Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelitup tidak lagi diwajibkan dalam pengangkutan awam mulai 13 Feb; SG mansuh sekatan COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pemakaian pelitup dalam pengangkutan awam dan di sesetengah tempat jagaan kesihatan dan rumah jagaan tidak lagi diwajibkan mulai Isnin (13 Feb).

Ini selepas Singapura menurunkan tahap amaran COVID-19 ke paras yang terendah sejak pandemik koronavirus melanda negara ini.

Sungguhpun demikian, Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan pada Khamis (9 Feb) bahawa ia akan mengekalkan amalan memakai pelitup ke atas para penziarah, kakitangan dan pesakit di tempat-tempat di mana terdapat interaksi dengan pesakit serta persekitaran seperti hospital, klinik dan rumah jagaan.

Ia akan menjadi keperluan MOH dan bukan syarat-syarat yang diwajibkan di bawah peraturan-peraturan COVID-19 bagi melindungi para pesakit dan pekerja jagaan kesihatan daripada dijangkiti penyakit berjangkit, menurut kementerian itu dalam kenyataan medianya hari ini.

Sejak April lalu, Singapura mengekalkan status Kuning - tahap kedua terendah - di bawah rangka kerja Keadaan Sistem Respons Wabak Penyakit (DORSCON).

Mulai Isnin, tahap itu akan diturunkan ke warna Hijau, sekali gus meletakkan COVID-19 di dalam kategori yang sama dengan
Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) dan selesema burung H7N9.

Singapura menaikkan tahap DORSCON buat pertama kali ke warna Jingga pada 7 Februari 2020 dan menguatkuasakan pemakaian pelitup pada April 2020.

"Normal baru endemik COVID-19 ... tidak statik, dan kami akan menyesuaikan langkah-langkah kami jika perlu," menurut MOH.

"Selagi ia bukan varian yang sangat berbahaya dan menular dengan pantas, kita sepatutnya boleh menguruskan gelombang seterusnya dengan tahap langkah-langkah yang sesuai dan tidak banyak berubah daripada norma baru ini dan dapat terus menjalani kehidupan seperti biasa."

MOH juga mengumumkan bahawa Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) COVID-19 yang ditubuhkan pada Januari 2020 akan dibubarkan.

Sebaliknya, MOH akan mengambil alih tugas menguruskan keadaan COVID-19. Tetapi jika keadaan bertukar menjadi lebih teruk dengan begitu mendadak, maka pemerintah akan mengaktifkan semula struktur pengurusan krisis berbilang agensi.

PROTOKOL COVID-19 DIMANSUHKAN

MOH turut menyatakan bahawa ia akan memansuhkan Protokol 1-2-3 mulai 13 Feb.

Matlamat protokol itu adalah untuk menentukan apa yang harus dilakukan oleh seseorang individu jika berasa kurang sihat atau diuji positif bagi COVID-19.

Di bawah garis panduan baru bagi orang awam, para individu yang lemah dari segi perubatan yang mempunyai simptom Jangkitan Pernafasan Akut (ARI) dan juga sesetengah individu dengan gejala ARI yang berpanjangan atau semakin teruk, mereka dinasihatkan supaya berjumpa doktor.

Mereka yang mengalami gejala ringan ARI dinasihatkan supaya duduk di rumah sehingga simptom-simptom itu selesai dirawat.

Jika perlu keluar rumah, baik bergejala mahupun tidak, tetapi positif COVID-19, para individu seharusnya melaksanakan tanggungjawab sosial dan mengurangkan interaksi dengan orang lain, memakai pelitup dan menghindari tempat-tempat sesak, menurut MOH.

Kementerian itu juga mengumumkan bahawa token TraceTogether & aplikasi SafeEntry tidak lagi diperlukan.


Orang ramai boleh memulangkan token TraceTogether dari 13 Februari sehingga 12 Mac di kaunter kesemua 108 balai rakyat dan kelab masyarakat di Singapura.

"Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, sedang keadaan pandemik semakin bertambah stabil, pemerintah secara bertahap-tahap menarik balik penggunaan TraceTogether dan SafeEntry," menurut MOH.

"Kami tidak lagi memerlukan mereka yang dijangkiti menghantar data TraceTogether dan data SafeEntry tidak lagi dikumpulkan dan MOH sudah menghapuskan semua data SafeEntry dan TraceTogether daripada server dan pangkalan datanya."

Pada masa yang sama, MOH menyatakan bahawa ia "berguna" untuk menyimpan kedua-dua sistem dan bersiap sedia untuk mengaktifkannya semula jika varian baru yang lebih berbahaya dikesan. Untuk tujuan ini, maklumat pendaftaran seperti nama dan nombor telefon akan dikekalkan di dalam sistem," menurut MOH.

Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan