Pelari maraton Soh Rui Yong gagal dalam rayuan kes saman fitnah Ashley Liew
Soh Rui Yong di garis penamat acara Maraton Lelaki di Sukan SEA ke-28. (Gambar: Ernest Chua/TODAY)
SINGAPURA: Mahkamah tinggi pada Isnin (28 Mac) menolak rayuan pelari maraton, Soh Rui Yong terhadap saman fitnah yang dibuat rakan pelari Ashley Liew.
Soh Rui Yong, 30 tahun, pada September tahun lalu diarah oleh mahkamah daerah untuk membayar Liew S$180,000 kerana memfitnahnya.
Kes rayuannya didengar Hakim Valerie Thean.
Ia berkaitan perbuatan adil yang dilakukan Liew di acara maraton Sukan SEA 2015. Soh dan Liew ketika itu adalah rakan sepasukan yang mewakili Singapura.
Liew berkata beliau telah berlari lebih perlahan untuk membolehkan atlit lain mengejarnya selepas mereka terlepas satu pusingan-U dan mengikut laluan lain.
Soh menjadi juara sementara Liew menamatkan perlumbaan itu di tempat kelapan dan tindakannya dilaporkan di media sebagai satu perbuatan adil.
Menyusuli itu, Liew menerima dua anugerah bagi perbuatannya - Anugerah Khas Semangat Kesukanan dari Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) selain menjadi penerima pertama Trofi Kelakuan Adil Pierre de Coubertin Sedunia.
Soh kemudian membuat lima kenyataan online menyangkal perbuatan adil itu berlaku.
KENYATAAN LIEW
Dalam rayuannya, Soh berkata kenyataan yang dibuat tidak bersifat memfitnah kerana "kenyataan awam"dibuat Liew mengenai perbuatan adil yang dilakukannya adalah tidak benar.
Soh menafikan tumpuan komen yang dibuatnya adalah Liew tidak memperlahankan lariannya.
Hakim Thean memutuskan untuk mengekalkan keputusan hakim daerah. Beliau juga mengarah Soh untuk membayar kos rayuan S$18,000 selain sekitar S$125,000 yang perlu dibayar Soh pada Februari bagi perbicaraan di mahkamah daerah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.