Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelbagai kegiatan galak masyarakat Melayu amal pemakanan sihat di Mediacorp Untukmu@One Punggol

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Evolusi pemakanan masyarakat Melayu, demonstrasi memasak dan perbincangan tentang gaya hidup sihat.

Demikian antara sajian menarik acara Mediacorp Untukmu@One Punggol pada Sabtu (25 Feb).

Demonstrasi memasak misalnya menampilkan cara-cara mudah untuk menyediakan hidangan.

Hidangan asam pedas dan mi soto hasil air tangan cef selebriti, Cef Bob dan Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol Sharael Taha bukan sahaja lazat tetapi lebih sihat.

Demonstrasi memasak tersebut menunjukkan bagaimana hidangan Melayu boleh diubah suai untuk menjadikannya lebih sihat tanpa menjejas tekstur dan rasanya.

Usaha itu juga selaras dengan tumpuan BERITAmediacorp menjelang bulan Ramadan ini.

Dengan tema 'Jaga Makan, Jaga Badan', ia diharap dapat menjadi pemacu untuk masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat.

FORUM BINCANG PEMAKANAN SIHAT

Topik perbincangan forum Detik Dialog, 'Jaga Makan, Jaga Badan' pula membincangkan amalan pemakanan sihat.

Seorang ahli panel, Dr Elly Sabrina, doktor keluarga, berkongsi pandangan serta tip tentang pemakanan sihat dan amalan gaya hidup sihat.

Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan, Rahayu Mahzam turut berkongsi tentang usaha-usaha di peringkat nasional seperti program 'Saham Kesihatan'.

Inisiatif tersebut antara usaha meluas untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan senaman dan pemakanan yang lebih sihat.

"Ini memberikan kita peluang membincangkan tip-tip dan cara-cara bingkas sebagai satu masyarakat menjalani gaya hidup yang lebih baik. Jadi dengan ini saya harap usaha ini dapat diteruskan dan ini amat seiring dengan usaha Healthier SG dan juga acara Saham Kesihatan yang kita akan anjurkan.

"Saya harap ini akan mendorong masyarakat kita untuk melibatkan diri. Mendapatkan informasi yang lebih lanjut untuk membantu mereka menjalani gaya hidup yang lebih sihat," kata Cik Rahayu.

Antara peserta yang menghadiri sesi tersebut ialah Cik Ramlah Mohd Lazim, 64 tahun.

"Ia memberi saya semangat yang baru. Untuk bulan puasa ini, saya nak bersederhana. Makan nak sederhana, macam yang dia cakap tadi itu betul. Saya setuju sangat. Bersenam sedikit," katanya.

Seorang lagi peserta, Cik Kartini Haji Ahmad, 70 tahun mempelajari tip berguna yang boleh dimanfaatkan.

"Makan jangan banyak sangat, minum air jangan manis-manis. Minum air putih banyak bagus. Bersenam dan suruh jalan banyak," jelasnya.

DOKUMENTARI TERBARU SINGKAP EVOLUSI MAKANAN MELAYU

Awal daripada itu, para pengunjung berpeluang menonton sedutan sebuah dokumentari terbaru terbitan unit ehwal semasa kami, 'Selera Kita'.

Dokumentari selama sejam itu mengupas evolusi gaya hidup pemakanan masyarakat Melayu dan bagaimana teknologi mempengaruhi gaya pemakanan kita.

Anda boleh menyaksikan dokumentari 'Selera Kita' pada 6 Mac, 9.30 malam sementara dialog 'Jaga Makan, Jaga Badan' pada 30 Mac 8.30 malam.
Sumber : BERITA Mediacorp/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan