Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peluang lebih cerah, mudah dapat status PR antara sebab jururawat asing tinggalkan S'pura

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Selepas bersalin di Filipina, Cik Cristlynne Grace Abergos bertanggapan bahawa beliau hanya perlu berjauhan dengan anaknya buat seketika saja apabila beliau pulang ke Singapura untuk bekerja. 

Malangnya, tempoh berjauhan itu berlarutan selama 18 bulan disebabkan oleh pandemik dan penutupan sempadan. 

"Ia tidak tertanggung bagi saya," kata Cik Abergos, 31 tahun, kepada Mediacorp. Warga Filipina itu bekerja sebagai seorang jururawat di Hospital Masyarakat Yishun selama kira-kira 6 tahun, antara Mac 2015 hingga Disember 2021. 

Bagi Cik Abergos, yang membuatnya memikirkan semula keputusan untuk bekerja di Singapura adalah apabila beliau tidak dapat pulang ke negara asalnya untuk meraikan ulang tahun pertama anaknya pada tahun lalu. 

Malah, beliau juga menyedari bahawa adalah sukar untuk mendapatkan status Penduduk Tetap (PR) dan tinggal di Singapura bersama keluarganya. 

Sejak itu, beliau sudah berpindah ke New Zealand dan menetap di sana bersama suami dan anak lelakinya. Beliau memegang visa kerja bagi kemahiran penting, iaitu kategori visa bagi pekerja yang kemahiran mereka amat diperlukan di sana. 

Memandangkan beliau adalah seorang pekerja jagaan kesihatan, Cik Abergos dan keluarganya layak membuat permohonan untuk mendapatkan status penduduk tetap sebaik tiba di New Zealand.

Tambah beliau, pekerja jagaan kesihatan diberikan keutamaan dalam senarai individu yang memohon untuk mendapatkan status penduduk tetap di negara itu. 

Cik Abergos hanyalah satu daripada ramai lagi jururawat asing yang meninggalkan Singapura untuk meneruskan kerjaya mereka di luar negara. 

Para jururawat yang ditemui Mediacorp berkata gaji yang lebih baik, keinginan untuk hidup bersama dengan keluarga mereka dan pengalaman dengan diskriminas adalah antara sebab yang mendorong jururawat asing untuk meninggalkan Singapura. 

Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam pada 2 Ogos berkata bahawa dalam kalangan jururawat tempatan yang bekerja dalam sektor awam, kadar jururawat yang berhenti kerja adalah 7.4 peratus pada 2021, naik daripada 5.4 peratus pada 2020. 

Bagi jururawat asing pula, jumlah jururawat yang meletak jawatan naik lebih seganda kepada 14.8 peratus pada 2021 berbanding 2020. 

Seorang lagi jururawat yang membuat keputusan untuk menetap di New Zealand bersama dengan keluarganya adalah warga Filipina John Palines, 37 tahun, yang mula bekerja di Singapura pada 2013. 

"Saya menjadi penat melakukan penerbangan ulang-alik semata-mata untuk bersama dengan anak-anak saya kerana mereka hanya boleh berada di Singapura selama sebulan sahaja di bawah visa pelawat," kata Encik Palines, yang kedua-dua anaknya, berusia lima dan satu tahun, menetap dengan ibu bapanya di Filipina manakala beliau dan isterinya bekerja sebagai jururawat di Hospital Besar Changi (CGH). 

"Peluang kami untuk memohon status penduduk tetap sangat rendah ataupun hampir tiada. Kami tidak boleh mendaftar bagi pas tanggungan untuk anak-anak kami kerana kami tidak layak," kata Encik Palines yang berpindah ke New Zealand pada 2018. 

Lagi satu sebab yang mendorongnya untuk berpindah adalah diskriminasi yang dihadapinya semasa bekerja sebagai seorang jururawat asing. 

Encik Palines mengimbas kembali insiden di mana seorang penjaga pesakit mengherdik dan "menggunakan kata-kata kesat" serta kata-kata yang berbaur diskriminasi terhadapnya semata-mata kerana beliau adalah seorang warga asing. 

Jururawat dari India, Sheeba Varghese, 39 tahun, yang bekerja sebagai seorang jururawat di sebuah hospital awam selama 16 tahun, turut mengalami pengalaman serupa. 

Beliau berkata beberapa faktor, termasuk sikap perkauman yang dialami di tempat kerja, mendorongnya untuk berpindah ke Australia pada 2021. 

Bagi warga Filipina Mikko Cumbe, yang berusia 31 tahun, bukan senang untuk meninggalkan persekitaran kerja yang menyokong di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK untuk berpindah ke Amerika Syarikat (AS) pada Mac lalu. 

Namun, kemudahan untuk mendapatkan status Penduduk Tetap di AS dan peluang yang menyusul seperti peluang untuk mendapatkan ijazah Sarjana dalam bidang kejururawatan - yang tidak boleh dilakukannya di Singapura, mendorongnya untuk berpindah. 

Katanya lagi: "Gaji bulanan saya di Singapura sama dengan gaji saya dalam tempoh dua minggu di sini." Encik Cumbe dibayar gaji setiap jam di sebuah hospital di Dakota Utara. 

Dengan jururawat asing meninggalkan Singapura, ini menyebabkan jururawat di sini berdepan dengan kekangan tenaga manusia, dengan sesetengah jururawat rakyat tempatan turut menimbangkan untuk meninggalkan negara ini. 

Seorang jururawat yang ingin dikenali sebagai Shaye, sudah bekerja di Hospital Masyarakat Jurong selama lebih enam tahun. Beliau berasa amat "tertekan" sejak Disember apabila terdapat kekangan tenaga manusia dalam jabatannya.

Cik Shaye, 48 tahun, seorang warga Singapura, turut mendedahkan bahawa sejak itu, lima jururawat - empat jururawat asing dan seorang jururawat tempatan - dari jabatannya sudah meletak jawatan dan tiada jururawat yang menggantikan mereka sejak itu. 

"Kami menyaksikan ramai jururawat yang berhenti kerja tahun ini. Kami semua berasa amat tertekan dengan beban kerja," kata Cik Shaye yang enggan mendedahkan nama penuhnya kerana tidak mahu berdepan dengan sebarang masalah di tempat kerjanya. 

Sebelum ini, Cik Shaye berkata, terdapat sekurang-kurangnya enam hingga tujuh jururawat sepanjang syif selama 8.5 jam, tetapi setelah ramai meletak jawatan, hanya empat jururawat yang menjaga 38 pesakit sepanjang tempoh satu syif. 

Tambahnya lagi, dengan pembukaan semula sempadan yang membolehkan jururawat asing untuk pulang ke negara asal untuk menziarahi keluarga mereka, warga tempatan "terperuk di sini untuk berdepan dengan cabaran-cabaran ini".

"Oleh itu, saya berharap langkah akan diambil untuk membantu menyokong kekangan tenaga kerja ini supaya kami boleh menyediakan jagaan bermutu kepada pesakit kami," kata Cik Shaye. 

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Profesor Madya Adjung Tracy Carol Ayre, seorang ketua jururawat di SingHealth berkata, "usaha sedang dijalankan untuk melatih jururawat  dan merekrut jururawat baru".

"Selain meningkatkan tenaga manusia dan sokongan, kami sedang berusaha untuk memudahkan tugas jururawat kami menerusi reka semula tugas, semakan proses kejururawatan dan merintis pelbagai inovasi untuk membantu jururawat dalam tugas mereka," tambahnya. 

Ini termasuk penggunaan robot yang boleh membantu membawa ubat dan sampel ubat-ubatan untuk "meringankan beban kerja jururawat dan membolehkan mereka untuk memberi tumpuan kepada tanggungjawab klinikal yang penting atau meluangkan lebih banyak masa untuk menjaga pesakit yang amat memerlukan bantuan mereka," katanya. 

Mediacorp sudah menghubungi Hospital Universiti Nasional (NUH), manakala Hospital Tan Tock Seng (TTSH) pula enggan memberikan komen.

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan