Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelanjutan Pakej Daya Tahan Seni & Budaya lindungi kehidupan, kedudukan penggiat seni

MCCY dan Majlis Seni Kebangsaan (NAC) komited untuk menyokong bidang tersebut semasa keadaan mencabar sekarang.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pelanjutan Pakej Daya Tahan Seni dan Budaya adalah bagi melindungi kehidupan dan keupayaan bakat-bakat seni serta memberi kedudukan lebih baik kepada para penggiat budaya merebut peluang masa depan.

Demikian menurut Menteri Budaya, Masyarakat dan Belia (MCCY) Edwin Tong di majlis meraikan penerima Pingat Budaya 2020 Encik Sarkasi Said anjuran Jamiyah, hari ini (22 Feb).

Encik Tong berkata sentuhan seni memberi keselesaan dan inspirasi kepada setiap individu, dalam masa sukar mahupun senang.

Lantaran itulah MCCY dan Majlis Seni Kebangsaan (NAC) komited untuk menyokong bidang tersebut semasa keadaan mencabar sekarang.

"Semasa pandemik ini, penggiat seni dan budaya kita cepat untuk berinovasi dan menggunakan teknologi bagi mendekati penonton baru di seluruh dunia," kata Encik Tong.

"Pelanjutan Pakej Daya Tahan Seni dan Budaya akan membantu melindungi kehidupan dan keupayaan bakat-bakat seni - mereka yang penting dalam sektor seni di Singapura - dan memberi kedudukan lebih baik kepada para penggiat budaya merebut peluang," jelasnya.

PERANAN PENTING BANGUNKAN ANAK SENI MUDA

Dalam pada itu, beliau memuji ikon batik, Encik Sarkasi yang bukan sahaja telah memartabatkan seni lukisan batik ke peringkat antarabangsa, bahkan sedia berkongsi pengetahuan dan kemahiran beliau kepada bakat-bakat muda, yang sebilangan besarnya dari latar belakang memerlukan.

Encik Sarkasi bergiat aktif di Jamiyah sejak 2016, dengan menganjurkan bengkel batik bagi penghuni rumah-rumah kebajikan Jamiyah selain kelas lukisan batik di pusat-pusat pemulihan lain.

Maka itu, beliau berpendapat sokongan pemerintah kepada perniagaan dan pekerja bidang seni, melalui Pakej Daya Tahan Seni dan Budaya yang dilanjutkan menyuntik semangat untuk mereka muncul lebih kukuh selepas pandemik.

"Itu adalah satu yang terbaik, di mana masa-masa lampau kita tidak pernah mendapatkan sepenuh atau lebih daripada apa yang kita dapat. Ia akan memberi masyarakat pendekatan yang lebih rapi dan kenal akan seni itu," kata pengasas seni batik di Singapura ini yang hasil lukisannya menghiasi ruang Istana dan turut dipaparkan sejauh Perancis dan Amerika Syarikat.

Dngan sekatan perjalanan di tengah-tengah pandemik ini, Encik Sarkasi mengambil peluang untuk melakukan kajian bagi mendalami kesenian beliau.

"Sekarang saya sedang memikirkan untuk membuat kajian tentang warna batik yang menggunakan bahan-bahan alami seperti buah-buahan, daun, bunga dan juga akar-akar kayu. Jadi itu cara saya mengatasi cabaran ini," jelas beliau. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan