Skip to main content

Singapura

'Pelanggan takut': Jualan di gerai Mountbatten merosot selepas dikunjungi kes COVID-19

Dengan keadaan yang lengang di sekitar pusat penjaja itu pada waktu makan tengah hari, para pelanggan tetap yang biasanya beratur panjang di luar gerai mereka di Pusat Makanan Jalan Batu dekat Mountbatten Road tidak lagi kelihatan sejak dua hari yang lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
'Pelanggan takut': Jualan di gerai Mountbatten merosot selepas dikunjungi kes COVID-19

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 29 Aug 2020 12:27PM Dikemas Kini : 29 Aug 2020 01:47PM

SINGAPURA: Dengan keadaan yang lengang di sekitar pusat penjaja itu pada waktu makan tengah hari, para pelanggan tetap yang biasanya beratur panjang di luar gerai mereka di Pusat Makanan Jalan Batu dekat Mountbatten Road tidak lagi kelihatan sejak dua hari yang lalu.

Cik Fatana Fatah, 74 tahun, yang mengendalikan gerai Selera Rasa Muslim Food bersama kakaknya, Cik Rohani Fatah, 78 tahun, berkata pada Jumaat (28 Ogos) bahawa pada sekitar pukul 2.00 petang mereka hanya mempunyai kurang daripada lima pelanggan sejak mereka mula berniaga selepas waktu subuh.

Biasanya, mereka akan menerima lebih daripada 20 pelanggan sehari.

"Pada hari biasa, kami akan habis menjual semua hidangan kami pada waktu ini dan mula bersiap-siap untuk pulang ke rumah," kata Cik Fatana kepada Mediacorp.

Beliau berkata penjualannya merosot kerana berita pada Rabu malam (26 Ogos) yang melaporkan kemas kini Kementerian Kesihatan (MOH) bahawa pusat makanan itu dikunjungi oleh seorang atau beberapa kes COVID-19 setiap hari dalam tempoh 10 hari lalu.

Kunjungan itu dilakukan antara 14 dengan 23 Ogos, antara pukul 12.00 tengah hari dengan 1.00 tengah hari setiap hari.

MOH menambah bahawa ia sudah pun memaklumkan kepada para individu yang dikenal pasti sebagai orang-orang yang berhubung rapat dengan kes-kes yang disahkan.

Meskipun MOH menekankan bahawa orang ramai tidak perlu menjauhi tempat-tempat yang telah dikunjungi kes COVID-19, para pemilik gerai di Pusat Makan Jalan Batu percaya berita itu mungkin menyebabkan ramai pelanggan tetap mereka menjauhkan diri.

Perniagaan mula rancak semula selepas Singapura beralih ke Fasa Dua pembukaan semua ekonomi, namun para pemilik gerai berasa ragu-ragu jika perniagaan mereka boleh terus bertahan dengan perkembangan terbaru ini.

Cik Sapiah Matnawi, 74 tahun, pemilik gerai Wak Marmi Muslim Food berkata beliau menerima pelanggan pertama hanya pada waktu makan tengah hari.

"Jika tempoh lengang ini berterusan, kami semua akan mengalami masalah," katanya.

Para pelanggan yang diwawancara Mediacorp kelihatan ragu-ragu untuk makan di pusat makanan tersebut. Sementara kebanyakan pelanggan lebih muda tidak begitu terjejas oleh berita itu, golongan lebih berusia lebih bersikap berwaspada.

Pelajar Ravindran Singh, 21 tahun berkata: "Saya pasti pihak berkuasa akan mengambil tindakan yang perlu untuk memastikan pusat makanan itu selamat, jika tidak, mereka sudah pun menutup seluruh tempat ini."

Berbanding beliau, pemandu van sewa privet Ong Bee Kaw, 63 tahun pula berkata beliau membawa pulang makanannya yang dibungkus untuk makan di rumah.

"Anda tidak akan tahu siapa yang mungkin dijangkiti... Saya sudah tua jadi saya tidak mahu mengambil risiko," tambahnya.

USAHA MEMBASMI KUMAN

Kebanyakan pemilik gerai berkata mereka sudah pun mengambil masa untuk membersihkan gerai mereka dan membasmi kuman daripada tempat-tempat yang kerap disentuh.

Cik Fatana berkata: "Kerja-kerja pembasmian kuman yang dijalankan di tempat ini tidak mengurangkan kebimbangan saya. Saya lebih khuatir bahawa orang ramai tidak tahu tempat ini sudah dibersihkan dan akan terus menjauhinya."

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) mempunyai garis panduan mengenai pembersihan dan pembasmian kuman bagi tempat-tempat yang terdedah kepada kes COVID-19 yang disahkan, dan mereka menyatakan para pengendali kawasan-kawasan itu harus seboleh mungkin, membersihkan dan membasmi kuman daripada kesemua permukaan yang kerap disentuh.

Mereka juga harus melakukan pembasmian kuman bagi lantai premis tersebut serta melakukan pengudaraan, menurut NEA.

Anggota Parlimen Kawasan Undi Perseorangan Mountbatten Lim Biow Chuan memberi perkembangan terkini mengenai kerja pembersihan yang dilakukan di kawasan-kawasan yang dilalui orang ramai dan tempat-tempat kerap disentuh di Pusat Makanan Jalan Batu, dalam satu catatan di Facebook pada Jumaat (28 Ogos).

Dalam satu catatan sebelumnya pada Khamis (27 Ogos), Encik Lim berkata bahawa para pekerja pembersihan majlis bandaran diminta untuk meningkatkan kerja-kerja pembersihan di pusat makan tersebut.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita