Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelonggaran kawalan sempadan bolehkan ramai pulang beraya bersama keluarga di S'pura

Sambutan Hari Raya tahun ini sangat istimewa dan lebih lengkap bagi Encik Mohd Azhar Khalid sekeluarga.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sambutan Hari Raya tahun ini sangat istimewa dan lebih lengkap bagi Encik Mohd Azhar Khalid sekeluarga.

Anak perempuannya akhirnya dapat pulang untuk beraya bersama seisi keluarga setelah sekian lama tidak dapat pulang ke tanah air akibat COVID-19.

SAMBUTAN HARI RAYA YANG LEBIH LENGKAP

Anak perempuan Encik Azhar, Fathoum Annadhirah, 26 tahun pergi ke Australia pada 2016 untuk meneruskan pengajiannya dalam bidang undang-undang di Universiti Tasmania selama empat tahun.

Beliau sepatutnya pulang pada 2020 namun terkandas di sana apabila pandemik COVID-19 melanda dan sempadan negara ditutup.

Perintah berkurung ketat yang dilaksanakan di Australia juga menyukarkan Cik Fathoum membuat perancangan untuk pulang ke Singapura.

Ibarat pucuk dicita ulam mendatang, apabila Singapura mengumumkan pelonggaran langkah-langkah sekatan COVID-19 seminggu sebelum Hari Raya, Encik Azhar serta-merta menyuruh anaknya untuk menempah tiket penerbangan pulang.

Bermula 26 April lalu, semua pelawat ke sini, yang sudah lengkap divaksin tidak lagi perlu melakukan ujian sebelum keberangkatan.

"Bila saya dengar berita bahawa Singapura telah melonggarkan peraturan kawalan COVID-19, saya terus terfikir untuk menanyakan anak saya, sama ada beliau dapat kembali ke Singapura untuk sama-sama beraya dengan kita tahun ini," kata Encik Azhar.

Mujur, majikan Cik Fathoum di syarikat undang-undang di Melbourne membenarkannya untuk pulang selama seminggu.

"Kita pun takut tidak ada tiket penerbangan pula kan, jadi kita nak tempah tiket penerbangan semasa tempoh dia diberi cuti itu. Dalam keadaan gembira dan juga teruja ingin lihat dia pulang, kita dengan cepat membuat tempahan online dan sebagainya," seloroh Encik Azhar.

Setelah enam tahun menyambut Hari Raya di perantauan, tentu sekali yang dirindukan adalah juadah Hari Raya dan beraya dengan seisi keluarga.

"Tentu sekali saya rindukan juadah Hari Raya yang disediakan oleh keluarga saya, makan ketupat, sambal goreng dan juga kuih raya. Selain itu, dapat beraya dengan keluarga selepas 6 tahun berjauhan," kata Cik Fathoum.

Cik Fathoum merupakan antara ramai anak watan yang menetap di luar negara yang memutuskan untuk pulang beraya di Singapura tahun ini dengan pelonggaran langkah-langkah kawalan sempadan.

BERAYA DALAM KUARANTIN TAHUN LALU

Warga tempatan Cik Shafikah Sulaiman, 28 tahun yang berhijrah ke Liverpool setelah bernikah dengan suaminya seorang warga Britain, James Phylip-Jones, 32 tahun, sudah lama menghitung hari untuk menyambut Hari Raya dengan sanak saudara mereka di Singapura.

Meskipun dapat pulang ke Singapura pada tahun lalu, mereka sekadar dapat beraya di hotel kerana perlu menjalani kuarantin.

Juadah masakan Hari Raya yang dihantar oleh ibu Cik Shafikah. (Gambar ihsan: Nur Shafikah Sulaiman)

Ini setelah pemerintah Singapura melanjutkan tempoh notis Jangan Keluar Rumah (SHN) daripada 14 hari kepada 21 hari bagi pelawat dari negara-negara berisiko termasuk United Kingdom pada Mei tahun lalu.

Namun kali ini, pasangan muda itu lebih bernasib baik kerana langkah kawalan sempadan Singapura dilonggarkan pada hari mereka tiba di sini.

"Nasib baik bila kita sampai di Singapura, peraturan COVID telah dilonggarkan jadi kami tidak perlu ambil ujian COVID-19 atau jalani kuarantin di Singapura lagi," ujar Cik Shafikah.

Hari Raya tahun ini juga merupakan kali pertama suami Cik Shafikah dapat bertemu dengan seisi keluarganya di sini.

(Gambar Ihsan: Nur Shafikah Sulaiman)

Ini kerana majlis pernikahan mereka diadakan secara sederhana pada 2019 dan pandemik COVID-19 yang melanda tidak lama kemudian menyukarkan pasangan itu untuk pulang ke Singapura setelah bermastautin di Liverpool, Britain.

Meskipun tinggal nun jauh di negeri orang, sanak saudara di kota Singa tetap tidak dilupakan.

"Kami rasa ia amat penting untuk bersama keluarga pada Hari Raya lagi-lagi bila kami tinggal
jauh daripada mereka untuk mengeratkan silaturahim semasa berada di UK," kata Cik Shafikah.

Setakat pertengahan April lalu, seramai 400,000 penumpang udara melawat Singapura dan 32 peratus daripadanya merupakan rakyat serta penduduk tetap Singapura.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa