Skip to main content

Singapura

Pelawak SG Husin Saaban lancarkan biografi 'Moga Ceria', kongsi pengetahuan & pelbagai kenangan industri komedi

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Berkongsi pengetahuan dan pelbagai kenangan dunia komedi tempatan diabadikan pelawak Husin Saaban dalam sebuah biografi.

Buku bertajuk 'Moga Ceria' itu dilancarkan pada Sabtu (4 Mac) di Festival Muslim Singapura 2023.

Pahit manis sepanjang bergelar anak seni selama lebih 35 tahun semuanya dikongsikan pelawak tanah air Husin Saaban dalam buku setebal 306 muka surat itu.


(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

Biografi bertajuk 'Moga Ceria' ini juga diselitkan dengan beberapa petua dan tip bagi penulisan sketsa komedi.

"Saya banyak sangat menyimpan khazanah-khazanah seperti keratan suratkhabar, gambar-gambar, bahan-bahan hadiah dan sebagainya dalam perjalanan seni saya selama 36 tahun," kongsi Encik Husin, 70 tahun.

"Selain daripada itu, saya banyak kehilangan teman-teman rapat, geng pelawak saya. Jadi lantaran itu semua, saya ingat semasa saya masih hidup ini, sebaik-baiknya saya menghasilkan buku sebagai khazanah bagi mewakili pihak pelawak-pelawak tanah air," tambahnya.


 

Menerusi buku itu, para pembaca juga diberi bayangan tentang dunia komedi di Singapura, lebih-lebih lagi semasa zaman kegemilangannya.

"Kami satu kumpulan lawak yang besar, lebih kurang dalam 11, 12 orang yang disatukan daripada pelbagai drama," menurut Encik Husin.

"Kita sudah macam adik-beradik. Jadi itu saya rasa payah akan berlaku lagi di Singapura. Kami juga bukan sahaja berkarya di televisyen. Kami (berkarya) di pentas, kami membuat DVD dan banyak lagi," tambah beliau.

Encik Husin juga berharap generasi baru dapat mengenali siapa mereka sebenarnya menerusi bukunya itu.

HUSIN SAABAN AMBIL HAMPIR 2 TAHUN HASILKAN BUKU

Menurut pelawak itu yang juga seorang penulis dan pengarah, masa yang diambil untuk menghasilkan buku itu ialah hampir dua tahun.

Beliau juga mempunyai ramai sumber inspirasi termasuk penulis terkenal Hamed Ismail dan tokoh bangsawan Melayu, Nadiputra.

Buku itu dilancarkan oleh Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.


 

Semasa ucapannya, Dr Faishal sempat berkongsi keyakinannya bahawa buku itu "dapat menjadi inspirasi kepada penggiat seni" dalam mengharungi cabaran-cabaran dan untuk kekal relevan dan berdisiplin dalam kerjaya mereka.

Acara itu merupakan sebahagian daripada Festival Muslim Singapura 2023.

SAKSIKAN PAMERAN ARTIFAK DAN REPLIKA RUMAH NABI MUHAMMAD

Di acara yang sama, para pengunjung juga berpeluang menikmati tawaran produk daripada lebih 150 gerai oleh para peniaga tempatan dan luar negara.


 

Ini di samping menyaksikan sendiri pameran artifak serta replika rumah Nabi Muhammad.

"Pengalaman saya selama ini, bagus juga. Banyak juga sejarah Islam yang kita boleh belajar daripada artifak itu," kongsi salah seorang pengunjung Encik Mohammed Ahnaf.

Ia merupakan kali pertama beliau dan keluarga datang untuk festival itu.



Seorang lagi pengunjung Wirawati Mohamed, berkongsi dengan BERITAmediacorp bahawa beliau gembira dapat melihat orang ramai kembali menghadiri acara sebegini selepas tiga tahun tergendala akibat COVID-19.

"Saya datang sini dapat mengenal siapa sebenarnya Nabi Muhammad, (menerusi) artifak, sejarah dan rumahnya. Walaupun rumahnya replika, tetapi kita sedikit sebanyak dapat mengenali rumah Nabi Muhammad," kongsi Cik Wirawati.



Selain itu, para pengunjung juga dibawa kembali menyusuri sejarah Islam menerusi teknologi canggih realiti maya (VR).

Ia merupakan antara daya tarikan Festival Muslim Singapura kali ini, di mana sepanjang enam minit, para pengunjung dibawa kembali ke zaman abad ke tujuh untuk menyaksikan kehidupan masyarakat Arab pada ketika itu dengan kaca mata mereka sendiri.



"Itu pun pertama kali saya menggunakan VR, ada kesan suara, ada video, dan pengalaman Hijrah Nabi Muhammad," kongsi seorang lagi pengunjung Siti Raudhah yang melahirkan rasa syukur dapat kembali ke festival itu buat kali kedua.

Festival Muslim Singapura akan berlangsung sehingga Selasa (5 Mac) di Dewan Lima, EXPO Singapura.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita