Peluang kerja sambil belajar bagi pelajar ITE di Jerman antara 10 MOU dimeterai S'pura-Jerman
Para pelajar dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE) tidak lama lagi berpeluang untuk bekerja sambil belajar di Jerman.
BERLIN: Para pelajar dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE) tidak lama lagi berpeluang untuk bekerja sambil belajar di Jerman.
Inisiatif itu adalah antara perjanjian yang dimeterai oleh Singapura dan Jerman pada Isnin (9 Dis) bagi mempertingkatkan lagi kerjasama dalam bidang latihan dan inovasi di samping menawarkan lebih banyak peluang bagi para pekerja dan majikan.
Pemeteraian 10 Memorandum Persefahaman (MOU) - yang sebahagian besarnya ada kaitan dengan pendidikan dan inovasi - disaksikan oleh Presiden Halimah Yacob sebagai sebahagian daripada lawatan negara selama lima hari ke Jerman.
Sebahagian besar MOU yang dimeterai melibatkan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Jerman di Berlin.
Salah satu perjanjian mengenai inisiatif ITE dimeterai di syarikat kejuruteraan dan teknologi Bosch, iaitu syarikat yang akan menawarkan latihan bekerja sambil belajar kepada para pelajar ITE.
Presiden Halimah turut melakukan lawatan ke kampus syarikat tersebut.
Bosch akan bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) untuk menubuhkan sebuah hab inovasi di Singapura yang akan mengembangkan lagi rangkaian inkubasi pemula dalam syarikat berkenaan.
Di bawah perjanjian antara Enterprise Singapore dengan Rangkaian Munich, yang akan menyokong lebih banyak kerjasama, syarikat-syarikat pemula Singapura serta syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) juga akan mendapatinya lebih mudah untuk menembusi pasaran Jerman.
Encik Clarence Hoe, Pengarah Pasaran Global bagi Amerika dan Eropah Barat di Enterprise Singapore berkata perjanjian berkenaan adalah antara yang pertama dimeterai oleh lembaga berkanun itu dengan Jerman bagi mendapatkan akses langsung kepada permintaan dan keperluaan syarikat-syarikat korporat Jerman.
Lawatan Presiden Halimah juga merupakan satu detik yang bersejarah bagi Singapura kerana ia adalah lawatan negara pertama oleh seorang presiden Singapura ke Jerman sejak kedua-dua negara menjalin hubungan diplomatik 54 tahun yang lalu.
Ini terutama sekali memandangkan Jerman adalah rakan niaga Singapura yang terbesar dalam Kesatuan Eropah (EU), dengan perdagangan dua hala dianggarkan bernilai lebih S$22 juta - seperlima perdagangan Singapura dengan seluruh EU.
Semasa berucap kepada para pemimpin perniagaan di Dewan Perniagaan dan Perusahaan Jerman, Presiden Halimah menarik perhatian kepada ketidaktentuan yang disebabkan oleh perkembangan-perkembangan seperti ketegangan antara Amerika Syarikat dengan China dan Brexit dan menggesa kedua-dua negara supaya membina hubungan lebih kukuh yang berupaya mengharungi cabaran-cabaran masa ini.
Menurut Presiden Halimah, kedua-dua negara mesti terus memupuk hubungan antara rakyat dan perusahaan selain menyokong latihan bagi para pekerja supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan yang melanda.
"Singapura dan Jerman mesti bersikap konfiden terhadap kerjasama yang sudah terjalin sejak sekian lama. Ia dibina atas dasar hormat-menghormati dan saling mempercayai antara satu sama lain di samping menjalin kerjasama dan komitmen yang teguh terhadap nilai-nilai yang dikongsi bersama," tegas Presiden Halimah.
"Dengan sokongan kukuh anda, saya yakin kita akan dapat terus mengukuhkan kerjasama bagi mempersiapkan rakyat dan memastikan ia akan mengutamakan dan memanfaatkan rakyat kedua-dua negara," tambah Presiden Halimah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.