Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelantikan 10 Ejen Kejayaan antara jentera M³@Toa Payoh

Paluan kompang yang gemuruh di Kelab Masyarakat Toa Payoh East tengah hari tadi (25 Apr) menandakan rasmi sudah gerakan M³@Toa Payoh.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Paluan kompang yang gemuruh di Kelab Masyarakat Toa Payoh East tengah hari tadi (25 Apr) menandakan rasmi sudah gerakan M³@Toa Payoh.

Dilancarkan para Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh yang termasuk Encik Saktiandi Supaat dan Menteri Pertahan Dr Ng Eng Hen, buat permulaan, ia akan mendekati keluarga-keluarga di flat-flat sewa GRC Bishan-Toa Payoh dan SMC Marymount.

Ini bagi memahami keperluan, keprihatinan dan aspirasi golongan itu dengan lebih baik lagi demi membantu mereka.

Selain itu, para penduduk Melayu/Islam di sana juga akan diperkasakan dengan kemahiran celik kewangan dan dibantu agar berdaya bingkas dalam soal ekonomi.

"Yang penting, pertama adalah meningkatkan daya siap masa depan masyarakat Melayu/Islam di Bishan-Toa payoh dan Marymount. Kedua, untuk mereka mempunyai kemahiran untuk mendakap isu-isu akan datang pada masa akan datang, boleh lebih mengubah suai kepada keadaan," kata Encik Saktiandi.

"Daya siap masa depan dan mengubah suai keadaan, dan bagaimana mereka mempunyai kemahiran dan keinginan untuk mempertingkatkan diri mereka juga."

Gerakan M³@Toa Payoh itu merupakan M³@Bandar yang ke-11 dilancarkan sejauh ini.

EJEN KEJAYAAN SELIDIK KEPERLUAN, ASPIRASI PENDUDUK

Untuk membantu mencapai matlamat tersebut, Encik Saktiandi melantik 10 orang sukarelawan sebagai Ejen Kejayaan.

Ejen-ejen itu akan mengendalikan pelbagai program dan bengkel untuk golongan sasaran, demi menaikkan taraf kehidupan mereka.

Encik Saktiandi menekankan, impak COVID-19 "mungkin tidak akan berakhir" tahun ini dan akan meninggalkan kesan jangka panjang terhadap masyarakat.

Jadi, sebahagian mereka mungkin perlukan aliran pendapatan alternatif.

Lantaran itulah, antara kemahiran yang akan diasuh M³@Toa Payoh termasuk bengkel-bengkel mengenai perniagaan dari rumah (HBB).

M³@Toa Payoh dipengerusikan Encik Mohamed Fauzan Siraj, pensyarah di Institut Pendidikan Teknikal Kolej Barat.

Beliau berkongsi: "Ejen Kejayaan ini akan menyelidiki lebih teliti lebih terperinci apa keperluan mereka, apa aspirasi mereka. Jadi mereka boleh membantu agar mereka dapat berjaya dengan lebih baik."

Encik Saktiandi pula berharap bahawa pada masa akan datang, lebih ramai lagi orang akan tampil ke hadapan untuk menjadi Ejen Sukarelawan M³@Toa Payoh.

Sementara itu Encik Fauzan menambah, lebih banyak lagi kursus-kursus lain untuk penduduk Melayu/Islam di Bishan-Toa payoh dan Marymount akan diperkenalkan selepas Ramadan nanti.

Mereka termasuklah lima orang pengerusi atau naib pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) dari Bishan-Toa Payoh-Marymount, tiga orang pengerusi masjid dan juga golongan karyawan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan