Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelepasan imigresen 20% lebih cepat guna laluan automatik di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada waktu sibuk

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sebanyak 1,000 lebih ramai pelawat melepasi Pusat Imigresen Woodlands dalam masa sejam kini berbanding tempoh sebelum pandemik COVID-19 pada 2019.

Peningkatan itu disaksikan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) setelah memperkenalkan beberapa inisiatif termasuk laluan automatik.

Laluan tersebut berjaya meningkatkan jumlah pelepasan imigresen sebanyak lebih 20 peratus pada waktu sibuk.
Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri

Menurut ICA, sekitar 242,000 pelawat merentasi Pusat Pemeriksaan Woodlands setiap hari.

Daripada jumlah itu, hampir 100,000 merupakan pelawat yang menaiki bas dengan majoriti merupakan pekerja Malaysia.

Mereka membentuk sekitar 40 peratus daripada jumlah keseluruhan tersebut.

68 LALUAN AUTOMATIK UNTUK TANGANI ORANG RAMAI YANG TIBA ATAU BERLEPAS

Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri

Untuk mengatasi kesesakan, dewan bagi penumpang bas di Pusat Pemeriksaan Woodlands itu dilengkapi dengan 68 laluan automatik.

28 daripadanya pula merupakan laluan "bi-directional" iaitu boleh tukar haluan untuk menangani orang ramai yang tiba atau berlepas.

"Kami merancang untuk meletakkan lebih banyak laluan automatik pada masa depan. Kami juga bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi untuk meningkatkan kekerapan bas semasa tempoh-tempoh sibuk," kongsi Penolong Pesuruhjaya Kanan, Panglima Woodlands, Colin Tan.

"Kami juga akan terus berusaha untuk memperbaiki sistem beratur di tempat-tempat bas untuk memperbaiki proses bagi bas," tambah beliau.

Ini di samping memperkenalkan sistem tanpa pasport dan gunakan kod QR yang dijangka akan dikuatkuasakan pada awal 2024.

Ia juga membuka Pusat Operasi Bersepadu baru pada Februari tahun lalu bagi memperbaiki lagi pengerahan pegawai secara dinamik di kawasan-kawasan yang memerlukan sokongan.
 

"Kami sedar bahawa pada 2050, kami menjangka kenaikan sehingga 40 peratus jumlah pelawat. Untuk sebab-sebab ini, ICA bertujuan untuk teruskan penggunaan teknologi, menggunakan automasi untuk proses dan mencari cara mengurangkan kebergantungan pada tenaga manusia," ujar Encik Tan.

Bagi tangani kesesakan di zon-zon jenis kenderaan yang berbeza pada waktu sibuk yang berlainan, ICA juga kerap mengubah laluan jenis kenderaan.

Pada waktu sibuk pagi dan petang misalnya, ICA akan mengubah zon kereta bagi membuka lebih banyak laluan bagi motosikal. Zon khas untuk lori pula ditukar menjadi laluan kereta bagi meningkatkan keupayaan bagi pelepasan imigresen untuk penumpang kereta.

PUSAT PEMERIKSAAN WOODLANDS AKAN DIPERLUAS
Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri

Untuk meningkatkan kapasiti, ICA juga akan memperluaskan Pusat Pemeriksaan Woodlands agar dapat mengambil jumlah pelawat yang lebih ramai.

ICA menjangkakan jumlah trafik di Pusat Pemeriksaan Woodlands akan bertambah sebanyak hampir 40 peratus menjelang 2050.

Pusat Pemeriksaan Woodlands yang baru itu akan beroperasi bermula dari 2028.

Dengan keupayaan yang dipertingkat, ini dijangka akan dapat untuk mengurangkan lagi masa perjalanan dari 60 minit kepada 15 minit semasa waktu sibuk.

ICA juga bakal berkongsi rancangan untuk memperbaiki laluan pemeriksaan untuk motosikal serta laluan automatik bagi pelawat yang tiba atau berlepas menggunakan khidmat kereta api, pada masa akan datang.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan