Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelawat VTL ke S'pura atau dari negara berisiko rendah boleh jalani ujian ART kendiri tanpa diselia

Langkah itu, menggantikan protokol sedia ada yang mensyaratkan ujian kendiri ART yang diselia. Ia dilakukan sedang jumlah kes import "kekal sangat rendah" sepanjang beberapa minggu lalu, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (11 Mar).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Mar 2022 07:15PM Dikemas Kini : 11 Mar 2022 09:17PM

SINGAPURA: Bermula 15 Mac, pelawat di bawah Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) atau mereka yang tiba dari negara dengan kadar jangkitan rendah hanya perlu mengambil ujian pantas antigen (ART) kendiri tanpa diselia, dalam tempoh 24 jam selepas memasuki Singapura.

Langkah itu, menggantikan protokol sedia ada yang mensyaratkan ujian kendiri ART yang diselia. Ia dilakukan sedang jumlah kes import "kekal sangat rendah" sepanjang beberapa minggu lalu, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (11 Mar).

Kes jangkitan import membentuk sekitar satu peratus daripada jumlah kes harian, dengan banyak negara sudahpun "melepasi paras kemuncak gelombang Omicron", tambahnya.

Macao, China dan Taiwan adalah negara atau wilayah Kategori 1 dengan bilangan jangkitan yang rendah.

Pelawat perlu melaporkan hasil ujian kendiri ART tanpa diselia itu melalui sync.gov.sg sebelum meneruskan dengan aktiviti mereka di Singapura.

Mereka juga perlu mengambil ujian sebelum keberangkatan dalam tempoh dua hari sebelum berlepas ke Singapura.

“Langkah-langkah ini penting dan perlu diambil untuk mempersiapkan kita bagi konsep Perjalanan Sudah Divaksin yang baru pada minggu-minggu mendatang, di mana pelawat lengkap divaksin secara amnya tidak perlu memohon bagi kebenaran untuk memasuki Singapura dan akan menjalani peraturan ujian lebih mudah," tambah MOH.

Ia juga menggalak pelawat agar melayari laman SafeTravel untuk memeriksa langkah-langkah sempadan terkini bagi negara pelepasan mereka sebelum memasuki Singapura. Ini di samping "bersiap sedia untuk mematuhi langkah-langkah sempadan semasa tatkala memasuki Singapura".

Bercakap di sidang media Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi COVID-19, pengerusi bersama Lawrence Wong berkata pihak berkuasa pada akhirnya mahu memperkenalkan konsep "pelawat sudah divaksin" berbanding mempunyai VTL berbeza dengan negara atau wilayah berlainan mengikut tahap risiko masing-masing.

Ini akan membenarkan pelawat yang sudah divaksin memasuki Singapura tanpa mengira dari mana mereka datang - kecuali "sekumpulan kecil negara... mungkin kerana terdapat varian membimbangkan maka, kami perlu menyekat perjalan bagi kumpulan tertentu itu," jelasnya.

“Namun bagi seluruh dunia, (konsep itu) berpotensi untuk membolehkan perjalanan selagi orang itu sudah divaksin dan kemudian menjalani ujian-ujian sesuai. Jadi itulah konsepnya.”

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan