Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peluang ikuti latihan & main bola sepak dalam kelab unggul Sepanyol jadi hadiah hari lahir bermakna buat Nur Ain Salleh

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pada hari lahirnya yang ke-15 pada Selasa (7 Jan), Nur Ain Salleh akan terbang ke Sepanyol untuk mengejar impiannya menjadi seorang pemain bola sepak profesional.

Beliau akan berlatih dan bermain di bawah kelab bola Madrid CFF di samping meneruskan pengajiannya di Sekolah King's College di sana selama empat tahun.

Impiannya itu dapat direalisasikan dengan Biasiswa Bola Sepak Luar Negara Unleash The Roar!.
 
(Gambar: Lion City Sailors FC)
"Saya rasa bangga dan teruja apabila jurulatih saya beritahu saya yang saya dapat pergi Sepanyol sebab cita-cita saya ialah ingin pergi luar negara untuk bermain dengan pasukan besar macam buktikan yang saya sebagai seorang wanita dari negeri yang kecil boleh macam main luar negara," kongsi Ain kepada wartawan Nur Arina Ahmad Anis.

AIN CIPTA REKOD

Dengan pencapaiannya itu, Ain juga mencipta rekod sebagai pemain bola sepak perempuan pertama Akademi Lion City Sailors yang mendapat biasiswa tersebut.
(Gambar: Lion City Sailors FC)

Menurut Pengurus Besar akademi tersebut, Encik Tan Li Yu, bakat Ain sudah menyerlah sejak beliau menyertai akademi itu pada usia 10 tahun lagi.

"Dia pemain termuda yang diberikan biasiswa ini dan sekarang dia akan bermain untuk pasukan yang terunggul yang mana tidak ramai yang mendapat peluang untuk bermain dalam pasukan wanita itu. Pada pendapat saya, dia sudah membuktikan yang dia adalah seorang pelopor dan sebagai seorang perempuan dengan peluang ini, tidak kira sesiapa yang mahu menjadi pemain bola sepak profesional, ini adalah peluangnya," kata Encik Tan.

18 BIASISWA UTR SUDAH DIBERIKAN

Menurut Kumpulan Pembangunan Sukan, SportSG Marcus Tan, sebanyak 18 Biasiswa Bola Sepak Luar Negara Unleash The Roar! (UTR) sudah diberikan sejak diperkenalkan dua tahun lalu.

"Tujuan biasiswa ini ialah memberikan persekitaran bermain bola sepak yang terbaik kepada mereka. Ini tidak kira latihan-latihan. Di Singapura kami sedang berusaha untuk membangunkan pemain belia, tidak kira Liga Belia Singapura, mahupun menyediakan latihan harian yang akan mempertingkatkan kemahiran mereka.

Namun, pada ketika ini kami ingin belajar daripada yang terbaik dan kami memilih pemain yang terbaik untuk ke luar negara untuk benar-benar menghayati dalam sekitaran itu," kata Encik Marcus Tan.

(Gambar: Lion City Sailors FC)
Dengan berbuat demikian, ia diharapkan bahawa para pemain itu dapat mempertingkatkan diri dengan lebih cepat berbanding berada di Singapura sekali gus dapat membangunkan mutu para pemain bola sepak Singapura.

Bagi ibunya pula, meskipun berasa amat bangga atas kejayaan anaknya, Cik Zainah Karim akur bahawa beliau sebenarnya berasa amat sukar untuk 'melepaskannya'.

"Ya Allah. Saya cakap cukup sedih fasal umur dia 14 tahun bukan? Jadi saya pasal dia belum berdikari. Walaupun dia yang paling saya kira 'anak bontot' kata orang, paling saya sayang. Kata orang susah senang apa semua sebab saya dari dia kecil saya ikut dia main bola semua," kata Cik Zainah

"Selepas bapa dia meninggal, saya terpaksa lepaskan juga dia pergi sendiri main bola. Kadang saya tengok tengah malam saya menangis. Ya Allah, macam kasih sayang itu macam kurang. Walaupun berat saya nak lepaskan, saya terpaksa kerana dia minat," tambahnya.

Ain yang merupakan anak bongsu dalam empat beradik, bercita-cita untuk menjadi pemain bola sepak profesional dan berharap bakatnya dapat digilap lagi dengan latihan di Sepanyol.

Selain Ain, lagi dua pemain iaitu Nadila Nur Danisha dan Charlotte Chong juga terpilih bagi biasiswa tersebut bagi kohort 2024.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan