Skip to main content

Singapura

Pelbagai program meriahkan sambutan ulang tahun pertama WGS

Sudah setahun, Wisma Geylang Serai (WGS) dibuka rasmi menyambut pengunjung ke pusat sivik masyarakat dan kebudayaan Melayu itu. Sempena ulang tahunnya yang pertama, satu pesta tiga hari bakal diadakan bermula Jumaat (17 Jan), bertemakan "Sambutan Geylang Serai: Membina Masyarakat yang Prihatin".

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sudah setahun, Wisma Geylang Serai (WGS) secara rasmi membuka pintunya, menyambut pengunjung ke pusat sivik masyarakat dan kebudayaan Melayu itu.

Sempena ulang tahunnya yang pertama, satu pesta tiga hari bakal diadakan bermula Jumaat (17 Jan), bertemakan "Sambutan Geylang Serai: Membina Masyarakat yang Prihatin".

Pengurus Besar baru WGS Encik Nur Effendi berkongsi bersama BERITAMediacorp persiapan hari besar WGS hujung minggu ini.

WGS DI BAWAH KEPIMPINAN BARU

Encik Nur Effendi Md Esa dilantik menjadi Pengurus Besar baru Wisma Geylang Serai (WGS) pada Oktober 2019.

Sejurus pelantikan itu, beliau diberikan 'projek besar' - untuk menganjurkan acara sambutan ulang tahun pertama hab sosial dan budaya Melayu di Geylang Serai itu.

Related article image
Encik Nur Effendi (Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)

Dengan latarbelakangnya sebagai pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Encik Nur Effendi sering ditanya sama ada beliau cukup 'kreatif' untuk menguruskan WGS.

Namun, menurutnya pengalaman yang beliau timba semasa di SAF selama 30 tahun itu juga yang memberinya keyakinan untuk memajukan lagi WGS menjadi nadi dan tunjang keharmonian hubungan antara kaum.

"Kami sentiasa ingin menjadi satu pusat sivik yang disenangi ramai, saya mahu khalayak ramai senang datang ke sini berhibur dan bermain bersama dan untuk badan-badan dan agensi-agensi yang ada, saya alukan mereka mengetengahkan program-program mereka bersama saya," kongsi beliau dengan pihak kami.

MESRA BUDAYA, WARISAN & ALAM SEKITAR

Pelannya itu sudah pun dilaksanakan sempena sambutan ulang tahun pertama WGS selama tiga hari bermula Jumaat ini.

Bertemakan "Membina masyarakat yang prihatin", program dan acara yang dijalankan berteraskan mesra budaya, warisan dan alam sekitar.

Disasarkan bukan hanya kepada pengunjung Melayu sahaja, penekanan turut diberikan kepada aspek perpaduan antara kaum.

"Saya ingin kami menjadi nadi masyarakat. Saya ingin pengunjung rasa selesa datang ke sini, mendapatkan perkhidmatan atau berhibur bersama kami.

"Dan kolaborasi-kolaborasi itu saya akan sokong selagi ia positif dan mengandungi unsur-unsur kemasyarakatan," tekannya.

RANCANG PECAH REKOD S'PURA

Kehadiran Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berserta pasukan pemimpin Melayu/Islam, termasuk Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli dan Menteri Negara Kanan Dr Mohamad Maliki Osman, yang menjayakan projek warisan WGS mewarnai lagi sambutan pada hari Sabtu.

Related article image
(Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)

Encik Heng dijadual melancarkan sebuah taman hijau dikendalikan sekumpulan relawan dari Jawatankuasa Penduduk Eunos Village.

Acara kemuncak itu juga akan menampilkan acara pencahayaan pohon-pohon di WGS.

Orang ramai turut diajak menyertai percubaan untuk memecahkan rekod lukisan batik terpanjang di Singapura sepanjang 500 meter.

Di luar bangunan WGS pula, pengunjung boleh menikmati bazar yang menempatkan hampir 70 gerai makanan dan pakaian.

Related article image
Encik Nur Effendi (Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)

(Gambar-gambar: Ummu Rabbisyfina)

Tiga bulan selepas menerajui WGS, Encik Nur Effendi berkata beliau berharap masyarakat Singapura dapat melihat WGS sebagai 'nadi perpaduan' yang memupuk semangat hormat-menghormati, memahami adat dan budaya rakyat berbilang kaum sehingga ke generasi akan datang.

Untuk mencapai matlamat itu, Encik Nur Effendi menyasarkan untuk menarik lebih 2.5 juta pengunjung dan menganjurkan 200 program sepanjang tahun ini.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita