Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelitup muka tidak diwajibkan di tempat tertutup mulai 29 Ogos; ini yang perlu anda tahu

Anggaran Waktu Membaca:
Pelitup muka tidak diwajibkan di tempat tertutup mulai 29 Ogos; ini yang perlu anda tahu

(Gambar: CNA/Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 24 Aug 2022 04:34PM Dikemas Kini : 24 Aug 2022 04:41PM
SINGAPURA: Mulai Isnin depan (29 Ogos), para penduduk di Singapura tidak diwajibkan memakai pelitup, kecuali dalam pengangkutan awam dan di kemudahan jagaan kesihatan.

Demikian diumumkan pihak berkuasa pada Rabu (24 Ogos), selepas Perdana Menteri Lee Hsien Loong berucap mengenai pelonggaran peraturan memakai pelitup sewaktu menyampaikan ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) pada Ahad (21 Ogos).

Berikut apa yang anda perlu tahu mengenai peraturan baru tersebut:

PENGANGKUTAN AWAM

Pelitup masih perlu dipakai dalam pengangkutan awam seperti dalam MRT, LRT dan bas awam, serta di kemudahan-kemudahan pengangkutan awam, seperti tempat menunggu bas di pusat pertukaran bas dan platform MRT.

Sementara itu, pelitup tidak diwajibkan bagi pengangkutan privet seperti teksi, bas sekolah dan khidmat bas privet. Para penumpang dinasihatkan agar memeriksa dengan pengendali privet jika terdapat syarat tambahan bagi khidmatnya, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Sungguhpun demikian, pelitup tidak perlu dipakai di lapangan terbang, pusat pertukaran bas dengan pengaliran udara semula jadi dan kawasan runcit di stesen-stesen MRT, LRT dan pusat pertukaran bas.

PENERBANGAN ANTARABANGSA

Pengarah khidmat perubatan MOH Kenneth Mak berkata semasa sidang media bahawa bagi penerbangan antarabangsa, syarat memakai pelitup muka bergantung kepada peraturan destinasi pilihan dan juga syarikat pengangkutan tersebut.

"Syarikat pengangkutan mungkin mempunyai syarat yang dikuatkuasakan bergantung kepada negara asalnya juga, oleh itu di mana terdapat keperluan untuk memakai pelitup muka...pelitup muka harus dipakai semasa penerbangan itu," kata beliau.

Sekalipun demikian, terdapat negara-negara di mana pemakaian pelitup muka mungkin tidak diwajibkan, seperti Amerika Syarikat, tambah beliau.

"Dalam suasana sebegitu, di mana negara tidak menguatkuasakan atau tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka, penerbangan ke destinasi tersebut tidak akan mewajibkan pemakaiannya semasa dalam penerbangan selagimana syarikat penerbangan juga tiada syarat sedemikian bagi perjalanan udaranya," kata Profesor Madya Mak.

KEMUDAHAN JAGAAN KESIHATAN

Kemudahan-kemudahan jagaan kesihatan, rumah jagaan dan ambulans masih kekal dengan syarat memakai pelitup muka. Ini termasuk rumah kebajikan dan perlindungan untuk warga emas serta rumah jagaan bagi orang dewasa kurang-upaya.

Demikian juga bagi kemudahan jagaan COVID-19, pusat ujian dan pusat vaksinasi.

Pelitup muka juga diperlukan di premis-premis runcit serta makanan dan minuman (F&B) dan kawasan awam yang terletak di pekarangan bangunan hospital, pusat pakar nasional dan poliklinik.

Namun, pelitup muka tidak diperlukan di klinik fisioterapi dan klinik kesihatan bersekutu yang lain bagi khidmat seperti terapi ucapan dan terapi cara kerja yang terletak di luar hospital. Pelitup muka juga tidak diperlukan di kemudahan bukan di kejiranan yang menyediakan khidmat masyarakat seperti khidmat berasaskan khidmat, khidmat balik hari dan khidmat rumah jagaan.

SEKOLAH

Meskipun Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian COVID-19 (MTF) tidak memberi butiran mengenai pemakaian pelitup muka di sekolah semasa sidang media pada Rabu (24 Ogos), PM Lee sudahpun menyatakan sebelum ini dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan bahawa pelitup muka tidak diperlukan dalam bilik-bilik darjah.

"Kanak-kanak sepatutnya boleh melihat ekspresi wajah guru mereka dan juga satu sama lain. Ini penting untuk pembelajaran dan pembangunan," kata PM Lee.

PERATURAN BAGI PENGENDALI MAKANAN

Syarat sedia ada mengenai pemakaian pelitup muka bagi pengendali makanan dikekalkan, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam satu kenyataan pada Rabu (24 Ogos).

SFA menetapkan syarat berkenaan pada April 2020 bagi kesemua pengendali makanan untuk memakai pelitup muka atau sebarang bentuk hadangan fizikal.

Menurut SFA, ini tertakluk ke atas semua kakitangan yang terlibat dalam penjualan dan penyediaan makanan dan minuman di premis F&B , termasuk pusat penjaja, kedai kopi, restoran, pasar raya, pameran perdagangan, dan premis makanan bukan runcit, termasuk premis pemprosesan makanan dan pusat sembelihan.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan