Skip to main content

Singapura

Pelbagai program boleh dijangkakan dalam dua tahun akan datang dorong belia Melayu/Islam sertai sektor penerbangan

Lebih banyak usaha boleh dijangkakan bagi membimbing golongan belia Melayu/Islam yang berminat untuk menyertai sektor penerbangan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih banyak usaha boleh dijangkakan bagi membimbing golongan belia Melayu/Islam yang berminat untuk menyertai sektor penerbangan.

Ini dikongsikan di acara rumah terbuka anjuran Rangkaian Karyawan sektor Penerbangan Yayasan MENDAKI pada Sabtu (31 Ogos).

"Acara ini bertujuan untuk memberi peluang kepada masyarakat kita, terutamanya karyawan muda, para pelajar daripada sekolah menengah hingga ke universiti untuk lebih memahami tentang sektor penerbangan. Pada pendapat kami, mungkin ada di kalangan masyarakat yang belum tahu dengan lebih mendalam tentang industri penerbangan. Mungkin ada yang berfikir penerbangan hanya juruterbang atau pramugara tapi sebenarnya kami mahu mendedahkan kepada mereka bahawa sektor penerbangan sangat meluas," kata Ketua Rangkaian Karyawan Penerbangan, Kapten Jaffar Hassan kepada BERITA Mediacorp.



Kapten Jaffar merupakan seorang juruterbang Singapore Airlines (SIA) dengan pengalaman lebih 35 tahun.

Justeru, beliau bersama pasukan karyawannya sudahpun melakarkan rancangan dua tahun untuk mendedahkan golongan belia kepada bidang itu.

"Mungkin akan datang kami mengundang para pelajar dari politeknik dan universiti. Jadi cara kita bertutur atau berbincang berlainan sebab mereka lebih fokus tentang gaji atau kenaikan pangkat. Kalau kita berjumpa dengan pelajar di sekolah menengah atau Institut Pendidikan Teknikal (ITE), perbualannya berbeza," ujarnya.

Menerusi lawatan industri dan sesi-sesi perkongsian, para belia dapat lebih memahami tugas dalam bidang tersebut seperti juruterbang, pengawal trafik udara dan jurutera pesawat.

Selain itu, mereka juga berpeluang menyertai aktiviti seperti mengendalikan dron dan merancang jadual penerbangan.

"Kami mempunyai rakan-rakan kerja dalam syarikat penerbangan di Singapura. 'Airbus', 'Boeing' dan 'Rolls-Royce'. Jadi apabila rakan-rakan kerja itu membenarkan kami untuk membawa rombongan untuk melawat mereka. Jadi remaja kita, para pelajar atau remaja kita, karyawan boleh ikut kita pergi 'Rolls-Royce' melihat bagaimana mereka memperbaiki enjin atau ke 'Airbus' untuk melihat bagaimana mereka berlatih. Jadi dengan itu mereka mendapat pendedahan dan memilih apakah yang mereka mahu lakukan seterusnya," jelas Kapten Jaffar.

BERI SEMANGAT KEPADA PESERTA BERLAINAN LATAR BELAKANG CEBURI SEKTOR PENERBANGAN

Acara di Aeroviation yang merupakan sebuah akademi penerbangan di Kallang itu disertai sekitar 70 peserta.

Perkongsian itu juga memberi lebih semangat dan keyakinan kepada para peserta seperti Danian Aqim Mohd Nizam, 21 tahun untuk sertai sektor tersebut.



Walaupun sudah meraih diploma dalam bidang Perhubungan dan Pengurusan Media, beliau berasa peluang untuk menyertai sektor penerbangan masih terbuka untuknya mencapai impian.

"Sekarang saya sedang menjalani perkhidmatan negara saya hanya ada masa semasa hari cuti saya. Jadi saya pun harus telanlah dan korbankan hari cuti saya untuk meluangkan masa untuk mempelajari tentang industri penerbangan. Untuk saya yang berminat untuk menjadi seorang juruterbang, saya harus pun mempelajari tentang jenis-jenis kapal terbang, tentang cuaca yang boleh menjejas pesawat dan banyak lagi yang seorang juruterbang harus tahu," kata Danian.

IBU BAPA TURUT DIAJAK UNTUK SOKONG IMPIAN ANAK MEREKA

Selain belia, golongan ibu bapa juga diundang ke acara tersebut untuk meraih lebih pengetahuan tentang sektor itu.

Antaranya ialah Cik Suhana Supian yang hadir untuk menemani puterinya, Ilyana Mohammad Fauzan, 17 tahun yang sedang mengambil program Diploma dalam Kejuruteraan Aeronautik.



"Sebagai seorang ibu, sudah tentu kita mahukan yang terbaik untuk anak kita. Dia memang sudah menunjukkan minat untuk menjadi seorang juruterbang sejak berumur tiga, hingga empat tahun. Apabila dia beritahu akan ada acara hari ini, sudah tentu saya, suami dan adiknya datang bersama-sama untuk menunjukkan sokongan kami," kata Cik Suhana.

Turut hadir memberikan sokongannya ialah Datuk Bandar Daerah Tenggara, Fahmi Aliman selaku tetamu terhormat.

Berucap kepada para peserta di acara itu, beliau mengalu-alukan golongan belia untuk merebut peluang yang tersedia dalam sektor yang kian berkembang itu.



"Ini adalah salah satu acara yang baik di mana kita boleh memberitahu belia dan juga boleh memberitahu golongan pertengahan kerjaya untuk melihat apakah sektor yang boleh mereka ceburi dan sektor ini adalah sektor yang sentiasa berkembang pesat yang saya sentiasa terus membuat orang mengenali dan memahami dan ini adalah platform yang tepat untuk orang ramai faham," kata Encik Fahmi yang juga Pengarah Divisyen Operasi dan Mobilisasi di NTUC.

Menurut Encik Fahmi, jumlah anggota dalam Rangkaian Karyawan Penerbangan adalah yang terbesar iaitu seramai 160 orang berbanding 12 Rangkaian Karyawan yang lain.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita