Skip to main content

Singapura

Pelarian Indonesia Paulus Tannos dijangka beri keterangan dalam perbicaraan ekstradisi, kes ditangguh ke Ogos

Perbicaraan fasa pertama bagi kes ekstradisi pelarian Indonesia, Paulus Tannos, berakhir pada Rabu (25 Jun), namun nasibnya masih belum ditentukan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelarian Indonesia Paulus Tannos dijangka beri keterangan dalam perbicaraan ekstradisi, kes ditangguh ke Ogos

Lakaran yang menggambarkan Paulus Tannos di Mahkamah Negara, Singapura pada 24 Jun 2025. (Gambar: CNA/Nathan Magindren)

SINGAPURA: Perbicaraan fasa pertama bagi kes ekstradisi pelarian Indonesia, Paulus Tannos, berakhir pada Rabu (25 Jun), namun nasibnya masih belum ditentukan.

Bekas ahli perniagaan itu kini direman sementara pihak pendakwa dan pasukan peguamnya berhujah sama ada dia wajar diserahkan kepada Indonesia.

Memandangkan kes Tannos merupakan yang pertama di bawah perjanjian ekstradisi baharu antara Singapura dan Indonesia, mahkamah meneliti dan menentukan langkah seterusnya pada setiap peringkat perbicaraan. Namun, pada Rabu, lebih banyak butiran didedahkan mengenai hujah Tannos yang menentang ekstradisinya.

Lelaki berusia 70 tahun itu – yang juga dikenali sebagai Tjhin Thian Po – dikehendaki di Indonesia berhubung pelibatannya dalam satu kes rasuah berprofil tinggi yang melibatkan projek kad pengenalan elektronik negara itu, atau projek e-KTP.

Dia didakwa memberi rasuah kepada para pegawai yang ada kaitan dengan projek tersebut, skandal yang tercetus menyebabkan kerugian sebanyak kira-kira 2.3 trilion rupiah (S$179.29 juta) bagi negara itu.

Sebagai seorang penduduk tetap Singapura, Tannos sudah menetap di Singapura sejak 2017 dan diberkas pada 17 Januari 2025 oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) atas dakwaan rasuah di Indonesia yang dikatakan berlaku antara 2010 hingga 2013.

Tannos berulang kali menolak untuk diserahkan kepada Indonesia, yang membawa kepada perbicaraan mahkamah yang sedang berlangsung.

Pada Rabu pagi, peguam Tannos, Bachoo Mohan Singh daripada firma guaman BMS Law, menamatkan sesi pemeriksaan balas terhadap satu-satunya saksi pihak pendakwa, iaitu penyiasat khas kanan CPIB, Alvin Tang.

Encik Singh menumpukan soalannya kepada peristiwa sebelum pemberkasan Tannos, termasuk bertanya sama ada Encik Tang mengetahui bahawa Tannos pernah ditemu bual polis Indonesia pada 2012. Encik Tang menjawab bahawa beliau tidak tahu akan perkara tersebut.

“Saya diberitahu bahawa dia ditemu bual polis susulan laporan daripada pembekal barangan tertentu dalam satu pertikaian komersial yang berlaku pada 2012 di Indonesia,” kata Encik Singh. Encik Tang sekali lagi menyatakan bahawa beliau tidak tahu akan perkara tersebut.

Encik Singh turut bertanya sama ada Encik Tang mengetahui sebab keluarga Tannos meninggalkan Indonesia, dan pegawai CPIB itu berkata beliau sudah membaca butiran tersebut dalam satu afidavit.

Peguam itu kemudian mendakwa bahawa rumah Tannos di Indonesia pernah diceroboh beberapa individu, dan bertanya sama ada Encik Tang pernah berusaha untuk menyemak kesahihan perkara berkenaan. Encik Tang menjawab bahawa beliau tidak berbuat demikian.

Pihak pendakwa tidak menjalankan pemeriksaan balas terhadap Encik Tang, yang dibenarkan keluar dari kandang saksi sebelum waktu rehat tengah hari.

Mahkamah kemudian menumpukan perhatian kepada isu siapa yang akan dipanggil sebagai saksi bagi pihak Tannos dan urutan mereka.

Encik Singh memberitahu mahkamah bahawa empat saksi akan dipanggil pihak pembelaan, termasuk Tannos sendiri.

Tiga saksi lain ialah:
 
  1. Seorang pakar dari Australia yang akan memberi keterangan berkenaan keadaan badan kehakiman dan suasana politik di Indonesia
  2. Seorang pakar undang-undang Indonesia yang arif dalam bidang undang-undang jenayah
  3. Seorang peguam Indonesia yang akan menjadi saksi fakta

Encik Singh berkata peguam Indonesia itu akan dipanggil untuk “memberikan keterangan mengenai beberapa peristiwa membimbangkan yang berlaku sepanjang tempoh ini.”

Apabila diminta oleh Hakim Daerah Timbalan Utama, Luke Tan, untuk menjelaskan maksud frasa “tempoh ini,” Encik Singh menyatakan bahawa beliau merujuk kepada peristiwa sejak bermulanya projek e-KTP pada 2010.

Beliau menambah bahawa pakar undang-undang Indonesia itu akan menjelaskan kepada mahkamah sebab Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah Indonesia (KPK) mahu menemubual Tannos dan merekodkan kenyataannya sebagai suspek.

“Beliau akan menerangkan kesan daripada ketiadaan sesi temu bual dan kenyataan tersebut,” kata Encik Singh.

Pihak pendakwa kemudiannya membangkitkan kebimbangan mengenai urutan saksi yang akan dipanggil, dengan menyatakan risiko bahawa Tannos mungkin akan “menyesuaikan” keterangannya jika dia memberi keterangan selepas saksi-saksi lain.

PENGECUALIAN

Seorang lagi peguam Tannos, Encik Suang Wijaya daripada firma guaman Eugene Thuraisingam, merujuk kepada beberapa pengecualian yang dinyatakan dalam perjanjian ekstradisi yang akan dijadikan asas bagi menolak ekstradisi terhadap anak guamnya.

Ini termasuk klausa yang menyatakan bahawa ekstradisi boleh ditolak sekiranya ia dianggap “tidak adil, menindas, atau hukuman yang terlalu berat bagi pelarian tersebut.”

Encik Suang Wijaya turut merujuk kepada dua subseksyen yang boleh terpakai dalam kes anak guamnya.

Ini termasuk situasi di mana ekstradisi boleh ditolak jika tujuannya adalah untuk “mendakwa atau menghukum individu yang dikehendaki atas alasan bangsa, agama, kewarganegaraan, asal usul etnik, atau pandangan politiknya.”

Satu lagi subseksyen menyatakan bahawa ekstradisi boleh ditolak jika pelarian berkenaan berisiko “dikenakan ketidakadilan semasa perbicaraan atau dihukum, diberkas atau disekat kebebasan peribadinya atas alasan bangsa, agama, kewarganegaraan atau pandangan politik.”

Perbicaraan kes Tannos akan disambung pada 7 Ogos, dengan kedua-dua pihak dijangka berhujah mengenai kepentingan saksi-saksi dan urutan mereka dalam memberi keterangan.

Mahkamah turut mengarahkan pihak pendakwa dan peguam Tannos untuk mengemukakan hujahan bertulis bagi membantu mahkamah sebelum perbicaraan disambung.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita