Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelepasan imigresen automatik bagi pemandu perseorangan di pusat pemeriksaan Woodlands, Tuas

Kaunter-kaunter bas dan kereta di pusat pemeriksaan Woodlands serta Tuas sudahpun diaturkan untuk melaksanakan pelepasan imigresen automatik bagi pemandu perseorangan menjelang pembukaan semula lebih lanjut sempadan darat antara Singapura dengan Malaysia esok (1 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Pelepasan imigresen automatik bagi pemandu perseorangan di pusat pemeriksaan Woodlands, Tuas

Sebuah bas membawa penumpang merentasi Koswe antara Singapura dengan Malaysia pada 29 Nov 2021. (Gambar: AP Photo)

SINGAPURA: Kaunter-kaunter bas dan kereta di pusat pemeriksaan Woodlands serta Tuas sudahpun diaturkan untuk melaksanakan pelepasan imigresen automatik bagi pemandu perseorangan menjelang pembukaan semula lebih lanjut sempadan darat antara Singapura dengan Malaysia esok (1 Apr).

Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menyatakan pada Khamis (31 Mac) bahawa jumlah laluan automatik di dewan bas juga sudah ditambah untuk meningkatkan kapasiti pelepasan di Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Singapura dan Malaysia melonggarkan sekatan sempadan dari 1 April, membenarkan pelawat lengkap divaksin dari kedua-dua negara untuk merentas sempadan dengan menaiki pengangkutan privet.

Sebelum sekatan sempadan dilaksanakan pada Mac 2020, sekitar 300,000 rakyat Malaysia berulang-alik sempadan itu setiap hari untuk ke kerja.

Dengan pembukaan semula itu, pihak berkuasa menyatakan ia menjangkakan kesesakan lalu lintas dan menyeru orang ramai agar tidak tergesa-gesa untuk melakukan perjalanan sekiranya tiada keperluan mendesak.

"Rancangan luar jangka sudahpun dilakarkan untuk menangani keadaan lalu lintas yang tidak diduga," menurut ICA dalam kenyataan media hari ini.

Ia menambah ICA dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) selama ini mengekalkan, meningkatkan dan menguji sistem masing-masing untuk memastikan ketersediaan serta kecekapan operasi apabila sempadan darat dibuka semula.

Penguasa itu juga bekerjasama dengan rakan sejawatannya dari Malaysia untuk "menyediakan sumber-sumber mencukupi di lapangan bagi menguruskan lalu lintas serta memastikan kenderaan mengekalkan disiplin di laluan" Koswe dan Linkedua.

ICA juga bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), Pasukan Polis Singapura (SPF) serta Kastam Singapura berhubung butiran operasi pembukaan semula sempadan untuk mengurangkan kesulitan kepada para pelawat.

ICA menyatakan para pegawainya dan agensi-agensi pusat pemeriksaan sudahpun menjalani latihan untuk membiasakan diri mereka dengan aliran kerja serta proses.

"Kami juga sudah merancang tenaga kerja kami dalam jangkaan untuk pembukaan semula malam ini dan sewaktu kemuncak hujung minggu panjang yang seterusnya. Kami akan memantau keadaan lalu lintas dalam masa nyata merentasi mod pengangkutan yang berbeza dan menyesuaikan sumber-sumber kami dengan sewajarnya. "

ICA menasihatkan para pelawat agar menyiapkan segala dokumen yang diperlukan termasuk dokumen sah perjalanan, menyerahkan Kad Ketibaan SG dan mempunyai Permit Kemasukan Kenderaan sah sebelum tiba di pusat pemeriksaan.

Peraturan memastikan tangki minyak kenderaan diisi tiga suku penuh juga dikenakan bagi kenderaan berdaftar di Singapura yang mahu merentas sempadan ke seberang tambak.

"ICA meminta pemahaman dan kerjasama masyarakat untuk mengelak daripada melakukan perjalanan tidak penting terutama sekali ketika waktu sibuk. Bergantung kepada jumlah pelawat, kelengahan perlu dijangkakan."

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan