Pelbagai langkah disediakan bagi bantu pemilik rumah terjejas oleh penangguhan kerja-kerja binaan
Pelbagai langkah disediakan bagi membantu penduduk yang terjejas oleh kerja-kerja binaan yang terpaksa ditangguhkan dek 'circuit breaker', kata Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong di Parlimen hari ini (26 Mei).

Gambar fail BTO HDB yang sedang dibina. (Gambar: Jeremy Long)
SINGAPURA: Pelbagai langkah disediakan bagi membantu penduduk yang terjejas oleh kerja-kerja binaan yang terpaksa ditangguhkan dek 'circuit breaker', kata Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong di Parlimen hari ini (26 Mei).
Ini termasuk kadar bersubsidi untuk tinggal buat sementara di apartmen khidmat atau flat sewa sementara bagi kes-kes mendesak.
Encik Wong berkata demikian semasa menjawab Anggota Parlimen Sylvia Lim tentang sama ada Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan membolehkan sewa bagi tempoh kurang tiga bulan bagi hartanah privet dan enam bulan bagi flat-flat HDB, demi membantu keluarga yang tiada tempat tinggal akibat kerja-kerja binaan yang tertangguh dek COVID-19.
Encik Wong berkata tidak akan ada perubahan pada peraturan mengenai tempoh minimum sewa.
"Bagaimanapun, dengan keadaan COVID-19 sekarang ini, HDB dan URA memberi kelonggaran bagi kes yang mana keluarga benar-benar berdepan kesusahan dan memerlukan sokongan buat sementara waktu," tambahnya.
Semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19, kerja-kerja binaan dan ubah elok perlu digantung.
Bagi pemilik rumah yang terjejas, Encik Wong berkata pihak berkuasa sedang meninjau untuk menangguhkan jangka masa urus niaga yang perlu dipenuhi.
Kementerian itu juga sedang bekerjasama dengan pengendali apartment khidmat. Sebilangan pengendali sudahpun bersetuju untuk menawarkan kadar bersubsidi kepada para pemilik rumah yang memerlukan tempat tinggal sementara. Bagi senario "paling teruk", flat sewa sementara ditawarkan kepada mereka yang "benar-benar terdesak dan berdepan kesukaran," kata Encik Wong.
"Jadi ada pelbagai langkah berbeza yang kami ambil untuk membantu mereka yang terjejas. Dan kami sudah mengingatkan agensi-agensi untuk cekap memberikan respons kepada sebilangan rayuan ini," tambahnya.
"Kami akan terus melakukan sedaya upaya untuk membantu mereka."
Menjawap pertanyaan Cik Lim tentang bila kerja-kerja binaan dan ubah elok boleh diteruskan, Encik Wong menekankan bahawa Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) akan mempertimbangkan untuk membolehkan kerja-kerja binaan bagi projek sedemikian dimulakan semula, sekiranya kontraktor memenuhi syarat-syarat keselamatan penting bermula 2 Jun.
Di bawah fasa pertama, keutamaan diberikan kepada kerja-kerja ubah elok yang sudahpun mula dijalankan tetapi terpaksa digantung kerana langkah-langkah 'circuit breaker'. Bagi projek-projek baru, pihak berkuasa menyarankan supaya ia ditangguhkan dahulu.
"Tetapi jika ada kontraktor yang tampil dan katakan 'Saya ada pekerja, mereka selamat. Saya sudah melaksanakan langkah-langkah (keselamatan) dan ingin diberi keutamaan di bawah Fasa Pertama', kami bersedia mempertimbangkan kes-kes seperti itu juga," tambahnya.
BCA mengumumkan awal bulan ini bahawa kontraktor boleh mula menjalankan projek masing-masing bermula 2 Jun, jika protokol-protokol keselamatan dilaksanakan.
Ini di samping rancangan menyambung semula projek-projek lebih kritikal, seperti kerja-kerja di MRT dan projek terowong sistem pembetungan, sebaik sahaja 'circuit breaker' berakhir.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.