Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelbagai program sukan dan budaya akan ditawarkan sepanjang bulan sempena pembukaan rasmi Anjung@WGS

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Masyarakat boleh menjangkakan pelbagai acara budaya dan sukan pada Julai ini di bangunan baru yang terletak bersebelahan dengan Wisma Geylang Serai iaitu Anjung@WGS.

Ini menyusuli pelancaran rasmi bangunan itu esok (8 Jul).

Penganjuran tersebut bagi memberi masyarakat gambaran apakah antara acara yang boleh diadakan di bangunan seluas lebih 2,600 meter persegi atau bersamaan saiz lima padang bola sepak.


(Gambar: Facebook/Wisma Geylang Serai) 

Acara-acara itu termasuk pameran sukan-sukan Melayu popular seperti bola sepak, sepak takraw dan silat.

Sebuah program budaya berjudul 'Rasa Singapura' juga akan dianjurkan khas bagi mengetengahkan tarian-tarian berbilang kaum dan budaya di Singapura.

Selain itu, Wisma Geylang Serai (WGS) juga bakal membawa kembali acara pesta ria menerusi Carnival@Anjung dan Makan Fiesta@Anjung.

"Kita lihat istilah Anjung dalam budaya rumah kampung Melayu. Ia merupakan satu tempat di mana anggota keluarga beriadah bersama dan sebagainya," kongsi Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman yang juga Pengerusi Jawatankuasa yang menerajui projek Jalur Budaya Geylang Serai.



Bertemakan konsep 'Rumah Bumbung Panjang', bangunan Anjung@WGS itu merupakan peluasan kawasan WGS dan ialah struktur pertama yang selesai didirikan selepas pengumuman Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam Ucapan Rapat Hari Kebangsaannya pada 2018.

Anjung@WGS merupakan sebahagian daripada projek Jalur Budaya Geylang Serai yang meliputi kawasan dari Tanjong Katong Complex hingga ke Kelab Masyarakat Kampong Ubi bagi memaparkan ciri-ciri budaya dan warisan kawasan itu.

"Inilah tujuan utama kita membina Anjung@WGS, memberi ruang baru pada masyarakat untuk terus menyemarakkan budaya serta kegiatan-kegiatan Melayu kita dan juga memberi peluang kepada masyarakat yang bukan Melayu juga melihat budaya Melayu di sini," tambah beliau.



Dr Maliki juga berharap masyarakat dapat melihat projek itu sebagai projek berterusan serta bersifat dinamik.

"Dalam kami membuat rancangan-rancangan ini, kami masih membuka minda dan mengundang saluran-saluran baru daripada masyarakat. Jadi saya rasa, Jalur Budaya tidak harus dilihat sebagai satu projek yang ada waktu penamatnya tetapi sesuatu yang dikatakan ‘hidup’, di mana kita sering terbuka kepada saranan-saranan baru supaya ramai lagi akan dapat terus menghidupkan lagi Jalur Budaya ini."

Lantas, untuk memastikan kejayaan projek itu, Dr Maliki berharap masyarakat dapat sama-sama memainkan peranan yang penting bagi menghidupkan lagi projek Jalur Budaya itu.

"Saya mengundang masyarakat untuk tampil ke hadapan bekerjasama dengan kumpulan Jalur Budaya Geylang Serai ini (untuk) melihat apa lagi yang boleh kita lakukan dari segi program dan projek yang mungkin dapat mereka lakukan bersama. Jadi, lebih ramai yang datang ke mari, lebih ramai yang (dapat) menghidupkan suasana Geylang Serai ini," kata Dr Maliki.

PAMERAN YANG MENAMPILKAN PARA PESUKAN MELAYU SINGAPURA DISEDIAKAN

Sempena pelancaran Anjung@WGS, terdapat satu pameran istimewa yang menampilkan para atlit Melayu Singapura bagi meraih kejayaan dan pengorbanan para legenda itu dalam bidang masing-masing.



Antara yang dipaparkan termasuk pemain bola legenda seperti Fandi Ahmad, Malek Awab serta juara dunia Silat negara, Nurul Suhaila dan Iqbal Abdul Rahman.

Pameran dan bangungan Anjung@WGS dibuka kepada orang awam bermula Sabtu ini (9 Julai).

Antara kegiatan menarik yang orang ramai boleh jangkakan termasuk acara sukan Futsal@Anjung di mana terdapat percubaan Futsal untuk kanak-kanak dari 12.00 hingga 4.00 petang, anjuran Kelab Sukan Kaki Bukit.

Orang ramai juga boleh menyaksikan perlawanan bola sepak yang menampilkan barisan legenda bola sepak seperti Malek Awab, Fandi Ahmad, Steven Tan dan Lee Man Hong.

Bermula pertengahan Julai nanti, orang ramai juga boleh menempah sehingga enam sesi kemudahan untuk bermain sukan badminton dan tenis meja dari 25 hingga 29 Julai secara percuma.

Ia dibuka kepada rakyat Singapura dan Penduduk Tetap Singapura (PR).

Lebih banyak maklumat tentang program-program yang disediakan ini boleh didapati di Facebook Wisma Geylang Serai.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan