Pelbagai acara menarik dibawa ke estet perumahan sempena ulang tahun Bulan Bahasa ke-30
Sempena ulang tahun Bulan Bahasa ke-30, pelbagai acara menarik dibawakan lebih dekat kepada para penduduk di estet-estet perumahan.
SINGAPURA: Sempena ulang tahun Bulan Bahasa ke-30, pelbagai acara menarik dibawakan lebih dekat kepada para penduduk di estet-estet perumahan.
Ini agar kempen bahasa kali ini dapat disertai semua lapisan masyarakat berbeza.
Begitulah harapan Pengerusi Bulan Bahasa, Rahayu Mahzam di pelancaran Bulan Bahasa di Canopy @ JLink, yang turut disertai Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga dan Menteri Kedua Pembangunan Negara, Desmond Lee.
Daripada belajar melukis batik, memakai samping dan tanjak, hingga ke segmen memasak makanan tradisional Melayu.
Semua segmen baru ini merupakan sebahagian daripada usaha mempertingkatkan penghargaan dan pembelajaran terhadap bahasa dan budaya Melayu menerusi acara kemasyarakatan sempena Bulan Bahasa.
Dan menariknya pada tahun ini pelbagai program budaya diaturkan di estet-estet perumahan bagi mendekati lagi generasi muda, khususnya golongan pelajar.
Barisan program termasuk pertandingan bercerita bagi menggalak penggunaan bahasa Melayu dari usia muda lagi serta persembahan budaya oleh golongan belia.
"Bulan bahasa ini adalah satu acara masyarakat, acara-acaranya biasanya kita kumpulkan menerusi idea-idea rakan sekerja dan ini melambangkan satu kepelbagaian, kerencaman dalam budaya, bahasa kita jadi penting sangat untuk kita mendakap golongan dan kumpulan berbeza, kerana kita mahu pastikan bulan bahasa ini menjangkau ke pelbagai pelusuk masyarakat," kata Cik Rahayu Mahzam.
Malah menurut Cik Rahayu lagi, ciri-ciri baru yang diperkenalkan ini turut berjaya memikat hati masyarakat bukan Melayu.
"Ini menunjukkan di mana nadinya bangsa, budaya Melayu, dan kita perlu sentiasa cuba mempertingkatkan acara-acara yang kita adakan untuk memastikan semua daripada masyarakat kita untuk turut serta, dan ini juga peluang untuk kita menonjolkan, mempamerkan budaya, bahasa kita kepada mereka daripada bangsa berbeza," kata Cik Rahayu lagi.
Acara bulan bahasa seterusnya diadakan pada Sabtu depan (15 Sep) di Kelab Masyarakat Nee Soon.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.