Peluang kedua tidak disia-siakan dua graduan cemerlang
BERITAmediacorp: Gagal sekali tidak bermakna akan gagal selama-lamanya.
Itulah pegangan Encik Mohammad Idris Ahmad Zaki, 43 tahun yang baru sahaja meraih ijazah berganda iaitu Sarjana Muda dalam Logistik dan Pengurusan Rantaian Bekalan serta Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Northumbria.
Selepas ITE, beliau pernah dibuang sekolah semasa menuntut di politeknik.
Oleh sebab terkesan dengan perceraian ibu bapanya, Encik Idris mengambil masa selama 6 tahun untuk mendapatkan diploma, iaitu dua kali lebih lama daripada biasanya.

"Sejak dari politeknik lagi ibu saya tidak putus berikan saya semangat. Semasa di politeknik saya dibuang pada satu masa dan itu amat menghampakan ibu saya. Dengan itu saya fikir luas dan saya tidak mahu mengecewakannya lagi. Jadi saya menyambung untuk mendapatkan diploma saya," kata Encik Idris
Selama di ITE dan politeknik, beliau juga tidak pernah terlintas di fikiran bahawa beliau akan menuntut sampai ke menara gading.
Kini bukan sahaja bapa kepada dua cahaya mata itu seorang pemilik ijazah, beliau juga meraih sarjana MBA dengan Kepujian.
"Saya memang tak menjangkakan sama sekali. Amat terkejut bila dapat tahu yang saya mendapat 'Masters with Commendation'. Saya berasa amat gembira dan terharu kerana saya dapat mencapai itu. Saya seorang pelajar ITE dan saya ingin membuktikan bahawa para pelajar ITE ada kemahiran dalam pelajaran mahupun di peringkat teknikal," ujar Encik Idris.
ISTERI BERI SOKONGAN 100%
Selain ibunya, Encik Idris berkata bahawa beliau amat bersyukur kerana isterinya memberi sokongan 100 peratus kepadanya untuk mengikuti pengajian secara sambilan sambil bekerja sepenuh masa di Eagle Services Asia.
Beliau mengikuti pengajiannya di Kaplan Singapore.
.jpg)
Sebagai seorang ayah pula, beliau akur berasa sedikit terkilan kerana tidak dapat meluangkan begitu banyak masa dengan anak-anaknya yang masih kecil.
Namun, demikian pengorbanan yang perlu dilaluinya bagi membina masa depan yang lebih baik buat anak-anaknya.
"Pada hujung minggu saya akan bahagikan masa. Mungkin pada waktu pagi kita akan keluar dengan keluarga. Lepas itu lewat malam saya akan sambung mengulang kaji pelajaran. Apabila anak-anak ingin bermain bersama saya, saya akan beritahu untuk bermain bersama ibu mereka dahulu," ujarnya lagi.
Bagi mereka yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian, Encik Idris menasihatkan mereka untuk terus berusaha meskipun berdepan dengan cabaran.
"Nasihat saya ialah apabila kita gagal sekali, jangan putus asa. Malah, teruskan dan bersikap positif. Insya-Allah kita akan capai apa yang kita mahukan," kata Encik Idris.
CEKALKAN AZAM UNTUK LANJUTKAN PELAJARAN
Seorang lagi graduan cemerlang Universiti Northumbria tahun ini ialah Encik Haiqal Latif.
Semasa menuntut di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, Encik Haiqal tidak mendapat keputusan yang baik bagi peperiksaan peringkat 'O'.
Beliau kemudian meneruskan pembelajaran di Institut Pendidikan Teknikal (ITE).
Menurut Encik Haiqal, minatnya terhadap bidang kaunseling kemudian tercetus semasa menjalani Perkhidmatan Negara kerana beliau berpeluang bekerjasama dan membantu ramai individu dengan latar belakang yang berbeza.

Bagi mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang kaunselor, beliau kemudian mendaftarkan diri untuk mengambil kursus Diploma dalam Kaunseling di Kaplan pada 2017.
Tidak mahu mensia-siakan peluang kedua, Encik Haiqal belajar bersungguh-sungguh.
Berkat usahanya itu, beliau berjaya menyambung pengajian ke peringkat Sarjana Muda dalam Bimbingan dan Kaunseling dan akhirnya meraih ijazah kepujian kelas pertama dari Universiti Northumbria.
Kejayaan ini bagaimanapun tidak datang bergolek bagi dirinya.
"Bekerja sepenuh masa dan belajar sambilan bukan mudah jadi saya terpaksa mengorbankan masa di hujung minggu untuk menghabiskan tugasan supaya saya berjaya di sekolah, di samping menunaikan tanggungjawab di tempat kerja," ujar Encik Haiqal kepada BERITAmediacorp.

Namun, dengan tekad yang kuat dan iltizam yang tinggi, beliau terus mempertingkatkan kemahiran dengan mengikuti program Sarjana dalam Kaunseling kini di Universiti Monash.
Encik Haiqal berkata isterinya, Cik Nur Sabrina Chua dan keluarganya merupakan pembakar semangatnya untuk terus belajar.
"Nasihat saya adalah untuk tidak takut melakukan kesilapan. Nasihat terakhir saya ialah, supaya menjadi orang yang bersikap terbuka kepada maklum balas dan juga sering bertanya soalan. Anda di sini untuk belajar bukan untuk menunjuk-nunjuk."
Encik Idris dan Encik Haiqal antara 112 graduan yang menerima ijazah masing-masing di Ritz-Carlton hujung minggu lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.