Pelbagai insurans baru muncul bagi pikat pelanggan di tengah COVID-19
Beberapa jenis insurans baru muncul dalam keadaan pandemik COVID-19 sekarang.
SINGAPURA: Beberapa jenis insurans baru muncul dalam keadaan pandemik COVID-19 sekarang.
Ia termasuk insurans perlindungan siber dan bekerja dari rumah.
Para penganalisa berkata kemunculan insurans baru seperti itu dapat membantu mengisi kekosongan ekoran kemerosotan permintaan bagi insurans perjalanan sekarang.
Bercuti di dalam negeri menjadi pilihan rakyat tempatan sekarang setelah banyak negara menutup sempadan masing-masing.
Lantaran itu, firma insurans Chubb Singapore mahu melancarkan insurans perjalanan domestik pada bulan depan.
Ia juga melancarkan insurans bagi mereka yang bekerja dari rumah.
Insurans tersebut melindungi mereka yang tidak bekerja di pejabat daripada masalah kesihatan mental serta kecederaan ergonomik akibat keadaan bekerja di rumah yang kurang baik.
Syarikat-syarikat insurans juga sedang memikirkan semula jenis insurans lain bagi memenuhi keperluan pengguna yang berubah-ubah.
Great Eastern, misalnya, bekerjasama dengan syarikat telko Singtel untuk melancarkan sekumpulan produk termasuk insurans rumah yang menyertakan pelan jalur lebar dan perlindungan isi rumah.
Sedang lebih banyak perniagaan memanfaatkan penggunaan teknologi, para penganalisa menambah permintaan bagi insurans siber juga sedang meningkat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.