Pelantikan Heng Swee Keat ‘isyarat jelas’ peralihan kepimpinan seterusnya
Keputusan untuk melantik Menteri Kewangan Heng Swee Keat sebagai satu-satunya Timbalan Perdana Menteri adalah satu "isyarat jelas" oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang beliau bakal menjadi perdana menteri seterusnya, menurut para pemerhati politik.
Menteri Kewangan Heng Swee Keat. (Gambar fail: TODAY)
SINGAPURA: Keputusan untuk melantik Menteri Kewangan Heng Swee Keat sebagai satu-satunya Timbalan Perdana Menteri adalah satu "isyarat jelas" oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang beliau bakal menjadi perdana menteri seterusnya, menurut para pemerhati politik.
Dalam emelnya kepada Mediacorp, mantan Anggota Parlimen (AP) Inderjit Singh berkata pengumuman tentang peranan yang bakal digalas Encik Heng pada masa akan datang penting kerana ia memberi isyarat jelas kepada rakyat Singapura dan juga seluruh dunia bahawa tiada unsur kejutan dalam penggantian pucuk kepimpinan.
Encik Heng akan dinaikkan pangkat ke jawatan Timbalan Perdana Menteri berkuat kuasa Rabu depan, 1 Mei. Beliau akan kekal sebagai Menteri Kewangan dan terus menyandang jawatan sebagai Pengerusi Majlis Ekonomi Masa Hadapan serta Yayasan Penyelidikan Nasional. Demikian diumumkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Selasa (23 April).
Timbalan Perdana Menteri sekarang, Teo Chee Hean dan Tharman Shanmugaratnam, pula akan melepaskan jawatan mereka tetapi kedua-duanya kekal di dalam Kabinet sebagai Menteri Kanan.
Encik Teo akan mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara. Encik Tharman juga akan menyandang jawatan sebagai Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosia dan terus menasihati Perdana Menteri berkenaan dasar-dasar ekonomi.
Pengamatan Encik Inderjit itu turut disokong seorang lagi pemerhati politik, Gillian Koh, yang mengatakan bahawa dengan pelantikan terbaru tersebut, ini bermakna "ia semakin jelas bahawa Encik Heng berada dalam landasan yang betul untuk menjadi Perdana Menteri kita yang seterusnya".
Bagaimanapun, kejutan dalam pusingan penyusunan kabinet yang terkini ini adalah Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing yang tidak dilantik selaku Timbalan Perdana Menteri. Demikian menurut mantan AP Dilantik (NMP) Calvin Cheng menerusi emelnya kepada Mediacorp.
Lazimnya, Singapura mempunyai dua Timbalan Perdana Menteri yang menyokong Perdana Menteri.
BARISAN PEMIMPIN 4G PERLU BUKTIKAN MEREKA BOLEH MEMIMPIN S'PURA
Menurut Encik Inderjit, dengan menjadi satu-satunya Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng berpeluang menonjolkan keupayaannya yang seterusnya akan membolehkan orang ramai menilai beliau atas keupayaan beliau memimpin Singapura.
Profesor undang-undang SMU yang juga seorang pengulas politik, Eugene Tan, berkata bahawa cabaran utama Encik Heng sekarang adalah untuk memastikan kepimpinan para pemimpin generasi keempat (4G) terus berkembang sebagai sebuah pasukan. Ini sekalipun jika setiap individu meraih lebih banyak pengalaman dan kepakaran dalam bidang-bidang berbeza Pemerintah.
Encik Inderjit menambah, risiko melepaskan kedua-dua Timbalan Perdana Menteri sekarang tidak wajar diambil selagi para pemimpin 4G belum menunjukkan mereka boleh memimpin negara.
Maka itu, beliau berharap Encik Teo dan Encik Tharman akan sekurang-kurangnya meneruskan peranan mereka selaku Menteri Kanan bagi penggal Pemerintah berikutnya.
Profesor Madya SMU itu menegaskan: "Ada satu lagi manfaat apabila mempunyai dua ahli politik kanan."
"Pemerintah PAP kini dalam fasa persediaan bagi pilihan raya umum.
"Jadi anda mahukan kedua-dua budiman itu yang kaya dengan pengalaman serta kepakaran dan dikenali dalam kalangan warga Singapura untuk meyakinkan orang ramai bahawa ada pengalaman dan kepakaran yang mencukupi dalam Pemerintah," kata beliau.
Encik Inderjit turut menjangkakan Encik Teo serta Encik Tharman akan menggalas peranan lebih bersifat pembimbing selaku Menteri Kanan dan dalam masa yang sama, memantau serta menyandang jawatan selaku penyelaras dalam dasar-dasar keselamatan, ekonomi dan sosial.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.