Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelesenan media sosial, platform pesanan online di Malaysia harap dapat turunkan kadar jenayah siber

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Mulai 1 Ogos, semua platform media sosial dan pesanan online yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna di Malaysia, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi.

Ia sebahagian daripada rangka kawal selia baharu oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk mewujudkan sekitaran online yang selamat bagi lebih 33 juta pengguna internet di negara itu, terutamanya kanak-kanak.

Antara 2020 hingga 2023, Malaysia mengalami kerugian bernilai hampir AS$700 juta akibat penipuan online.

Sepanjang tempoh yang sama juga, lebih 3,400 aduan berkaitan ucapan berbaur kebencian dilaporkan di negara itu.

Bagi memerangi peningkatan kes jenayah siber dan melindungi pengguna, Malaysia mewajibkan pelesenan bagi semua platform media sosial dan khidmat pesanan online yang mempunyai sekurang-kurangnya 8 juta pengguna.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil percaya langkah tersebut penting bagi melindungi pengguna.

"Tujuannya memang sebelum ini kita memang ada kuasa untuk mengarah platform-platform mengambil tindakan namun ia lebih bersifat sukarela. Kita lihat usaha untuk meminta mana-mana platform mengambil tindakan, terlalu 'one-off', diberi baru ia buat, tak beri ia tak buat. Jadi kita nak platform-platform ini lebih proaktif, dilesenkan dan mengambil tindakan yang proaktif dan menyeluruh," kata Encik Fahmi kepada wartawan Izwan Ohtman.

Dalam lawatan kerjanya di Singapura, beliau mengadakan rundingan dua hala dengan Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital Josephine Teo untuk membincangkan isu berhubung melesenkan platform media sosial.
 
Encik Fahmi juga mengadakan pertemuan dengan beberapa pengendali media sosial di negara ini.

"Alhamdulillah dalam lawatan kerja rasmi dua hari, saya berkesempatan untuk bertemu dengan semua pengusaha media sosial yang utama. Antara perkara yang kita mahu semua platform ini laksanakan ialah memastikan kanak-kanak bawah umur 13 tahun, dia tidak memiliki akaun media sosial. Walaupun platform-platform ini memang sudah ada garis panduan komuniti yang tidak membenarkan kanak-kanak bawah 13 tahun membuka dan memiliki akaun tapi kita lihat mereka mengambil sikap acuh tak acuh tapi bila kita lesenkan, jadi platform-platform ini faham perlu lakukan sesuatu termasuk pengesahan umur, kemungkinan pengesahan identiti dan perkara ini masih dibincangkan," jelas beliau.

Syarat pelesenan itu akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2025.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan