Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peletakan jawatan Raeesah wajar; dapat tentukan budaya politik negara: Pakar

Peletakan jawatan Cik Raeesah Khan sebagai mantan anggota Parti Pekerja (WP) sekali gus sebagai Anggota Parlimen (AP) GRC Sengkang boleh disifatkan sebagai satu langkah yang sangat wajar.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Peletakan jawatan Cik Raeesah Khan sebagai mantan anggota Parti Pekerja (WP) sekali gus sebagai Anggota Parlimen (AP) GRC Sengkang boleh disifatkan sebagai satu langkah yang sangat wajar.

Pengamat politik mapan dari Universiti Nasional Singapura (NUS) Dr Bilveer Singh berkata demikian kepada BERITAmediacorp pada Rabu (1 Dis) sambil menambah keputusan itu secara tidak langsung dapat menentukan budaya politik Singapura.

Dr Bilveer menjelaskan bahawa keputusan Cik Raeesah meletak jawatan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan kesilapan dilakukan berkait rapat dengan isu integriti.

Lantaran itu, beliau merasakan perlu bagi Cik Raeesah mengundur diri supaya dapat mengehadkan kerosakan ke atas WP.

"Jadi apa yang WP lakukan, khususnya melalui Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) mereka adalah untuk mengurangkan kerosakan kepada WP.

"Dengan mengundurkan diri, ini akan menyelamatkan WP di Sengkang dan dengan mengundurkan diri ini akan menunjukkan kepada rakyat bahawa WP adalah parti yang berprinsip," ujar beliau.

KEDUDUKAN WP DI GRC SENGKANG TIDAK GOYAH

Dr Bilveer menambah bahawa meskipun insiden itu adalah satu ujian bagi WP, ini bagaimanapun tidak bermakna kedudukan WP goyah di GRC Sengkang yang dibentuk semasa Pilihan Raya Umum 2020.

Beliau memberikan tiga sebab utama iaitu sejarah GRC Sengkang yang sebahagiannya pernah dimenangi WP, lokasi GRC berkenaan yang dikelilingi kubu-kubu kuat WP di SMC Hougang dan GRC Aljunied serta profil penduduk kawasan undi tersebut.

Beliau menjelaskan: "Ini daerah pengundi muda sekali. Jadi anda perlu ada kemudahan untuk anak muda, anda harus ada pemimpin anak muda. Mereka itu beroperasi sebagai satu tumpuan geografi WP.

"Tempat itu ditadbirkan dengan hebat. Salah satu majlis bandaran terbaik di Singapura adalah di Sengkang. Ada Dr Jamus Lim, ada Raeesah dan macam-macam. Di bawah majlis bandaran itu juga ada mantan AP, Lee Li Lian. Dia seorang yang berpengaruh dan hebat. Jadi saya rasa pasukan majlis bandaran itu sangat bagus."

INSIDEN AKAN TENTUKAN BUDAYA POLITIK NEGARA

Selain itu, peletakan jawatan Cik Raeesah perlu dilihat dari sudut lebih besar, kata Dr Bilveer.

Ini kerana insiden berkenaan sebenarnya menggariskan budaya politik negara dan akan membawa tempias kepada parti-parti lain.

Dr Bilveer menambah selain meningkatkan standard politik negara yang tinggi, insiden tersebut dapat juga menetapkan apa yang boleh diterima masyarakat terhadap para ahli politik tempatan.

"Dengan insiden ini, terus terang tekanan itu lebih hebat kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP) daripada WP kerana mereka itu ada 83 anggota di Parlimen. Mereka sudah berkuasa begitu lama. Rakyat tidak akan terima jika PAP dan anggotanya melakukan sesuatu dan tidak undur diri. Jadi ini menentukan standard yang tinggi," ujar beliau.

WP akan mengadakan sidang media pada Khamis (2 Dis) untuk memaklumkan rancangan seterusnya parti itu supaya dapat memastikan penduduk Sengkang, khususnya di kawasan undi Compassvale, terus dijaga dan diwakili. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan