Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelonggaran peraturan dormitori disambut baik; NGO gesa dilonggarkan lagi

Isnin lalu (15 Nov), Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng berkata di sidang jawatankuasa bertindak berbilang kementerian mengenai COVID-19 bahawa sekatan ke atas para pekerja hijrahan yang menetap di dormitori akan dilonggarkan secara bertahap-tahap.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelonggaran peraturan dormitori disambut baik; NGO gesa dilonggarkan lagi

Suasana di S11 Dormitory @ Punggol pada 6 Apr 2020. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 22 Nov 2021 08:45AM Dikemas Kini : 22 Nov 2021 08:47AM

SINGAPURA: Isnin lalu (15 Nov), Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng berkata di sidang jawatankuasa bertindak berbilang kementerian mengenai COVID-19 bahawa sekatan ke atas para pekerja hijrahan yang menetap di dormitori akan dilonggarkan secara bertahap-tahap.

Pihak berkuasa akan membenarkan 3,000 pekerja hijrahan setiap hari untuk mengunjungi sebarang lokasi dalam masyarakat sehingga lapan jam setiap kali. Ini berbanding 3,000 pekerja setiap minggu buat masa ini dengan kunjungan dihadkan kepada Little India dan Geylang Serai.

Para pekerja perlu menjalani ujian pra-acara pantas antigen sebelum meninggalkan dormitori sebagai langkah tambahan.

"Boleh keluar ke mana-mana, mungkin sekali sebulan adalah sesuatu yang baik untuk kita, demi kesihatan mental," kata Encik Ahmed Shamim, seorang pekerja hijrahan.

Namun, Encik Ahmed turut menyuarakan bahawa hari cutinya hanya pada hari Ahad bahkan waktu kerjanya juga panjang lantas peluang beliau untuk membuat tempahan slot untuk keluar berjalan-jalan agak terhad.

Para aktivis dan pertubuhan bukan pemerintah (NGO) bagi pekerja hijrahan juga meluahkan keprihatinan yang sama.

"Ia akan lebih membantu bagi para majikan dan pekerja sekiranya semua sekatan dilonggarkan dan biarkan para pekerja keluar dari dormitori mereka pada bila-bila masa," kata Encik Alex Au dari TWC2.

"Apa yang kami perlu lakukan, terutama sekali kerana 98 peratus daripada mereka sudahpun divaksin, adalah untuk memastikan mereka mematuhi langkah-langkah jarak selamat yang sama dilaksanakan ke atas rakyat Singapura yang lain."

Mantan Anggota Parlimen Dilantik Anthea Ong pula berkata beliau "berasa lega" selepas sekatan-sekatan dilonggarkan baru-baru ini tetapi menekankan bahawa 3,000 pekerja sehari adalah jumlah yang kecil daripada anggaran 300,000 pekerja yang tinggal di dormitori.

"Sebilangan pekerja hijrahan berkongsi bagaimana mereka rasa bimbang, kecewa, sedih dan didiskrimasi serta rentan kerana tidak memahami mengapa mereka terkurung sekian lama meskipun mereka sudah divaksin seperti penduduk Singapura yang lain," kata beliau.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan para pekerja boleh memilih slot untuk keluar ke lokasi-lokasi dalam masyarakat dan pusat riadah menggunakan sistem Pas Keluar Dormitori.

Tentang isu hari rehat para pekerja, kementerian itu menyatakan ia sudahpun menggalak para majikan supaya mengatur secara bergilir-gilir hari cuti sepanjang minggu bagi para pekerja yang tinggal di dormitori.

Menurut makluman MOM, para majikan boleh memilih dan mengatur hari rehat para pekerja secara online. Para pekerja yang dikerahkan untuk menyiapkan projek dan kerja yang tidak boleh dilakukan pada hari Ahad akan diberikan hari tersebut sebagai hari rehat.

Bagaimanapun, Pusat Pekerja Hijrahan (MWC) menyatakan peraturan tidak dibenarkan bekerja pada Ahad di tapak binaan adalah untuk melindungi kesihatan awam, lantas menjelaskan mengapa ramai pekerja hijrahan tidak bekerja pada hari Ahad.

Oleh itu, aturan hari rehat secara bergilir-gilir sepanjang minggu mungkin tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

MOM menyatakan Kumpulan Jaminan, Jagaan dan Pendampingan (ACE) sedang bekerjasama dengan NGO-NGO dan para rakan masyarakat untuk menambah kegiatan di pusat-pusat riadah seperti menganjurkan perlawanan futsal dan tayangan filem dan sukan dalam masa minggu-minggu mendatang.

"MOM akan terus memantau keadaan dan melonggarkan sekatan secara bertahap-tahap dan selamat," menurut kementerian itu.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan