Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelbagai projek untuk segarkan kawasan Kampong Gelam dalam 5 tahun akan datang

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lima bidang utama dikenal pasti sebagai teras dalam usaha merubah dan memperkaya kawasan Kampong Gelam.

Sepanjang lima tahun akan datang, beberapa projek akan dilaksanakan bagi menjadikan kawasan bersejarah itu lebih menarik dan inklusif tanpa mengabaikan 'jiwanya'.

Pelan Tempat itu didedahkan pada Ahad (9 Julai) dalam satu majlis yang dirasmikan penasihat Perikatan Kampong Gelam (KGA), Dr Faishal Ibrahim.

"Pelan itu merangkumi lima bidang, identiti, ekonomi, ‘placemaking’, ketersambungan dan pengaktifan dan akan menjadi panduan berguna untuk menjadikan Kampong Gelam tempat yang lebih menarik dan mempunyai ciri- ciri tersendiri. Saya berharap kita semua dapat terus mengambil bahagian secara aktif seiring dengan KGA dalam usaha untuk melaksanakan idea-idea dalam pelan tersebut dan bersama-sama, kita dapat mengekalkan ‘jiwa’ unik Kampong Gelam untuk jangka masa panjang yang mendatang," kata Dr Faishal Ibrahim yang juga Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri.

MAHU KAWASAN KAMPONG GELAM LEBIH MUDAH DIAKSES

Pelan ini adalah hasil maklum balas daripada lebih 1,600 pihak berkepentingan dan orang awam.

Majoriti responden mahu kesedaran tentang kesediaan tempat meletak kereta dan pilihan pengangkutan awam di situ ditingkatkan bagi menjadikan kawasan itu lebih terhubung dan mudah diakses.

Hampir 90 peratus daripada mereka juga berpendapat dalam usaha menarik perusahaan baru, perniagaan warisan dan tradisional di kawasan itu diharap dapat dilindungi dan dikembangkan.

"Kampong Gelam memang terlalu penting untuk budaya Melayu Singapura dan memang kita harus memperingatkan budaya Melayu atau orang Melayu di Singapura bahawa tempat ini adalah tempat yang sangat berkait kepada sejarah kita kerana kalau kita tidak prihatin, kaum muda akan lupa akan kepentingan tempat ini, kata Anggota Perikatan Kampong Gelam (KGA), Encik Ibrahim Tahir yang juga pemilik Wardah Books.

Ada juga cadangan untuk menyewakan pakaian kebaya kepada para pelancong dan buka lebih banyak perusahaan yang mencerminkan warisan dan budaya Melayu/Islam.

Cadangan-cadangan itu dialu-alukan para peniaga di kawasan itu.

"Sebagai peniaga Melayu Singapura, saya mahu sesuatu identiti sebagai orang Melayu, seperti Bussorah Street atau dulu dipanggil Kampong Kaji, menjadi sebuah jiwa kemelayuan dan jangan dilupakan, tapi kami boleh terima pemodenan tapi bila orang ingat Bussorah Street, Arab Street ia adalah sesuatu kampung Melayu kita yang harus kita banggakan," kata Pemilik Butik Ratianah, Ratianah Tahir.

Bagi memastikan pelaksanaan Pelan Tempat itu lancar, KGA akan berusaha menjadi Syarikat Berhad menurut Jaminan (CLG) bukan untuk meraih untung bagi memudahkan lebih banyak kerjasama rasmi dengan pihak-pihak lain.

Ini juga bagi membolehkan KGA meraih lebih banyak sumber bagi merealisasikan cadangan-cadangan di bawah Pelan Tempat berkenaan.

Sumber : BERITA Mediacorp/FA/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan