Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelawat yang tinggal di hotel boleh jalani pengasingan di bilik jika diuji positif COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
Pelawat yang tinggal di hotel  boleh jalani pengasingan di bilik jika diuji positif COVID-19
Diterbitkan : 16 Dec 2021 08:57PM Dikemas Kini : 16 Dec 2021 08:59PM

SINGAPURA: Pelawat yang menginap di hotel dan disahkan positif COVID-19, tidak lama lagi boleh mengasingkan diri di bilik hotel mereka dan
tidak perlu dibawa ke kemudahan jagaan.

Perubahan itu berkuatkuasa pada (20 Dis) dan meliputi juga mereka yang dikenal pasti sebagai kontak rapat kes koronavirus.

Demikian menurut Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dalam satu kenyataan media pada Khamis (16 Dis).

"Sejajar dengan protokol pemulihan bagi kebanyakan kes tempatan COVID-19, para pelawat akan juga menerima bantuan teleperubatan," kata STB.

"Pelawat akan terus menanggung sendiri sebarang kos berkaitan dengan pemulihan, ujian,dan rawatan termasuk sebarang keperluan untuk melanjutkan tempoh penginapan di hotel ataupun kemudahan jagaan."

Bagaimanapun, kes yang disyaki atau disahkan jangkitak varian Omicron akan terus dibawa ke kemudahan penjagaan dan pengasingan yang ditetapkan.

Kontak rapat kes-kes tersebut juga perlu menjalani perintah kuarantin mereka di kemudahan yang ditetapkan.

Pelawat yang disahkan positif COVID-19 sebelum 20 Disember dan sedang pulih di kemudahan penjagaan akan terus menjalani baki tempoh pengasingan mereka di sana.

UJIAN PCR POSITIF COVID-19
Pelawat yang dimaklumkan hasil ujian PCR mereka positif COVID-19 ketika menginap di hotel harus terus mengasingkan diri di dalam bilik mereka. Mereka juga harus memberitahu kakitangan hotel, isi borang online dan nantikan arahan lanjut mengenai prosedur pemulihan mereka.

Jika pelawat itu sudah lengkap divaksin, mereka perlu menjalani perintah pengasingan selama 10 hari. Bagi yang tidak lengkap divaksin harus terus mengasingkan diri dalam bilik mereka selama 14 hari.

"Mereka secara automik bebas bergerak pada akhir tempoh perintah pengasingan mereka dan tidak perlu menjalani ujian lanjut, " kata STB.

Tetamu hotel yang ada rumah di Singapura dan mahu menjalani pemulihan di rumah masing-masing boleh meminta bantuan pihak hotel untuk menghubungi Kementerian Kesihatan (MOH) bagi menghantar mereka pulang. STB menambah mereka tidak harus mengatur pengangkutan mereka sendiri.

Mereka yang ada masalah kesihatan atau keadaan sosial yang mungkin menimbulkal risiko tinggi atau individu yang sakit teruk akan dipindahkan ke hospital atau kemudahan penjagaan.

Pelawat yang disahkan positif COVID-19 tetapi tidak tinggal di hotel tidak harus mendapatkan bilik di hotel, kata STB.

"Jika persekitaran isi rumah mereka tidak sesuai bagi pemulihan di rumah, mereka harus memaklumkan MOH yang akan membuat aturan untuk memindahkan mereka ke kemudahan penjagaan yang sesuai," tambahnya.

Bagi pelawat di bawah skim laluan perjalanan penumpang sudah divaksin (VTL) dan ujian wajib harian ART mereka diuji positif, mereka dikehendaki menjalani pengasingan sendiri sehingga menerima keputusan ujian PCR mereka.

AMARAN RISIKO KESIHATAN
Pelawat yang dikenal pasti sebagai kontak rapat kes COVID-19 dan menerima amaran risiko kesihatan harus mengasingkan diri dalam bilik atau di rumah dan mengambil ujian ART pada hari yang sama,kata STB. Mereka harus menghantar keputusan ujian mereka melalui borang online.

Jika keputusan ujian tersebut negatif, mereka boleh meneruskan kegiatan seperti biasa pada hari tersebut. Namun, pada hari kedua hingga ketujuh, mereka harus mengambil ujian ART setiap hari dan diuji negatif sebelum keluar, kata STB. Mereka boleh berhenti mengambil ujian tersebut jika disahkan negatif pada hari ketujuh.

Jika mereka disahkan positif pada bila-bila masa semasa tempoh tujuh hari tersebut, mereka harus mengasingkan diri selama 72 jam dan mengambil ujian ART sekali lagi selepas itu.

Pelawat yang menginap di hotel yang sama dengan mereka yang disahkan positif COVID-19 dan menerima amaran risiko kesihatan harus pindah ke tempat lain seperti, bilik lain di hotel yang sama secepat mungkin, tambah STB.

"Tetamu hotel yang sedang pulih atau menjalani pengasingan dalam bilik mereka harus mengamalkan tanggungjawab peribadi dan mematuhi protokol pengasingan dan ujian yang ditetapkan.
Mereka tidak harus meninggalkan bilik atau menggunakan sebarang kemudahan yang dikongsi dengan tetamu lain," kata agensi itu.

Tetamu yang melanggar perintah pengasingan dengan meninggalkan bilik mereka melakukan
kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit dan mungkin berdepan tindakan penguatkuasaan,"tambahnya.

 

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan