Pelanggan Singtel alami gangguan khidmat telefon bimbit
Logo syarikat telekomunikasi Singapura, Singtel, pada bahagian luar sebuah bangunan di daerah pusat perniagaan Singapura pada 14 Mac 2025. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)
Jumlah aduan meningkat kepada lebih 1,700 pada kemuncaknya sekitar pukul 4.50 petang, menurut Downdetector, yang menjejak gangguan dengan mengumpulkan laporan status daripada beberapa sumber, termasuk pengguna.
"Kami sedia maklum bahawa beberapa pelanggan mengalami gangguan sambungan talian telefon yang terputus-putus," menurut Singtel ketika menjawab pertanyaan Mediacorp pada Selasa.
"Para pelanggan dinasihatkan supaya mematikan dan menghidupkan peranti mereka untuk mendapatkan semula sambungan. Kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku."
Para pengguna berkongsi kekecewaan mereka di pelbagai platform media sosial, dengan ramai yang berkata bahawa mereka menghadapi kesukaran membuat panggilan dan menggunakan data mudah alih mereka.
Seorang pengguna Reddit menulis bahawa datanya berhenti berfungsi dan beliau terpaksa menggunakan Wi-Fi di cawangan Starbucks untuk memeriksa sama ada Singtel mengalami gangguan khidmat.
Seorang lagi pengguna menulis di Facebook bahawa beliau tidak dapat membuat panggilan menggunakan telefonnya, tetapi data selular berfungsi dengan baik.
"Rangkaian terhenti sepenuhnya dan tiada panggilan yang diterima," kata seorang pelanggan di X.
Singtel menyatakan dalam catatan Facebook sejurus selepas pukul 7.00 malam bahawa juruteranya sedang giat berusaha untuk memulihkan perkhidmatan, sambil menambah bahawa sambungan sedang dipulihkan secara bertahap-tahap.
Setakat sehingga pukul 7.50 malam, bilangan laporan di Downdetector turun kepada 97.
Tahun lalu, gangguan talian tetap Singtel selama beberapa jam menjejas panggilan bagi khidmat kecemasan, institusi jagaan kesihatan, bank dan perniagaan.
Puncanya adalah "masalah teknikal" bagi komponen rangkaian dan sistem sandaran yang tidak berfungsi seperti yang sepatutnya.
Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai yang menghadapi masalah supaya menghubungi pihaknya menerusi hotline 995 atau 999 untuk menghantar SMS kepada mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.