Skip to main content

Singapura

Pelawat lengkap divaksinasi dari 8 negara boleh mohon jalani SHN di kediaman sendiri

Pelawat dari lapan negara yang sudah menerima suntikan vaksin penuh COVID-19 tidak lama lagi boleh memohon untuk menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) di kediaman masing-masing dan bukan di kemudahan khas, umum Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (6 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Pelawat lengkap divaksinasi dari 8 negara boleh mohon jalani SHN di kediaman sendiri

Seorang kakitangan di Zon 1 Lapangan Terbang Changi pada 24 Mei 2021 (Gambar: Gwyneth Teo)

Diterbitkan : 06 Aug 2021 08:39PM Dikemas Kini : 06 Aug 2021 10:56PM

SINGAPURA: Pelawat dari lapan negara yang sudah menerima suntikan vaksin penuh COVID-19 tidak lama lagi boleh memohon untuk menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) di kediaman masing-masing dan bukan di kemudahan khas, umum Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (6 Ogos).

Bermula 11.59 malam pada 20 Ogos, pelawat yang sudah divaksinasi sepenuhnya dari Australia, Austria, Kanada, Jerman, Itali, Norway, Korea Selatan, dan Switzerland, boleh membuat demikian jika mereka "memenuhi kriteria tertentu".

Menurut Kementerian Kesihatan, seseorang individu itu dianggap sudah selesai divaksinasi dua minggu selepas menerima rejimen penuh Pfizer-BioNTech/Comirnaty, Moderna atau sebarang vaksin dalam Senarai Penggunaan Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Ini termasuk vaksin Sinovac-Coronavc, Sinopharm dan AstraZeneca.

Permohonan akan dipertimbangkan jika pelawat yang sudah divaksinasi itu menetap di lapan negara tersebut sepanjang 21 hari berturut-turut sebelum tiba di Singapura.

Mereka juga harus menetap di kediaman masing-masing atau tempat tinggal lain yang sesuai secara berseorangan, atau hanya dengan anggota isi rumah yang juga sudah menerima vaksinasi penuh dan menjalani SHN dengan sejarah perjalanan dan tempoh pengasingan yang sama.

Bagi warga Singapura dan penduduk tetap, permohonan harus dibuat tiga hari sebelum ketibaan menerusi laman SafeTravel. Semua pelawat harus menunjukkan kelulusan untuk membuat pilihan jalani SHN di rumah semasa ketibaan di Singapura.

Semua pelawat dari negara atau wilayah lain mesti terus jalani SHN di kemudahan khas, kata MOH.

KELULUSAN KEMASUKAN DISAMBUNG BAGI PEMEGANG PAS KERJA

Mulai 10 Ogos, Kementerian Tenaga Manusia akan menyambung semula kelulusan masuk untuk pemegang pas kerja yang sudah menerima vaksinasi lengkap serta tanggungan mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara atau wilayah yang berisiko tinggi.

Mereka mesti mendapatkan vaksinasi penuh sebelum tiba di Singapura, dan akan dikenakan protokol kesihatan yang sedia ada, kata MOH.

Berucap semasa sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong berkata: "Sebagai sebuah ekonomi yang kecil dan terbuka, hubungan antarabangsa kami adalah sangat penting. Sejajar kenaikan kadar vaksinasi di Singapura, dan di negara-negara lain, kami akan menyemak secara berperingkat beberapa langkah sempadan kita."

MOH menambah dengan Singapura mencapai kadar vaksinasi yang lebih tinggi, pasukan bertindak akan memperkenalkan langkah-langkah sempadan "berbeza mengikut status vaksin" bagi pelawat dari negara atau wilayah yang "menunjukkan kemampuan untuk mengawal pandemik" dan memberi suntikan vaksin kepada sebahagian besar penduduknya.

PADAH PENUTUPAN SEMPADAN BERLARUTAN

Langkah-langkah sekatan sempadan yang berlarutan akan menjejas teruk ekonomi Singapura, tegas Menteri Kesihatan Ong Ye Kung.

Singapura telah membenarkan pelawat dari "tempat-tempat selamat" seperti China, Brunei dan New Zealand untuk masuk tanpa perlu menjalani SHN, tambahnya.

"Kami berharap tidak lama dari sekarang, mereka akan membalas dengan pembukaan (sempadan) dan kemudian kita akan wujudkan koridor perjalanan," katanya. "Namun sebaliknya juga berlaku, kerana beberapa negara seperti Amerika Syarikat ... banyak negara di EU, mereka meluluskan pelawat yang berasal dari Singapura masuk ke negara mereka tanpa perlu dikuarantin atau (SHN)," katanya.

"Jadi jika kami membalas aturan itu, kita juga akan membuka koridor perjalanan."

Beberapa daripada negara ini telah mencapai tahap vaksinasi yang tinggi dan "mengurangkan kadar (jangkitan) dengan sangat ketara", kata Encik Ong.

"Oleh itu, kami akan merancang untuk membuka laluan perjalanan bagi individu yang sudah divaksinasi dengan negara-negara tertentu di mana individu yang divaksinasi sepenuhnya dapat melakukan perjalanan ulang alik (ke) Singapura dan negara rakan terpilih tanpa (SHN) dan menggantikan (SHN) dengan ujian kerap. "

Kementerian Pengangkutan sedang melakarkan perincian dan akan mengumumkannya apabila siap kelak, tambahnya.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita