Skip to main content

Singapura

Pelawat tidak lengkap divaksin tidak lama lagi dibenar masuk S'pura tanpa mohon kelulusan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para pelawat tidak lengkap divaksin yang memegang pas jangka panjang dan pelawat jangka pendek yang berusia 13 tahun dan ke atas yang melakukan perjalanan ke Singapura mulai Isnin (29 Ogos) tidak lagi perlu membuat permohonan untuk memasuki Singapura, menurut Kementerian Kesihatan (MOM) dalam kenyataan medianya pada Rabu (24 Ogos). 

Mereka juga tidak dikehendaki menjalani tempoh Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) selama tujuh hari sebaik tiba di sini atau menjalani ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) pada akhir tempoh SHN, menurut MOH, sambil merujuk kepada situasi semasa COVID-19 yang semakin bertambah baik di Singapura dan seluruh dunia. 

Sungguhpun demikian, para pelawat yang tidak lengkap divaksin mesti menunjukkan hasil negatif ujian dalam tempoh dua hari sebelum berangkat ke Singapura, menurut MOH. 

Pelawat jangka pendek yang tidak lengkap divaksin masih mesti mendapatkan insurans perjalanan COVID-19 yang merangkumi sepanjang tempoh mereka berada di Singapura. 

Buat masa ini, semua pelawat yang tidak lengkap divaksin biasanya tidak dibenarkan memasuki Singapura, kecuali atas "alasan-alasan yang mendesak" seperti menziarahi anggota keluarga yang sakit tenat atau jika mereka adalah anggota keluarga kepada seorang warga Singapura, menurut laman web Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA). 

"Memandangkan pemegang pas jangka panjang dijangka akan berada di Singapura bagi tempoh yang lebih lama, mereka dikehendaki mematuhi semua langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi sebaik tiba di Singapura," menurut MOH. 

Bagi perjalanan ke Singapura, para pelawat yang diuji positif COVID-19 harus menunda rancangan mereka dan tidak menaiki sebarang penerbangan komersil atau feri, kerana mereka boleh menjangkiti penumpang lain dan anak kapal, menurut MOH. 

"Mereka hanya perlu meneruskan perjalanan mereka apabila mereka diuji negatif dan sekurang-kurangnya 72 jam dari masa mereka mula-mula diuji positif," tambah MOH. 

Mereka yang sudah lengkap divaksin boleh melakukan perjalanan pada atau selepas hari ketujuh jika mereka masih diuji positif, manakala mereka yang tidak lengkap divaksin berusia 12 tahun dan ke atas hanya boleh meneruskan perjalanan mereka pada hari ke-14 jika masih diuji positif, umum MOH. 

MOH juga mengingatkan semua pelawat yang memasuki Singapura menerusi laluan udara atau laut supaya mengisi Kad Ketibaan Singapura secara online sehingga tiga hari sebelum tiba di sini. 

"Para pelawat amat digalakkan untuk berbuat demikian sebelum berlepas ke Singapura untuk memudahkan proses ketibaan yang lancar di Singapura," menurut MOH lagi. 

SYARAT VAKSINASI BAGI PEMEGANG PAS KERJA

Mereka yang ingin membuat permohonan bagi pas jangka panjang dan pas kerja perlu lengkap divaksin, menurut MOH. 

Ini untuk mengekalkan kadar vaksinasi yang tinggi dalam kalangan penduduk, menyokong pembukaan semula  ekonomi dengan selamat, serta mengurangkan gangguan pada perniagaan, menurut MOH lagi. 

Mereka yang ingin memperbaharui pas kerja mereka tidak akan tertakluk kepada syarat vaksinasi mulai 1 Oktober, menurut MOH, namun ini bukan bagi pembaharuan permit kerja dan Pas S untuk mereka yang menetap di dormitori atau bekerja dalam sektor binaan, limbungan kapal dan pemprosesan. 

Pekerja-pekerja berkenaan harus lengkap divaksin sebelum memperbaharui pas mereka kerana tempat kerja dan dormitori adalah tempat-tempat yang berisiko tinggi berlaku penularan penyakit, jelas MOH. 

Apabila ditanya mengenai kemungkinan melonggarkan sekatan dormitori, seperti memerlukan penghuni membuat permohonan untuk pas sebelum menuju keluar ke empat "tempat popular" pada setiap hari Ahad dan cuti umum, Pengerusi Bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian COVID-19 (MTF) Encik Lawrence Wong berkata pihak berkuasa akan terus menyemak sama ada langkah-langkah berkenaan boleh dilonggarkan.

"Namun, untuk jangka panjang, bukan semata-mata untuk COVID-19, kami ingin memastikan orang ramai berada di pelbagai tempat berbeza, dan bukan ramai orang di beberapa tempat sehingga menyebabkan isu-isu lain yang membimbangkan," kata Timbalan Perdana Menteri itu. 

"Tidak semestinya COVID-19, ia mungkin mengenai keselamatan, kesesakan dan isu-isu lain juga. Oleh itu, kami sebenarnya sedang meneroka cara-cara untuk memperluaskan pusat rekreasi misalnya, supaya terdapat lebih banyak pilihan bagi pekerja di dormitori kita sewaktu hujung minggu." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita