Pelawak Amerika Sammy Obeid gagal patuhi arahan POFMA; Meta, X diarah ambil tindakan
Syarikat Meta dan X kini dikehendaki mengambil tindakan selepas pelawak Amerika Syarikat, Sammy Obeid, gagal mematuhi arahan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) yang dikeluarkan terhadapnya awal minggu ini.
Pelawak Amerika Syarikat, Sammy Obeid. (Gambar: Laman web Sammy Obeid)
Pejabat POFMA diarahkan untuk mengeluarkan arahan pembetulan khusus kepada Meta Platforms dan X, menurut Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada Khamis (4 Sep).
Ini akan mewajibkan Meta dan X untuk menyampaikan notis pembetulan kepada para pengguna di Singapura yang sudah atau akan mengakses catatan-catatan Encik Obeid yang dikenal pasti mengandungi maklumat palsu.
Satu arahan pembetulan dikeluarkan kepada Encik Obeid pada Isnin berhubung kenyataan palsu dalam catatan Facebook, Instagram dan X beliau pada 27 Ogos.
Catatan-catatan tersebut secara palsu mengatakan bahawa Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) memerlukan beberapa pusingan suntingan terhadap bahan Encik Obeid, termasuk menghapuskan semua rujukan kepada Israel, Palestin dan konflik di Gaza. Namun, skripnya tetap ditolak meskipun beliau sudah mematuhi semua permintaan berhubung penghapusan bahan tersebut.
Kesemua catatan itu juga secara palsu mendakwa bahawa IMDA memberitahu Encik Obeid mereka menolak permohonan beliau untuk mendapatkan Lesen Hiburan Seni, antara lain, kerana bimbang beliau mungkin menyimpang daripada skrip di atas pentas, menurut MDDI.
Kementerian itu menekankan bahawa arahan pembetulan POFMA memerlukan Encik Obeid untuk memaparkan notis pembetulan bersama catatan asalnya.
“Beliau tidak perlu memadamkan catatan asal. Notis tersebut akan menyediakan pautan kepada penjelasan pemerintah supaya pembaca boleh meneliti kedua-dua versi dan membuat kesimpulan sendiri,” menurut kenyataan kementerian tersebut.
“Memandangkan Encik Obeid tidak mematuhi arahan pembetulan tersebut, Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, mengarahkan Pejabat POFMA agar mengeluarkan arahan pembetulan khusus kepada Meta Platforms, Inc, dan X Corp.”
Butiran penuh berhubung kes ini boleh dirujuk di laman web Factually.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.