Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelitup tidak diwajibkan mulai 29 Ogos kecuali dalam pengangkutan awam & kemudahan jagaan kesihatan

Anggaran Waktu Membaca:
Pelitup tidak diwajibkan mulai 29 Ogos kecuali dalam pengangkutan awam & kemudahan jagaan kesihatan

(Gambar: Gaya Chandramohan/CNA)

Diterbitkan : 24 Aug 2022 01:32PM Dikemas Kini : 24 Aug 2022 09:45PM

SINGAPURA: Mulai Isnin depan (29 Ogos), para penduduk di Singapura tidak akan diwajibkan memakai pelitup, kecuali dalam pengangkutan awam dan di kemudahan jagaan kesihatan, umum Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Rabu (24 Ogos). 

Pelitup masih perlu dipakai dalam pengangkutan awam seperti dalam MRT, LRT dan bas awam, serta di dalam kemudahan pengangkutan awam, seperti tempat naik bas di pusat pertukaran bas dan platform MRT, kata Encik Wong semasa sidang media  Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian COVID-19 (MTF). 

Sungguhpun demikian, pelitup tidak perlu dipakai di lapangan terbang, pusat pertukaran bas berudara dan kawasan runcit di stesen MRT, LRT dan pusat pertukaran bas. 

Pelitup juga akan menjadi pilihan pada mod pengangkutan persendirian seperti  teksi, bas sekolah dan khidmat bas privet, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataan media berasingan pada Rabu (24 Ogos).

Peraturan memakai pelitup akan dikekalkan bagi kemudahan jagaan kesihatan, rumah jagaan dan ambulans. Ini termasuk rumah kebajikan bagi warga emas, serta rumah jagaan dewasa kurang upaya. 

Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan pelonggaran peraturan memakai pelitup di Singapura sewaktu menyampaikan ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad (21 Ogos). 

Encik Wong pada Rabu (24 Ogos) berkata pelitup masih perlu dipakai dalam pengangkutan awam dan di kemudahan jagaan kesihatan kerana ini merupakan "kawasan-kawasan kritikal di mana khidmat-khidmat penting sedang disediakan di tempat yang tertutup dan sesak, serta lazimnya digunakan oleh golongan yang mudah jatuh sakit". 

Bagi para pekerja dalam sektor-sektor tertentu, mereka masih dikehendaki memakai pelitup, menurut MOH. Misalnya, pengendali makanan masih perlu memakai pelitup selaras dengan syarat-syarat kebersihan Agensi Makanan Singapura (SFA). 

"Pemakaian pelitup kekal sebagai kaedah yang berkesan untuk mengurangkan risiko penularan penyakit," menurut MOH dalam kenyataan medianya. 

"Walaupun kita sekarang berada dalam keadaan pandemik di mana pemakaian pelitup tidak diwajibkan di banyak tempat, orang ramai digalakkan supaya terus berjaga-jaga dan bersikap bertanggungjawab, seperti memakai pelitup di tempat-tempat ramai orang, atau apabila menziarahi atau berinteraksi dengan individu-individu yang mudah jatuh sakit." 

Para pakar menasihatkan warga emas dan individu yang mempunyai daya imun yang lemah supaya terus memakai pelitup di tempat-tempat tertutup yang sesak untuk mengurangkan risiko jangkitan sebarang penyakit pernafasan, tambah MOH. 

Jumlah jangkitan COVID-19 di Singapura sudah merosot bagi semua kumpulan usia sejak lewat Julai dan jumlah pesakit yang dirawat di hospital turun 50 peratus sejak kemuncaknya pada bulan lalu, menurut MOH. 

Singapura kali terakhir melonggarkan langkah-langkah COVID-19 dengan ketara pada 26 April, apabila had saiz kumpulan dan langkah-langkah jarak selamat dimansuhkan. 

SafeEntry dan TraceTogether juga tidak lagi diperlukan di kebanyakan tempat. 

Semua pekerja dibenarkan pulang ke tempat kerja dan tahap Keadaan Sistem Respons Wabak Penyakit  (DORSCON) diturunkan dari warna Jingga ke Kuning selepas lebih dua tahun. 

Rangka kerja DORSCON yang memberi petunjuk tentang keadaan semasa penyakit, dinaikkan ke warna Jingga pada 7 Februari 2020, iaitu pada permulaan pandemik. 

Langkah memakai pelitup di luar rumah juga ditarik balik pada 29 Mac bersama dengan menaikkan had perhimpunan sosial dari lima kepada 10 orang. 

SEKATAN ZIARAH HOSPITAL DILONGGARKAN

Langkah-langkah bagi menziarahi hospital dan rumah jagaan juga akan dilonggarkan mulai 1 September, dedah MOH. 

MOH sebelum ini mengumumkan bahawa langkah-langkah pengurusan selamat (SMM) bagi pelawat ke tempat-tempat berkenaan akan dilanjutkan sehingga 31 Ogos. 

Mulai 1 September, setiap pesakit dan penghuni akan dibenarkan dua pelawat pada setiap masa. 

Penziarah perlu mematuhi waktu lawatan di hospital, manakala waktu lawatan ke rumah jagaan akan dihadkan kepada satu jam.

Pelawat digalakkan untuk menjalani ujian pantas antigen  (ART) dan diuji negatif pada hari lawatan, menurut MOH. 

Orang ramai juga tidak seharusnya menziarahi orang tersayang jika mereka tidak sihat. 

"Hospital dan rumah jagaan berhak untuk mengenakan tambahan had lawatan dan/atau syarat ujian bagi pelawat dan pesakit/penghuni yang tidak divaksin atau mudah jatuh sakit dan menggantung lawatan sekiranya terdapat kelompok aktif COVID-19 bagi membendung penularan," menurut MOH dalam kenyataan medianya. 

"Kami memohon kerjasama berterusan orang ramai untuk mematuhi SMM di hospital dan rumah jagaan supaya kami boleh terus memastikan pesakit dan penghuni selamat."

Langkah-Langkah Pengurusan Selamat Berdasarkan Status Vaksinasi (VDS) - seperti memastikan pelanggan yang duduk makan di pusat makanan dan minuman (F&B) harus divaksin  - tidak akan diubah, kata Encik Wong. 

Buat masa ini, pemeriksaan status vaksinasi hanya diperlukan bagi acara besar-besaran dan hanya individu yang divaksin dibenarkan untuk duduk makan di kedai-kedai F&B. 

"Namun, perniagaan-perniagaan tidak perlu melakukan pemeriksaan kerana ini berdasarkan individu masing-masing dan kami melakukan pemeriksaan secara rambang. 

"Buat masa ini, kami akan mengekalkan pendekatan ini. Justeru, tiada perubahan pada langkah berkenaan kerana vaksinasi masih merupakan cara terbaik untuk melindungi diri daripada penyakit serius dan COVID-19," kata Encik Wong. 

"Kami sedang menyemak semula dasar vaksinasi untuk beralih ke sistem di mana kami dapat mengemas kini vaksinasi yang ada." 

Pemerintah sedang mengkaji bagaimana untuk mentafsir definisi vaksinasi yang terkini, dan apakah sepatutnya pentakrifannya, tambah Encik Wong, sambil menarik perhatian bahawa dos penggalak pertama seharusnya diambil tidak lewat daripada 270 hari selepas dos-dos asas COVID-19. 

"Sedang kita beralih ke sistem baru ini, kami akan menyemak semula dan mengemas kini syarat-syarat VDS di setiap peringkat." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan