Skip to main content

Singapura

Peluang kenali dan hargai busana ikonik Kebaya di Pameran "Gaya Kebaya – 130 Tahun"

Peluang untuk berkongsi budaya dan warisan Melayu bersama golongan muda dan masyarakat lebih luas.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Peluang untuk berkongsi budaya dan warisan Melayu bersama golongan muda dan masyarakat lebih luas.

Demikian pandangan Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Muhammad Faishal Ibrahim yang merasmikan pameran khas "Gaya Kebaya – 130 Tahun" oleh Kebaya Société di 45 Sultan Gate pada Sabtu (18 Nov).

(Gambar: BERITA Mediacorp)

Pameran itu diadakan sempena acara "Gaya Kebaya – Raikan Warisan Kita" anjuran bersama BERITA Mediacorp dan One Kampong Gelam.

"Saya rasa gembira kerana acara ini memberikan ruang yang lebih luas bagi kita bukan sahaja untuk menghayati tetapi melihat bagaimana budaya dan warisan kita boleh dikongsi, dipamerkan dan juga bagaimana ia boleh digunakan dalam konteks pada masa sekarang.

"Kita boleh berkongsi dengan masyarakat muda kita dan melihat bagaimana ciri-ciri ini dan juga budaya dan warisan kita masih relevan," kata Dr Faishal penasihat kepada One Kampong Gelam.

KOLEKSI KEBAYA UNIK DENGAN KISAH TERSENDIRI

Sebanyak 25 kebaya yang dipamerkan mempunyai kisahnya tersendiri dan ada juga kebaya turun-temurun.

Kebaya tertua dalam pameran itu berusia kira-kira 130 tahun.

(Gambar: BERITA Mediacorp)

Antara yang dipamerkan adalah dua pasang baju kebaya milik Puan Noor Aishah, iaitu balu Presiden pertama Singapura, Yusof Ishak.

Salah satunya adalah kebaya berwarna hitam yang dipakai semasa satu lawatan rasmi ke Brunei pada tahun 1960-an.

Para undangan khas yang termasuk tetamu dari Indonesia dan Malaysia juga berpeluang menyaksikan tayangan perdana dokumentari khas "Kebaya - Gaya Nusantara" terbitan bahagian Ehwal Semasa Melayu Mediacorp.

Ia meneroka keindahan, asal usul dan evolusi kebaya di Asia Tenggara khususnya dalam Dunia Melayu.

Dokumentari selama sejam itu akan disiarkan di saluran Suria pada 23 Nov.

ACARA PERAGAAN KEBAYA DITERUSKAN MESKIPUN HUJAN

Satu lagi acara istimewa hari ini adalah peragaan fesyen oleh tiga toko di Kampung Gelam iaitu Toko Aljunied, butik Kabaya by Ratianah dan Mozaic Singapore.

Busana-busana tersebut diperagakan para pelanggan setia mereka sendiri.

(Gambar: CNA/Grace Yeoh)

Ia sepatutnya berlangsung di Baghdad Street tetapi terpaksa dipindahkan ke tingkat dua ruang pameran di Sultan Gate akibat hujan lebat.

Sementara itu, mereka yang berminat untuk menyertai pertandingan bergambar GAYA KEBAYA masih boleh berbuat demikian hingga 26 November ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/RR
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita