Pelawat di bawah aturan 'Laluan Pantas' S'pura-China bagi urusan penting tidak perlu dikuarantin 14 hari
Para pelawat dari Singapura dan China di bawah aturan Laluan Pantas dua hala bagi perjalanan penting tidak dikenakan kuarantin 14 hari.
SINGAPURA: Pelawat dari Singapura dan China yang melakukan perjalanan penting di bawah aturan Laluan Pantas dua hala tidak akan dikenakan kuarantin selama 14 hari.
Bagaimanapun, mereka perlu mematuhi syarat-syarat yang ketat termasuk lulus dua ujian swab COVID-19.
Langkah itu sebahagian daripada protokol baru yang digariskan oleh Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) serta Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan media hari ini (3 Jun).
Ia bagi memastikan perjalanan udara dapat disambung semula secara bertahap dengan selamat.
Singapura dan China mencapai persetujuan membenarkan kemasukan pengunjung dari enam wilayah China iaitu - Shanghai, Tianjin, Chongqing, Guangdong, Jiangsu and Zhejiang.
Pengunjung Singapura juga boleh ke enam wilayah tersebut di bawah aturan Laluan Pantas bagi memudahkan urusan penting dan perjalanan rasmi.

UJIAN SWAB 48 JAM SEBELUM PENERBANGAN
Lawatan penting hanya dibenarkan kepada pengunjung jangka pendek atas urusan perniagaan serta undangan rasmi sahaja.
Lawatan atas tujuan-tujuan lain masih lagi tidak dibenarkan.
Mereka yang perlu membuat lawatan penting itu perlu mematuhi beberapa protokol tertentu bagi mengelakkan risiko jangkitan COVID-19 daripada berlaku.
Pertama, rakyat Singapura atau pengunjung dari China yang membuat permohonan di bawah aturan Laluan Pantas perlu ada penaja di negara destinasi yang akan memfailkan permohonan bagi pihak mereka.
Jika permohonan itu diluluskan, pelawat berkenaan harus membuat permohonan visa, jika perlu.
48 jam sebelum berangkat, mereka perlu mengambil ujian swab COVID-19 dan hanya dibenarkan berlepas jika keputusannya negatif.
Setibanya di lapangan terbang negara destinasi, mereka harus sekali lagi menjalani ujian swab dan kemudiannya menjalani pengasingan di sebuah tapak ditetapkan di China. Di Singapura pula, pelawat tersebut akan ditempatkan di sebuah kemudahan bukan penginapan.

Keputusan ujian akan diketahui dalam masa 48 jam dan pelawat hanya dibenarkan keluar sebaik sahaja ujian mereka disahkan negatif.
Para pelawat kedua-dua negara tidak perlu menjalani kuarantin 14 hari.
Bagaimananapun, jika keputusan ujian mereka positif COVID-19, mereka perlu menanggung kos perubatan.
Pengunjung juga dikehendaki memuat turun aplikasi pengesanan kontak di negara destinasi mereka.
Bagi mereka yang memasuki Singapura misalnya, mereka perlu memuat turun aplikasi TraceTogether.
Mereka juga harus mengikuti program perjalanan yang dikemukakan dengan ketat.

Inisiatif Laluan Pantas Singapura-China itu bertujuan memastikan urusan perniagaan yang penting dapat disambung semula dengan selamat.
Untuk perjalanan masuk ke Singapura, pengunjung boleh mengemukakan permohonan melalui penaja masing-masing, bermula Isnin ini (8 Jun).
Singapura sedang dalam perbincangan dengan Australia dan New Zealand untuk melancarkan inisiatif serupa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.