Skip to main content

Singapura

Pelawak veteran Yusoff Maruwi meninggal dunia pada usia 72 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Pelawak veteran Yusoff Maruwi meninggal dunia pada usia 72 tahun

(Gambar: USRAH)

Diterbitkan : 01 Jun 2026 08:10AM Dikemas Kini : 01 Jun 2026 08:21PM

SINGAPURA: Seniman pelawak veteran, Mohamed Yusoff Maruwi, meninggal dunia awal pagi Isnin (1 Jun) sekitar jam 2 pagi di Hospital Tan Tock Seng (TTSH).

Berita pemergian Almarhum dikongsikan salah seorang sahabat beliau kepada BERITAMediacorp.

Pelakon dan aktivis masyarakat, Khairuddin Samsudin, dalam satu hantaran menyatakan bahawa Allahyarham “menghembus nafas terakhir pada jam 2:00 pagi tadi” sambil mengajak orang ramai mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di syurga.

“Segala salah silap beliau mohon dimaafkan,” tulis beliau.

Almarhum sebelum ini dilaporkan mengalami serangan angin ahmar dan menerima rawatan di TTSH sejak minggu lalu.

Pada Jumaat (30 Mei), BERITA Mediacorp melaporkan bahawa Almarhum mengalami angin ahmar jenis ‘Ischaemic’, iaitu keadaan apabila saluran darah ke otak tersumbat akibat darah beku atau lemak sehingga menjejaskan bekalan darah ke otak.

Keadaan itu turut menjejaskan pergerakan bahagian kiri tubuh beliau dan pertuturannya dilaporkan kurang jelas ketika dirawat di hospital.

Menurut maklumat yang dikongsikan beberapa kenalan Almarhum, solat jenazah akan dilaksanakan selepas solat Zohor sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Almarhum dikenali ramai sebagai seorang pelawak veteran yang aktif menceriakan dunia seni tempatan dan disenangi masyarakat.

BERITAMediacorp sudah menghubungi isteri Allahyarham tetapi kami belum menerima jawapannya.

Sumber : BERITA Mediacorp/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita