Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelonggaran langkah pengurusan COVID-19 akan bawa S'pura 'hampir kembali seperti sedia kala': PM Lee

Pelonggaran langkah-langkah pengurusan COVID-19 mulai 26 April akan membawa Singapura "hampir kembali ke keadaan seperti" sebelum pandemik, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Sabtu (23 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Apr 2022 05:46PM Dikemas Kini : 23 Apr 2022 09:17PM

SINGAPURA: Pelonggaran langkah-langkah pengurusan COVID-19 mulai 26 April akan membawa Singapura "hampir kembali ke keadaan seperti" sebelum pandemik, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Sabtu (23 Apr).

Beliau berkata demikian sehari selepas pasukan bertindak berbilang kementerian mengenai COVID-19 mengumumkan mulai 26 April, Singapura akan menurunkan tahap Sistem Respons Keadaan Penularan Penyakit (DORSCON) dari Jingga kepada Kuning buat pertama kali dalam masa lebih dua tahun.

Langkah-langkah yang akan dilonggarkan, termasuk menarik balik had terhadap saiz kumpulan dan kapasiti di tempat kerja.

Langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi juga ditarik balik bagi kebanyakan situasi mulai 26 April, dan TraceTogether tidak lagi diperlukan untuk masuk ke kebanyakan tempat.

Semua pelawat lengkap divaksin yang memasuki Singapura menerusi jalan udara atau laut tidak perlu mengambil ujian sebelum pelepasan mulai 26 April.

"Kami raikan pelonggaran lanjut langkah-langkah pengurusan selamat yang diumumkan pasukan bertindak berbilang kementerian semalam," kata Encik Lee dalam satu catatan Facebook.

"Perubahan ini akan membawa kita hampir ke keadaan sebelum COVID-19," katanya.

"Saya percaya semua orang akan mengamalkan tanggungjawab sosial - pakai pelitup dalam bangunan, jalani pengasingan kendiri jika anda rasa kurang sihat dan saling menjaga satu sama lain."

Dalam catatan yang sama, Encik Lee memuat naik beberapa gambar yang dipetik semasa beliau bersiar-siar di Kebun Bunga Singapura pada hujung minggu lalu.

Menurut Encik Lee, beliau terjumpa kumpulan peserta senaman yoga yang sama beliau lihat tahun lalu melakukan aktiviti itu dengan memakai pelitup.

Kali ini, bagaimanapun mereka melakukan senaman tanpa memakai pelitup.

Pemakaian pelitup di luar bangunan tidak diwajibkan mulai 29 Mac.

Meskipun pelitup masih diwajibkan semasa berada dalam bangunan termasuk dalam pengangkutan awam, terdapat kelonggaran bagi pekerja untuk tidak memakai pelitup di tempat kerja mereka mulai 26 April.

Mereka boleh berbuat demikian apabila mereka tidak berinteraksi secara fizikal dengan orang lain dan apabila mereka tidak berada di tempat yang berurusan dengan pelanggan, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (22 Apr).

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan