Skip to main content

Singapura

Pelayaran kapal Genting Dream ke Port Klang dibatalkan sebab isu teknikal

Kapal pesiaran Genting Dream yang dalam pelayaran pulang ke Singapura terpaksa melabuh semula disebabkan isu-isu teknikal memaksa perjalanan seterusnya ke Port Klang dibatalkan Rabu lalu (2 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Pelayaran kapal Genting Dream ke Port Klang dibatalkan sebab isu teknikal

Bot tunda yang menarik kapal pesiaran mewah Genting Dream. (Gambar: Singapore Cruise Society/Facebook)

Diterbitkan : 03 May 2018 11:18PM Dikemas Kini : 03 May 2018 11:21PM

SINGAPURA: Kapal pesiaran Genting Dream yang dalam pelayaran pulang ke Singapura terpaksa melabuh semula disebabkan isu-isu teknikal memaksa perjalanan seterusnya ke Port Klang dibatalkan Rabu lalu (2 Mei).

Dalam satu makluman di laman Dream Cruise, pengendali kapal pesiaran itu menyatakan: "Disebabkan isu-isu teknikal, kami terpaksa membatalkan pelayaran dua malam Genting Dream ke Port Klang yang berlepas pada 2 Mei, 9 malam".

Syarikat berkenaan juga menyatakan para penumpang yang terjejas akan menerima pembayaran balik secara penuh tambang kabin dan yuran pelabuhan.

Sebagai "tanda muhibah", ia juga menawarkan pakej persiaran dua malam secara percuma yang sah digunakan dari Isnin hingga Jumaat sehingga 30 November tahun ini.

Dalam satu catatan Facebook, Persatuan Kapal Persiaran Singapura menyatakan bahawa kapal persiaran Genting Dream mengalami isu teknikal pada enjinnya dalam pelayaran pulang ke Singapura dan menggunakan empat kapal tunda untuk menariknya ke limbungan.

Genting Dream berlabuh di Pusat Kapal Persiaran Marina Bay pada 6.20 petang. Para penumpang turun dari kapal manakala mereka yang sepatutnya menaiki kapal itu untuk ke Port Klang terpaksa 'dihantar pulang', demikian menurut satu lagi catatan Facebook.

Salah seorang daripada mereka, Cik Aye Thida, berkata beliau tiba di pusat itu pada 2.00 petang. Pendaftaran masuk bagi perjalanan itu sepatutnya adalah pada 5.00 petang tetapi beliau diberitahu bahawa ia akan lewat tiba disebabkan 'masalah enjin'.

"Mereka hanya memaklumkan kepada kami bahawa ia dibatalkan selepas 4.00 petang. Sebelum itu, kami hanya menunggu untuk mendaftar masuk," kata beliau kepada Mediacorp.

Cik Aye Thida yang membayar S$1,030 untuk dua orang, berkata bahawa beliau adalah antara lebih 100 penumpang yang terpaksa pulang pada ketika itu.

Cik Evelyn Chia, seorang lagi penumpang yang terjejas oleh pembatalan itu, menulis komen di laman Facebook Persatuan Persiaran Singapura: "Pembatalan itu terlalu lewat, menyebabkan beribu-ribu orang terkandas di dewan keberangkatan pusat kapal persiaran ... pengalaman buruk." 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita