Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelestarian warisan, wacana Jawi perlu diperluaskan tetapi secara inklusif

Usaha pelestarian warisan Jawi serta wacana Jawi perlu diperluaskan, namun ia perlu bersifat bukan eksklusif untuk orang Melayu atau Islam sahaja.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Usaha pelestarian warisan Jawi serta wacana Jawi perlu diperluaskan, namun ia perlu bersifat bukan eksklusif untuk orang Melayu atau Islam sahaja.

Dan juga, tidak adil bagi sekolah-sekolah memikul tanggungjawab mencergaskan Jawi pada zaman kini.

Demikian menurut sarjana pengajian Melayu dari Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Azhar Ibrahim, semasa menyampaikan ceramah webinar bertajuk Aksara Jawi: Kesaksian Sejarah dan Sumbangan yang Menghidupi, pada Sabtu (27 Feb).

(Gambar: Petikan skrin dari video)

KAJI JAWI, KAJI SEJARAH PERADABAN

Tanpa penguasaan tulisan Jawi, terpisahlah orang Melayu daripada sejarah peradabannya yang terbangun sejak kedatangan Islam.

Ini kerana selama lebih 700 tahun, Jawi digunakan dalam bidang atau ranah bahasa, kebudayaan, kesusasteraan, kesenian, keagamaan, kerajaan dan keintelektualan Melayu.

Jawi juga bukan untuk orang Melayu atau untuk Islam sahaja, malah ia sebelum ini begitu inklusif sehingga pernah digunakan untuk menulis bahasa Sepanyol oleh masyarakat selatan Filipina pada tahun-tahun 1700, hujah pensyarah Jabatan Pengajian Melayu NUS itu.

Dr Azhar Ibrahim Alwee.

JAWI DIGUNAKAN DENGAN MELUAS

Tulisan Jawi juga menjadi pemangkin Bahasa Melayu sehingga ia benar-benar menjadi bahasa 'lingua franca'.

Bahkan ketika Raja Chulalongkorn dari Thailand melawat Singapura sekitar tahun 1870-an, Jawi juga digunakan, kata Dr Azhar.

"Sebuah Gereja St Theresa ada (menggunakan tulisan) Jawi (pada dindingnya). Kalau kita tak tahu penggunaan Jawi begitu meluas, kita pengsan - 'alamak kenapa pula Jawi ada dekat gereja pula'.

"Memang dah dari awal. Malahan (kitab) Perjanjian Baru yang diterbitkan di Singapura itu dalam huruf Jawi," jelas Dr Azhar.

Gereja St. Theresa menarik perhatian dengan tulisan Jawi di bahagian hadapan bangunan. (Gambar: Petikan skrin dari video)

Maka itu beliau menyeru supaya wacana Jawi diperluaskan bukan hanya untuk sejarah bahasa tetapi juga untuk mengenal sejarah peradaban.

Namun kata Dr Azhar, pelestarian Jawi boleh menjadi kurang sihat jika sejarah itu sekadar untuk bernostalgia dengan zaman silam semata-mata.

KESEDARAN CERGASKAN JAWI

Walaupun perlu wujud kesedaran untuk mencergaskan Jawi, sekali gus mengukuh, mempromosi dan melestarikannya di kalangan anak-anak muda, pembelajarannya bagaimanapun tidak boleh dipikulkan kepada pihak sekolah, tekan beliau.

"Saya rasa tampungan kita beratkan kepada sekolah dan sekolah kadang menggunakan pendekatan elektif. Ya, saya rasa boleh. Tetapi kalau hanya dibebankan kepada sekolah saya rasa itu tidak adil, ada cara-cara lain untuk membuat anak-anak muda kita minat.

"Contoh yang paling mudah adalah lumba menulis aksara jawi ini dalam font-font yang menarik. Contohlah misalnya t-shirt," ujar Dr Azhar.

Merumuskan ceramahnya, Dr Azhar berkata bahawa Jawi sebenarnya masih berdenyut di rantau ini, Eropah dan Afrika Selatan.

Sesi Aksara Jawi dijalankan sebagai sebahagaian daripada siri webinar Wacana Warisan anjuran Yayasan Warisan Melayu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan