Skip to main content

Singapura

Pelanggan terjejas insiden tikus di Tangs Market adalah wanita hamil; keluarga tolak tawaran baucar S$200

Anggaran Waktu Membaca:
Pelanggan terjejas insiden tikus di Tangs Market adalah wanita hamil; keluarga tolak tawaran baucar S$200

Titisan air dari tikus tersebut meninggalkan tanda di kardigan wanita terjejas. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 29 Nov 2023 10:46PM
SINGAPURA: Pada Sabtu (25 Nov), seorang wanita yang hamil 16 minggu, serta keluarganya sedang makan tengah hari di sebuah pusat makanan di Orchard Road apabila seekor tikus jatuh dari siling ke mejanya.
 
Ibu kepada wanita tersebut, yang tidak ingin namanya didedahkan, memberitahu Mediacorp bahawa kejadian itu menyebabkan anak perempuannya yang berusia 27 tahun berasa "trauma", kerana bimbang tentang kesihatan bayinya.

Wanita lebih berusia itu, yang kami namakan sebagai Cik Lim, berkata anak perempuannya kini mengambil ubat yang diberikan oleh doktor pakar sakit puan.

INSIDEN YANG BERLAKU

Ketika mengimbas kembali insiden tersebut, Cik Lim berkata anak perempuannya itu sudah makan separuh daripada hidangannya, ketika dia rasa "air menitis" di tangannya yang memegang penyepit. Titisan air itu juga meninggalkan tanda di kardigan wanita tersebut.

Ketika anak perempuannya mendongak ke atas untuk mencari sumber titisan air itu, dia melihat seekor tikus. Dia berdiri dan menjauhkan diri dari kerusinya selepas melihat tikus tersebut.

Beberapa saat kemudian, wanita itu terdengar "dentuman kuat" apabila tikus tersebut terjatuh ke atas dulang makanannya.

Cik Lim dan keluarganya ke jabatan kecemasan Hospital Gleneagles, yang menelan belanja S$1,152.06.

Pada Isnin (27 Nov), anak perempuan Cik Lim itu bertemu seorang pakar sakit puan bagi sesi rawatan. Dia diberi antibiotik dan probiotik kerana risiko pencemaran tikus dan potensi risiko leptospirosis.

Leptospirosis merupakan penyakit bakteria yang menjejas manusia dan haiwan, dan boleh menyebabkan pelbagai gejala. Komplikasi termasuk kerosakan buah pinggang dan kegagalan hati.

Dalam satu memo perubatan yang dilihat Mediacorp, doktor mengesahkan bahawa wanita mengandung itu serta bayi dalam kandungannya dalam keadaan sihat ketika menjalankan sesi rawatan pada Isnin.

TANGS TAWARKAN KAD HADIAH DAN HAMPER

Pada Sabtu, iaitu hari kejadian, seorang pengurus Tangs yang bertugas memohon maaf atas kejadian tersebut. Lewat petang itu, Tangs meminta alamat Cik Lim, supaya "hamper kesihatan" dapat dihantar.

Sebagai respons, Cik Lim berkata: "Kita tidak inginkan hamper kesihatan itu. Kita ingin tahu bagaimana Tangs akan menyelesaikan isu ini."

Dalam mesej seterusnya, Tangs juga menawarkan kad hadiah dan meminta resit bil hospital.

"Bagi pihak pengurusan Tangs untuk tidak menghiraukan insiden ini dengan menawarkan baucar S$200, untuk membiayai perbelanjaan dan hari cuti kita adalah satu penghinaan," balas Cik Lim.

RESPONS TANGS

Dalam satu kenyataan yang diterbitkan pada Rabu (29 Nov), Tangs mengesahkan insiden melibatkan tikus di atas dulang makanan, kira-kira pukul 2.55 petang pada Sabtu, di pusat penjaja Tangs Market.

Syarikat itu menyatakan "pelanggan yang terjejas yang sedang duduk di pekarangan itu ketika insiden berlaku sudah dibantu".

Namun ia tidak menyebut sebarang interaksi bersama Cik Lim dan keluarganya.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita