Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelepasan imigresen tanpa pasport? Anda boleh lakukannya di Terminal 4 Changi

Pelepasan bagi pemeriksaan imigresen di dewan ketibaan Terminal 4 Lapangan Terbang Changi mungkin menggunakan kaedah 'tanpa sentuhan' dan berpotensi mempercepatkan proses imigresen bagi sesetengah rakyat Singapura. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pelepasan imigresen tanpa pasport? Anda boleh lakukannya di Terminal 4 Changi

Mesin di pelepasan imigresen tanpa sentuhan hanya mengimbas gambar-gambar wajah dan iris. (Gambar: Rauf Khan)

Diterbitkan : 04 Dec 2019 12:23PM Dikemas Kini : 04 Dec 2019 12:28PM

SINGAPURA: Pelepasan bagi pemeriksaan imigresen di dewan ketibaan Terminal 4 Lapangan Terbang Changi mungkin menggunakan kaedah 'tanpa sentuhan' dan berpotensi mempercepatkan proses imigresen bagi sesetengah rakyat Singapura.

Daripada mengimbas pasport dan cap jari, sebilangan rakyat Singapura boleh mengesahkan identiti mereka menerusi pengecaman iris mata serta wajah melalui satu laluan pelepasan automatik. Ini diumumkan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Rabu (4 Dis).

Ini, menurut penguasa tersebut, membantu mengelakkan isu pengesahan identiti melibatkan cap jari yang luntur akibat lanjut usia, ibu jari yang kering atau parut.

Rakyat Singapura berusia enam tahun dan ke atas yang memegang pasport bermula daripada huruf K dan dikeluarkan selepas 1 Januari 2018 layak untuk pelepasan imigresen tanpa sentuhan itu. Golongan itu mempunyai pasport lebih baru dengan maklumat biometrik mereka sudahpun disimpan di dalam pangkalan data negara. Maka itu, pendaftaran awal tidak diperlukan.

Inisiatif itu adalah sebahagian daripada ujian selama enam bulan yang bermula sejak 25 November lalu. Ia adalah ujian kedua setelah yang pertama dijalankan di Pusat Pemeriksaan Tuas, yang dijalankan dari April hingga Oktober. ICA menyasarkan untuk melaksanakan pelepasan tanpa sentuhan bagi semua pelancong yang layak mulai 2022.

"Apa yang kami bayangkan pada masa hadapan untuk warga Singapura adalah mereka tidak lagi perlu mengemukakan pasport atau mengimbas cap jari mereka di laluan automatik kami," kata Superintenden Tan Kah Wee, 44 tahun, ketua Pejabat Konsep Pelepasan Baru di bahagian operasi ICA.

SEJAUH MANA IA LEBIH PANTAS?

Apabila ditanya jika sistem yang diuji itu akan melicinkan lagi proses imigresen para pelancong dan pengunjung dengan lebih pantas berbanding di laluan automatik sekarang, Supt Tan hanya berkata beliau menjangkakan ia "lebih cekap" sambil menambah bahawa ICA masih lagi mengumpul data daripada ujian tersebut.

"Memandangkan proses itu tidak melibatkan pelancong untuk mengemukakan pasport atau mengimbas cap jari, kami menjangkakan ia lebih lancar," tambah beliau.

Para pegawai ICA membat demonstrasi bagaimana sistem-sistem sedia ada dan tanpa sentuhan berfungsi. (Gambar: Rauf Khan)

Para pegawai ICA membat demonstrasi bagaimana sistem-sistem sedia ada dan tanpa sentuhan berfungsi. (Gambar: Rauf Khan) 

Sewaktu para pegawai ICA melalui kedua-dua sistem tersebut pada masa yang sama sebagai sebahagian daripada demonstrasinya, Mediacorp mendapati pegawai di laluan tanpa sentuhan melepasi imigresen beberapa saat lebih pantas.

BAGAIMANA IA BERFUNGSI

Di laluan tanpa sentuhan, pelancong perlu melepasi dua gantri.

Mula-mula sekali, beliau perlu berdiri atas tikar telapak kaki di hadapan gantri pertama. Sebuah mesin pengimbas yang memaparkan arah beranimasi kemudian memetik gambar-gambar iris mata serta wajah pelancong berkenaan.

Jika berjaya, gantri itu akan dibuka untuk membenarkan pelancong melaluinya. Mesin kedua pula akan mengesahkan identitinya untuk memastikan orang yang sama akan melalui gantri kedua sebelum ia dibuka. 

Sistem berperingkat ini membolehkan orang kedua untuk memulakan pengimbasan iris mata dan wajah sejurus selepas orang di hadapannya melepasi gantri pertama itu. "Ada keserentakan jadi kami yakin bahawa aliran pelepasan ini boleh meningkatkan daya pemprosesan," kata Supt Tan.

Mesin dan gantri dengan dua pengimbasan sistem ini bertujuan memperkenalkan keserentakan serta meningkatkan daya pemprosesan. (Gambar: Rauf Khan)

Sistem berkenaan berbeza daripada yang diuji di Pusat Pemeriksaan Tuas, yang hanya ada satu mesin dan dua gantri.

Laluan pelepasan tanpa sentuhan yang kedua, yang menggunakan sistem baru, akan ditambah di dewan ketibaan Terminal 4 mulai awal tahun depan.

DAPATAN DARI UJIAN PERTAMA

Supt Tan menambah ICA akan mengkaji hasil ujian itu sebelum memutuskan sama ada untuk memperluaskan inisiatif tersebut ke pusat pemeriksaan lain. Agensi itu akan menilai beberapa perkara seperti kemudahan penggunaan, faktor-faktor fizikal dan sekitaran serta juga daya pemprosesan dan masa yang diambil.

Menurut ICA, lebih 22,500 rakyat Singapura mengambil bahagian dalam ujian di Pusat Pemeriksaan Tuas. Seramai 90 peratus daripada mereka melepasi imigresen "dengan lancar tanpa sebarang kesulitan".

Baki 10 peratus pelancong Singapura itu pula mengalami isu-isu seperti pengimejan iris mata dan wajah yang tidak padan, menyebabkan pengesahan tidak berjaya. Ada juga yang enggan menanggalkan topi, yang bersama-sama dengan hiasan kepala lain serta kaca mata, boleh menghambat proses pengimbasan.

Untuk tujuan itu, ICA bekerjasama dengan Agensi Sains dan Teknologi Home Team untuk membangunkan muka pengguna grafik yang lebih dinamik berbanding yang digunakan di Pusat Pemeriksaan Tuas.

Isu-isu lain yang dihadapi termasuk faktor persekitaran seperti suasana pencahayaan yang boleh menjejas mutu gambar wajah yang dipetik. Pencahayaan di dewan ketibaan Terminal 4 sudahpun disesuaikan untuk ujian tersebut.

Jika inisiatif itu diperluaskan ke dewan keberangkatan, Supt Tan memberi amaran bahawa ia tidak seharusnya menyebabkan rakyat Singapura untuk terlupa membawa pasport mereka apabila melakukan perjalanan ke luar negara.  

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan