bahawa kesiapsiagaan digital dan modal insan amat penting untuk mengekalkan kemajuan.

Beliau menambah bahawa pemerintah mempunyai tanggungjawab dalam memastikan rakyatnya celik digital dan bersedia untuk peluang pekerjaan baharu yang bakal muncul.

“Ekonomi bijak bukan hanya mengenai teknologi, ia juga tentang menyediakan rakyat,” kata kepada Mediacorp di luar forum tersebut.

“Ia tanggungjawab kita untuk melatih mereka … memahami AI, mengetahui kod, algoritma, pembelajaran mesin. Mereka mesti mempunyai celik digital dan kemahiran yang baik,” tambah beliau.

“Selepas itu, peluang pekerjaan akan datang.”

EKOSISTEM YANG SOKONG INOVASI

Encik Widodo turut menekankan pentingnya peraturan dan pembinaan ekosistem yang menyokong pertumbuhan sektor swasta.

Beliau mengaitkan kejayaan syarikat-syarikat pemula Indonesia – termasuk Gojek, Tokopedia dan Traveloka – dengan dasar pemerintah yang menggalakkan inovasi dan keusahawanan.

“Apabila pemerintah membina asas yang betul, inovasi akan menyusul,” kata beliau.

Bagaimanapun, Encik Widodo memberi amaran bahawa sistem global sedia ada semakin ketinggalan.

Beliau menggesa institusi antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) untuk memodenkan rangka kerja mereka.

“Dalam era baharu ini, syarikat, industri, sektor swasta, hampir semuanya akan menggunakan AI,” kata beliau.

“Itu bermakna kita mesti mentakrif semula proses, sistem, strategi kita … supaya kita boleh berkembang dengan lebih pesat … untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih baik, kehidupan yang lebih baik untuk rakyat.”

ASIA TENGGARA & REVOLUSI AI

Melangkaui Indonesia, Encik Widodo menggambarkan Asia Tenggara sebagai “kuasa global” yang sedang dibentuk.

Beliau berkata semakin ramai usahawan muda yang membina syarikat pemula dan perniagaan kecil kini beralih online, menjadikan rantau ini sebagai hab inovasi baharu.

“Asia Tenggara bukan lagi sekadar sebuah pasaran; ia sedang menjadi satu kuasa global,” kata beliau. “'Syarikat rintisan gergasi' seterusnya mungkin tidak datang dari Silicon Valley atau Shenzhen — ia mungkin datang dari Jakarta, Singapura, Bangkok, Kuala Lumpur, Manila atau Hanoi.”

Encik Widodo menggulung temu bual itu dengan seruan untuk bersiap sedia menghadapi gelombang AI dan robotik yang bakal tiba.

“Saya percaya dalam tempoh lima hingga 15 tahun akan datang … akan berlaku revolusi besar robot humanoid dan revolusi besar AI,” katanya. “Jadi, kita mesti bersiap sedia dari sekarang.”

Beliau berkata dengan asas yang betul – prasarana, dasar, pendidikan dan kerjasama – Indonesia dan Asia Tenggara dapat berkembang maju dalam era baharu ekonomi bijak.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita