Skip to main content

Singapura

Pelantikan Peguam Negara berstruktur; Edwin Tong sangkal dakwaan Sylvia Lim bahawa prosesnya kurang jelas

Anggaran Waktu Membaca:
Pelantikan Peguam Negara berstruktur; Edwin Tong sangkal dakwaan Sylvia Lim bahawa prosesnya kurang jelas

Menteri Undang-Undang Edwin Tong dan Anggota Parlimen Sylvia Lim (Parti Pekerja (WP)-Aljunied) di Parlimen pada 2 Mac 2026 dan 27 Feb 2026.

Diterbitkan : 02 Mar 2026 09:25PM Dikemas Kini : 02 Mar 2026 09:27PM
SINGAPURA: Pelantikan Peguam Negara bukanlah satu proses yang dilakukan secara sambil lewa atau ringkas, kata Menteri Undang-undang Edwin Tong pada Isnin (2 Mac).

Beliau menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Sylvia Lim (WP-Aljunied), yang mengatakan di parlimen pada 27 Februari bahawa proses pelantikan Peguam Negara pada masa ini adalah "kurang jelas", dan orang awam berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang proses pemilihan bagi jawatan yang sangat penting itu.

Beliau berkata demikian semasa perbahasan mengenai rancangan perbelanjaan Kementerian Undang-undang bagi tahun akan datang.

Sebagai maklum balas, Encik Tong berkata bahawa proses pemilihan tersebut mencerminkan keseimbangan yang teliti antara tanggungjawab eksekutif dengan perlindungan institusi.

"Terdapat proses pelantikan yang jelas, sengaja, dan sangat tersusun dengan semak dan imbang yang sewajarnya," kata Encik Tong.

Pelantikan atau pembaharuan kontrak dibuat mengikut Perlembagaan. Perdana Menteri mesti terlebih dahulu berunding dengan Ketua Hakim Negara dan pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC), sebelum memberikan nasihat mengenai pelantikan tersebut kepada Presiden.

Selepas menerima nasihat itu, Presiden akan berunding dengan Majlis Penasihat Presiden (CPA) dan membuat penilaian bebas terhadap pelantikan tersebut.

Peguam Negara Lucien Wong dilantik semula untuk penggal keempat dari 14 Januari 2026, hingga 13 Januari 2029. Encik Wong, yang berusia 73 tahun tahun ini, sudah memegang jawatan tersebut sejak 2017. Beliau dilantik semula untuk dua penggal tambahan selama tiga tahun pada 2020 dan 2023.

PENDEDAHAN AWAM

Encik Tong juga tidak bersetuju dengan cadangan Cik Lim supaya perbincangan ini didedahkan kepada orang awam.

Beliau berkata perkara ini adalah untuk dinilai secara bebas oleh pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Majlis Penasihat Presiden. Sebagai contoh, Majlis Penasihat Presiden tidak menerbitkan nasihat mereka kepada Presiden, dan pihak pemerintah juga tidak mengetahui butiran perbincangan mereka.

Beliau menambah bahawa perbincangan sulit memainkan peranan penting semasa pelantikan tersebut dibuat.

"Jika anda mendedahkannya secara terbuka, anda mendedahkan calon-calon kepada perdebatan umum. Malah calon yang terbaik pun akan mempunyai pengkritik. Hanya segelintir kecil, tetapi tetap ada," katanya.

"Calon yang sesuai mungkin akan tawar hati untuk dipertimbangkan jika perbincangan mengenai kesesuaian mereka atau penolakan mereka didedahkan secara terbuka. Proses rundingan juga memerlukan penilaian yang jujur, dan menjadikannya perdebatan umum berisiko mempolitikkan satu jawatan yang sepatutnya kekal berkecuali."

Beliau menyatakan bahawa di sesetengah negara lain, Peguam Negara adalah pemegang jawatan yang dipilih melalui pilihan raya, tetapi Singapura sudah menggunakan model yang berbeza sejak kemerdekaan. Peguam Negara Singapura bukan seorang anggota politik dan dilantik berdasarkan kecemerlangan profesional, integriti, dan pertimbangan.

CALON YANG SESUAI

Encik Tong berkata Peguam Negara adalah salah satu jawatan yang paling kritikal dalam rangka kerja perlembagaan Singapura.

"Selain kelayakan rasmi, ia memerlukan individu yang mempunyai kedudukan profesional yang tinggi, pengalaman undang-undang yang luas, pertimbangan yang wajar, dan rasa tanggungjawab awam yang kuat," kata menteri itu.

"Peguam Negara juga mesti mempunyai integriti yang tidak boleh dipersoalkan dan prinsip moral yang kuat. Beliau mesti memberikan nasihat yang objektif dan bertindak adil dalam menjalankan pendakwaan, walaupun berbuat demikian mungkin sukar atau tidak popular. Beliau mesti bersedia untuk menegakkan undang-undang secara saksama kepada semua orang - sama ada individu itu seorang menteri atau pemimpin pembangkang."

Encik Tong menyatakan bahawa bukan mudah untuk mencari orang yang mempunyai pengalaman, pertimbangan, dan integriti yang diperlukan untuk jawatan ini.

Pemerintah juga mengambil kira pelbagai pertimbangan, termasuk prestasi penyandang jawatan, kebolehan dan kesediaan mereka untuk berkhidmat, serta sama ada terdapat perkara penting yang sedang berjalan yang memerlukan kesinambungan dan pengawasan rapi.

Menteri itu berkata pemerintah terus bergantung kepada nasihat Encik Wong mengenai perkara-perkara penting yang masih dalam proses. Ini termasuk rundingan mengenai sempadan maritim, pembaharuan undang-undang sektor cukai dan kewangan, serta perkara jenayah rentas sempadan yang kompleks.

"Encik Wong mempunyai rekod prestasi yang terbukti. Kami sudah melihat, bekerja dengannya, dan kami tahu mutu kerjanya, termasuk dalam perkara-perkara sensitif. Beliau kekal cergas, mampu dan sanggup untuk terus berkhidmat."

SESI SOAL JAWAB

Dalam respons kepada Encik Tong, Cik Lim bertanya sama ada terdapat calon lain yang disenarai pendek semasa pelantikan semula Peguam Negara baru-baru ini.

Encik Tong menjawab: "Saya tidak akan memberitahu sama ada terdapat senarai panjang atau senarai pendek, tetapi memadailah untuk dikatakan bahawa kami mempertimbangkan perkara ini dengan teliti, memikirkan apa yang sudah dilakukan oleh penyandang jawatan, sama ada terdapat keperluan untuk berubah pada masa itu, dan jika ya, apakah pilihannya?"

Cik Lim juga bertanya sama ada Encik Wong "tidak boleh diganti secara individu" dalam menguruskan projek kompleks yang sedang berjalan dan jika ada sesiapa yang sudah dilatih untuk mengambil alih.

Encik Tong menjawab: "Ia bukanlah bermakna mana-mana individu tidak boleh diganti, tetapi pada satu-satu masa, banyak faktor akan diambil kira." Selain faktor kesediaan individu, faktor lain seperti projek yang sedang berjalan, kedudukan, dan reputasi seseorang juga diambil kira.
Sumber : CNA/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita