Skip to main content

Singapura

'Peluang bersejarah' bagi kuasa besar dunia pimpin, tambat hati sejagat, sedang aturan global kian goyah

Terdapat "peluang bersejarah" bagi semua kuasa besar dunia untuk melaksanakan kepimpinan bagi menambat hati dunia di tengah-tengah peralihan dalam aturan global, kata Menteri Pertahanan Chan Chun Sing, sambil menambah bahawa dengan melakukan demikian ia memerlukan kemurahan hati dan komitmen bersama bagi memelihara keharmonian.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Sep 2025 05:51PM Dikemas Kini : 18 Sep 2025 09:37PM
SINGAPURA: Terdapat "peluang bersejarah" bagi semua kuasa besar dunia untuk melaksanakan kepimpinan bagi menambat hati dunia di tengah-tengah peralihan dalam aturan global, kata Menteri Pertahanan Chan Chun Sing, sambil menambah bahawa dengan melakukan demikian ia memerlukan kemurahan hati dan komitmen bersama bagi memelihara keharmonian.

Pada masa yang sama, negara-negara kecil seperti Singapura juga berpeluang menyumbang kepada kestabilan global dengan "berpihak kepada prinsip, dan bukannya kuasa", katanya.

"Dengan keadaan keselamatan dan ketertiban ekonomi global yang semakin meruncing, negara-negara kecil mungkin berdepan lebih banyak tekanan untuk memilih pihak.

"Namun, memilih pihak dan menjadi proksi bagi pihak lain menimbulkan ketidakrelevenan dan menjejas agensi seseorang", kata Encik Chan.

"Justeru negara-negara kecil tidak mampu menyebelahi satu pihak. Sebaliknya, kita harus sentiasa mengambil pendirian yang menyokong aturan berasaskan peraturan yang terbuka dan inklusif. Ini adalah cara terbaik untuk menjamin penakatan dan kejayaan kita dalam jangka panjang."

Encik Chan berkata demikian di Forum Xiangshan Beijing ke-12 pada Khamis (18 Sep), iaitu acara tiga hari yang menghimpunkan pemimpin pertahanan peringkat tinggi, ketenteraan dan ehwal luar bagi membincangkan pelbagai isu keselamatan.

Ini juga adalah lawatan pertamanya ke China sebagai menteri pertahanan.

TIGA BAHAYA YANG JEJAS ATURAN GLOBAL

Forum tahun ini membawa tema "menjaga aturan antarabangsa dan menggalak pembangunan aman".

Selaras dengan itu, Encik Chan memberi amaran mengenai tiga bahaya yang menjejas aturan global iaitu pemecahan, ketidakpastian yang meningkat dan rasa tidak selamat yang semakin bertambah.

Beliau menarik perhatian bahawa walaupun banyak negara meraih manfaat daripada liberalisasi ekonomi dan integrasi global, rasa tidak puas hati yang semakin meningkat terhadap keuntungan yang tidak sekata mendorong penolakan terhadap dasar perlindungan (protectionist).

"Sedang negara-negara mengutamakan perkembangan di negara sendiri, akan ada kurang peluang bagi negara-negara untuk berdagang, melabur dan menjalankan perniagaan bersama-sama.

"Potensi ekonomi dunia akan menyusut," kata Encik Chan.

"Dunia berisiko terjebak dalam situasi 'Prisoners' Dilemma' - di mana tindakan individu mengejar kepentingan sendiri hanya membawa hasil buruk bagi semua pihak."

Ketidakpastian dasar, seperti tarif "tidak menentu dan berubah-ubah", akan mengurangkan lagi keupayaan pengeluaran global, kata Encik Chan, sambil memberi amaran ketidaktentuan ekonomi juga boleh mencetuskan ketidakstabilan politik di sesetengah negara.

"Sejarah mengajar kita bahawa keadaan sedemikian boleh mencetuskan konflik. Pergolakan ekonomi pada tahun-tahun 1930an di kebanyakan negara mewujudkan keadaan sesuai bagi politik radikal.

"Ini mencetuskan situasi yang bertambah buruk dalam dasar ekonomi dan kestabilan keselamatan, (yang) boleh dikatakan menyumbang kepada Perang Dunia II," kata Encik Chan.

"Kami sekali lagi berisiko terjebak dalam kitaran yang serupa," kata Encik Chan.

Beliau menekankan di tengah-tengah aturan global yang semakin goyah, semua negara, tidak kira kecil atau besar, berkongsi tanggungjawab dan agensi untuk membentuk dunia yang diingini.

Encik Chan berkata aturan dunia harus berdasarkan undang-undang antarabangsa dan hak sama rata, supaya setiap negara mempunyai peluang yang adil untuk bersaing dan menyumbang.

Tanpa kepercayaan dan dialog, beliau memberi amaran, negara-negara akan mempunyai tanggapan buruk mengenai satu sama lain.

Encik Chan yang juga Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam melakukan lawatan kerja empat hari ke China.

Di Beijing, Encik Chan juga mengadakan pertemuan dengan Naib Pengerusi Suruhanjaya Ketenteraan Pusat Jeneral Zhang Youxia, di mana kedua-duanya mengukuhkan hubungan pertahanan dan mengikrarkan pertukaran tentera yang lebih rapat.

Beliau juga mengunjungi Universiti Pertahanan Nasional Tentera Pembebasan Rakyat (PLA), bertemu dengan presidennya Jeneral Xiao Tanliang dan menghadiri dialog bersama beberapa pegawai kanan PLA dan wilayah mengenai isu-isu keselamatan.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita