Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelantikan Leong Mun Wai sebagai ketua PSP beri isyarat keyakinan parti terhadapnya, sokong cara berdebat, kata penganalisis

Anggaran Waktu Membaca:
Pelantikan Leong Mun Wai sebagai ketua PSP beri isyarat keyakinan parti terhadapnya, sokong cara berdebat, kata penganalisis

Leong Mun Wai dan pengerusi Parti Kemajuan Singapura (PSP) Dr Tan Cheng Bock. (Gambar: TODAY/Raj Nadarajan)

SINGAPURA: Pelantikan Encik Leong Mun Wai sebagai setiausaha agung baru Parti Kemajuan Singapura (PSP) adalah satu isyarat keyakinan parti tersebut terhadapnya dan menyokong cara beliau berdebat di parlimen.

Demikian menurut para penganalisis politik.

PSP mengumumkan pada Selasa (4 Apr) bahawa Encik Leong dilantik sebagai setiausaha agungnya yang baru selepas Francis Yuen melepaskan jawatan tersebut pada Mac setelah dua tahun berkhidmat.
PSP diasaskan pada 2019 oleh Dr Tan Cheng Bock, mantan anggota parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP). Dr Tan kekal sebagai pengerusi parti dalam Jawatankuasa Pemilihan Pusat (CEC) barunya.

Cik Hazel Poa dilantik sebagai naib pengerusi baru PSP, menggantikan Encik Wang Swee Chuang. Kedua-dua Encik Leong, 64 tahun, dan Cik Poa, 52 tahun, merupakan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP).

Dr Felix Tan, seorang penganalisis politik dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU), menyifatkan pelantikan Encik Leong dan Cik Poa ke dalam CEC sebagai satu langkah strategik, memandangkan mereka telah meraih "perhatian" menerusi kehadiran mereka di parlimen.

"Meskipun Encik Leong mungkin ada kalanya bersikap kurang profesional, saya fikir (tindakannya) lantang menyuarakan pandangan beliau di parlimen memberinya kelonggaran, mungkin (terdapat) peningkatan dalam jumlah penyokong bagi cara beliau menyuarakan kebimbangan tentang kumpulan-kumpulan tertentu di Singapura," tambahnya.

"Dari segi itu, pelantikan PSP itu dilihat sebagai langkah strategik untuk memanfaatkan popularitinya pada ketika ini."

Sejak menjadi seorang NCMP, Encik Leong terlibat dalam perbahasan hangat dengan beberapa Anggota Parlimen (AP).

Dengan melantik Encik Leong sebagai ketuanya, parti tersebut menyuarakan sokongan mereka terhadap pendekatan beliau semasa berbahas di parlimen sebagai cara untuk meningkatkan profil PSP, menurut Profesor Madya Eugene Tan dari Sekolah Undang-undang Yong Pung How Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Prof Madya Tan juga menarik perhatian bahawa tingkah laku Encik Leong di parlimen bermakna beliau mungkin berdepan dengan Jawatankuasa Hak Istimewa atau dirujuk ke Jabatan Peguam Negara pada satu ketika nanti.

MEMIMPIN PSP KE PILIHAN RAYA UMUM SELANJUTYA?

Gaya Encik Leong berdebat di parlimen patut dilihat secara berasingan daripada tugas serta tanggungjawabnya di parti tersebut, kata Penolong Profesor Elvin Ong dari Jabatan Sains Politik Universiti Nasional Singapura (NUS).

"Pelantikannya sebagai setiausaha agung adalah satu ujian terhadap kepimpinan dalaman parti dan kemahirannya dalam mentadbir parti, yang merupakan satu bidang kemahiran yang sama sekali berbeza daripada mengambil bahagian dalam perbahasan di parlimen," tambah Encik Ong.

Langkah PSP itu meningkatkan profil serta tanggungjawab Encik Leong untuk memimpin parti itu bagi Pilihan Raya Umum akan datang "jika tidak ada kejadian yang tidak diingini berlaku di sepanjang proses tersebut", ujar Dr Gillian Koh, timbalan pengarah penyelidikan dan zamil penyelidik kanan di Institut Kajian Dasar NUS.

"Dalam erti kata lain, ini akan hanya berlaku jika beliau dianggap sebagai seorang tokoh pembangkang yang kuat dan boleh dipercayai menerusi prestasinya di parlimen," kongsi Dr Koh kepada Mediacorp.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan