Pelawat asing boleh guna pas perjalanan IATA ke S'pura mulai Mei
Para penumpang yang melakukan perjalanan ke Singapura boleh menggunakan Pas Perjalanan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mulai 1 Mei sebagai sebahagian daripada kerjasama berterusan antara Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan IATA.

(Gambar: AFP)
SINGAPURA: Para penumpang yang melakukan perjalanan ke Singapura boleh menggunakan Pas Perjalanan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mulai 1 Mei sebagai sebahagian daripada kerjasama berterusan antara Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan IATA.
Para penumpang boleh berkongsi hasil ujian reaksi rantai polimerase (PCR) COVID-19 mereka dengan pihak syarikat penerbangan sebelum berlepas ke Singapura dan kemudian menunjukkannya semasa mendaftar masuk pesawat dan apabila tiba di pusat pemeriksaan imigresen di Lapangan Terbang Changi, menurut CAAS dan IATA pada Isnin (5 Apr).
"Ini adalah sebahagian daripada kerjasama berterusan antara CAAS dengan IATA untuk memastikan perjalanan yang lancar dan cekap menerusi sijil digital ujian COVID-19," menurut kedua-dua CAAS dan IATA.
Pas perjalanan IATA adalah aplikasi mudah alih yang boleh digunakan oleh para penumpang untuk mendapatkan dan menyimpan hasil ujian COVID-19 yang diperolehi daripada makmal-makmal bertauliah.
Bulan lalu, Singapore Airlines (SIA) menguji aplikasi IATA pada penumpang yang melakukan perjalanan dari Singapura ke London antara 15 Mac dengan 28 Mac. Menurut SIA, aplikasi pas perjalanan IATA itu disambut baik oleh para pelanggannya dan mereka bersedia untuk menggunakan aplikasi pas perjalanan IATA bagi penerbangan antarabangsa pada masa akan datang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.